Thursday, November 12, 2009

KUIH CEK MEK MOLEK



Salam semua. Hari ini saya nak cerita pasal kuih cek mek molek. Sebenarnya kuih ini pertama kali diperkenalkan kepada saya dan keluarga oleh kakak saya Ina. Almaklumlah kita orang Johor mana nak tahu tentang kuih-muih dari pantai timur ni. Selepas berpindah ke Pahang dan Kelantan, kebanyakkan gerai menjual kuih muih pasti ada menjual kuih ini. Suami pula berminat memakannya. Selalunya saya beli yang dah siap saja tetapi kali ini saya buat sebab keledek lebihan kuih bom semalam pun ada. Untuk membuat cek mek molek ini saya gunakan 800gm keledek yang direbus dan dilenyek, 3/4 cawan tepung gandum, 1 sudu besar tepung pulut (untuk mengelakkan kuih ini pecah ketika digoreng) dan gula pasir untuk inti. Cara-cara membuatnya mudah sahaja, lebih kurang hendak membuat kuih keria. Gaul sebati tepung gandum, tepung pulut dan keledek. Bulat-bulatkan, buat lubang di tengah dan bubuh inti gula pasir. Bulatkan semula dan bentuk memanjang, kemudian goreng.

Wednesday, November 11, 2009

KUIH BOM



Salam semua. Hari ini saya hendak membuat entri tentang kuih bom. Sudah lama saya menyimpan angan-angan hendak membuat kuih ini walaupun saya bukanlah berminat sangat untuk memakannya. Suami awal-awal lagi kata tak best semasa saya menyuarakan hasrat hendak membeli bijan tempoh hari. Namun keinginan hendak membuatnya membuak-buak. Hehe... Jadi terhasillah kuih ini. Alhamdullilah, nampaknya respon dari anak-anak menggalakkan. Sedap kata mereka. Adunan kuih bom ini adalah hasil campuran tepung pulut, tepung gandum, keledek rebus yang dilenyek, sedikit gula, secubit garam dan juga air secukupnya untuk menguli. Intinya pula adalah gabungan kelapa parut, manisan dan gula pasir.

Tuesday, November 10, 2009

TELUR DADAR IKAN BUDU



Assalamualaikum kepada yang sudi menziarahi blog suka-suka saya. Alhamdulillah, sudah 3 hari ini bandar Kota Bharu cerah cuacanya. Kadang-kadang sahaja mendung dan hujan menjelma. Buat surirumah yang ramai anak kecil tentu tersenyum lebar dan amat bersyukur sebab pastinya jemuran kain yang banyak akan kering dan memudahkan lagi kerja. Hari ini saya mencuba resepi telur dadar ikan budu atau lebih dikenali dengan ikan pekasam. Ikan budu ini selalu timbul tatkala musim hujan begini. Sebelum ini pun ada ternampak ikan budu ini tetapi kali ini suami tergerak untuk mencuba. Lebih-lebih lagi ada seorang pelanggan yang bersungguh-sungguh mempromosikannya. Memang sedap walau digoreng begitu sahaja. Kali ini saya cuba buat telur dadar pula sebab saya pernah menikmati juadah ini. Kakak jiran sebelah yang bagi sebelum beliau berpindah. Cara-cara membuatnya juga Kak Yah yang ajarkan tetapi saya ingat-ingat lupa sebab sudah lama. Mula-mula ikan budu digoreng garing. Ketepikan dan disiat-siat menggunakan garpu. Lebihan minyak tadi digunakan untuk menumis hirisan bawang dan lada merah. Kalau suka pedas gunalah cili padi. Gaulkan ikan budu tadi dengan 3 biji telur yang telah dipukul dan tuangkan dalam tumisan bahan-bahan hiris yang agak garing. Goreng sampai telur masak. Sedap dimakan dengan nasi panas. Namun sesiapa yang menghidap penyakit darah tinggi beringatlah ketika makan ikan budu ini takut memudaratkan kesihatan.

Monday, November 9, 2009

SAMBAL TEMPE DAN DAGING MASAK KICAP





Beberapa hari ini terasa ingin benar makan lauk sambal tempe yang dicampur dengan bilis dan kacang tanah goreng. Malangnya kacang tanah tiada dan saya pula memang jarang membelinya sekiranya tidak ada keperluan. Jadi saya tukarlah dengan kentang pula. Lagi pun kalau banyak makan kacang tanah muka akan naik ditumbuhi jerawat dan tambah berminyak. Membuat sambal tempe ini mudah sahaja iaitu bilis, kentang dan tempe di hiris nipis dan digoreng dulu. Kisarkan lada kering, bawang putih dan bawang merah. Kalau suka boleh tambah sedikit belacan. Tumis bahan kisar hingga garing, masukkan air asam. Bila dah mesra rasakan masin dan manisnya, kemudian gaul dengan bahan-bahan yang digoreng tadi. Siap. Daging ini pula saya masak sebagai tambahan. Lagipun simple sahaja cara hendak membuatnya. Gaulkan daging batang pinang dengan kunyit dan sedikit garam. Tumiskan daging dengan sedikit minyak. Bila air daging hampir kering masukkan air asam secukupnya, hirisan bawang besar, cili merah dan kicap manis. Biarkan seketika dan hidangkan. Mudah dan sedap.

Saturday, November 7, 2009

KEK HARIJADI SYUHADAH



Tadi suami ajak makan di KFC bagi meraikan harijadi Syuhadah. Hajat hati hendak masak-masak dan menjemput rakan-rakan Syuhadah makan tetapi beliau menolak. Pulang dari KB Mall kami singgah di kedai roti dan kek Primula. Syuhadah memilih kek blueberry. Paling gelihati tengok telatah Adham. Beliaulah yang terlebih excited...