Sunday, January 16, 2011

AYAM MASAK KURMA DAN UDANG GALAH GORENG TERENDAM


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertama kali saya masak ayam kurma. Rempah dapat percuma. Hehe... Anak yang sulung suka sampai 3 kali bertambah nasi, anak ke dua hilang selera berlaukkannya dan suami pula, "lauk merepek apa yang awak masak ni?" Oh, tidak.... Biasalah minat orang berbeza-beza. Bagi saya sedap dan ada kelainan dari menu ayam yang biasa. Bau rempah kurma ini ketika dimasak harum memenuhi ruang dapur, ruang tamu hingga ke tingkat atas rumah. Sungguh menyelerakan, tidak percaya? Gunakan rempah kurma Faiza. Jom tengok resepinya....


Bahan-bahannya:

1 ekor ayam dipotong-potong
5 batang lada hijau dibelah jangan putus
2 biji tomato dibelah 4
3 biji kentang dibelah 2
1 biji bawang besar kisar
5 biji bawang merah kisar
2 biji bawang putih kisar
1 ketul kecil halia kisar
sedikit air asam untuk mengisar
rempah tumis 4 sekawan
1 cawan pati santan
2 paket rempah kurma faiza
air
garam dan gula ikut suka

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar dan serbuk kurma untuk dijadikan pes. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan hingga berbau wangi dan masukkan pes kurma tadi. Gaul lagi dan biarkan hingga pecah minyak.
3. Masukkan potongan ayam tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air separas ayam dan kacau. Masak hingga ayam separa empuk.
5. Bila ayam separa empuk, masukkan kentang dan kacau lagi.
6. Tambah santan dan kacau sekejap-sekejap.
7. Bila ayam dan kentang sudah empuk masukkan lada hijau dan tomato. Rasakan masinnya dan biarlah kuah mendidih semula barulah dimatikan apinya.



Aidilfitri lepas saya baru sahaja merasa udang galah hasil pancingan bapa di kampung di bulan puasa. Emak muda simpan untuk kami anak-anak tirinya makan bila pulang beraya. Memang sedap walaupun saiznya comel-comel terasa sangat lemak-lemak manisnya.
Udang galah ini suami beli di Pasar Satok, melihat saiz dan sepitnya sahaja saya sudah takut. "Jangan belilah bang." Alasannya tidak pandai menyiang. Hehe.... Suami kalau dia suka beli saja. Menurut penjual kalau tidak musim, harga udang galah ini sekilo mencecah RM60. Suami beli 4 ekor, seekor setiap ahli keluarga. Beratnya sekilogram lebih.
Saya goreng untuk makan malam, rasanya tidaklah semanis dan selemak udang galah hasil tangkapan bapa. Sedap jugalah...

Cara saya goreng begini:

-tumbukkan bawang putih, halia dan kunyit bersama garam hingga lumat.
-gaul merata pada udang galah yang telah disiang, dicuci dan ditos.
-biarkan seketika.
-panaskan minyak dan goreng secara terendam.


AWARD DARIPADA ILAHJY


: PENGERTIAN BERKENAAN AWARD INI ::
PENCIL yang besar
Menunjukkan kesenian yang begitu peka terhadap blog anda dan mencerminkan sesuatu nilai penghasilan.
FILEM bergerak tanpa henti
Menunjukkan AWARD ini di FOWARD kepada bloggerist yang betul-betul layak menerima.

LOGO bulat berkelip-kelip
jika di perhatikan betul-betul, ia adalah manusia yang berkepalakan monitor komputer. ini membawa maksud anda adalah seorang yang begitu bijak menguasai dunia alam maya ke globalisasi.


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Award di atas saya terima daripada blogger kak ilahJY. Lama juga saya tidak menerima award sebab blog saya ini pun agak lama terbiar tidak diusik. Kesibukkan berpindah, menyesuaikan diri di tempat baru dan bermulanya persekolahan anak-anak membataskan kesempatan saya untuk bersantai-santai di depan pc mahu pun laptop.
Ribuan terima kasih pada kak ilah atas kesudian beliau memberikan award ini. Walaupun kami tidak pernah berjumpa tetapi terasa dekat di hati bila saya mula mengunjungi, membaca tulisan dan menjamu mata di blog beliau.
Moga persahabatan kami di alam maya ini diberkati Allah dan berpanjangan selamanya....

Friday, January 14, 2011

IKAN MASAK TAUCHU, BENDI GORENG BELACAN DAN KICAP SOTONG

Ikan masak tauchu kegemaran suami, saya tukang masak dan anak-anak tukang perhati sebelah mata je sebab tak minat... Resepi ada saya letakkan dalam entri yang terdahulu. Menu ulang tayang dengan bahan yang berlainan. Masak tauchu ini paling sedap jika cukup rasa manis, masam dan masin. Jangan ditambah garam sebab tauchu sudah sedia masin, ikan yang digoreng pun sudah dilumur garam kunyit. Pastikan cucur dahulu tauchu yang digunakan di bawah air sebelum ditumis bersama bahan-bahan yang dihiris.




Bendi goreng belacan atau biasanya arwah emak panggil bendi tumis kering. Biasanya bendi ni saya masak asam rebus, masuk dalam kuah kari atau asam pedas, celur dan cicah dengan sambal asam berasap tapi kali ini masak macam ini sebab hari tu ada terpandang dekat blog kawan-kawan tapi dah lupa siapa. Siapa pun dia terima kasih ya.:))


Sotong masak kicap paling mudah. Sedap dan tidak rugi mencuba. Rasanya resepi ada saya letakkan dalam entri terdahulu. Resepi ini kakak saya yang no 3 ajarkan dan sememangnya beliau tukang masak yang handal.


Thursday, January 13, 2011

KEK KUKUS COKLAT


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kek coklat kukus ini sebenarnya sudah lama saya buat tetapi baru hari ini dapat dikongsikan resepinya bersama. Membuatnya cukup mudah dan rasanya memang sedap. Resepi saya cedok dari saji online. Kekurangannya cuma saya tidak mencurahkan topping coklat di atasnya.



Jom kita tengok resepinya. Saya pun sedang menanti rebusan telur masak untuk dibuat inti sandwich buat bekalan anak-anak ke sekolah esok. Suami pun tiada kerana mesyuarat di Sebuya dan kemudian akan ke Pusa pula. Malam ini beliau bermalam di Seri Aman. Sebelum sampai ke Sebuya, 2 kali beliau menaiki feri. Kalaulah tidak ditakdirkan Allah tinggal di Sarawak, kami pun tidak ambil pusing hal-hal sebegini rasanya. Huhu....

Bahan-bahannya:

1 cawan koko
1 cawan gula
1 cawan margerin cair (saya guna mentega)
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
11/4 tepung
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil baking soda
3 biji telur (dipukul)

Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda. Ketepikan.
2. Dalam periuk, masak koko, gula, margerin, susu cair dan susu pekat hingga cair dengan api sederhana. Jangan sampai hangus.
3. Sejukkan.
4. Masukkan telur ke dalam adunan ini dan kacau sebati. Tambahkan dengan tepung dan gaul lagi hingga sebati.
5. Kukus selama 1 jam dan biar sejuk baru dipotong-potong.

Wednesday, January 12, 2011

PUCUK MIDIN TUMIS BELACAN, SAMBAL UDANG DAN KEMBONG MASAK KICAP

pucuk midin goreng belacan

Bahan-bahannya:

1 ikat pucuk midin
sedikit belacan
1 biji bawang besar dihiris
1 biji bawang putih dihiris
2 biji cili merah dihiris
3 biji cili api dihiris
sedikit ikan bilis halus
garam

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan goreng ikan bilis hingga agak garing.Masukkan bahan-bahan yang dihiris bersama belacan. Kacau sebati hingga layu dan belacan hancur.
2. Tambahkan garam, kacau lagi dan masukkan pucuk midin dan gaul sebati.
3. Tutup api bila pucuk midin tadi mulai layu dan sudah masak.



sambal tumis udang

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz sederhana dibuang kulit dan tinggalkan hanya ekornya
19-21 tangkai cili kering dikisar
sedikit belacan
2 biji bawang besar dikisar
1 biji bawang kecil dikisar
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
sedikit garam, gula dan serbuk perasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan goreng udang hingga separuh masak dan ketepikan.
2. Dengan lebihan minyak tadi tumis bahan-bahan kisar bersama belacan hingga pecah minyak dan naik bau.
Tambahkan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
3. Masak sambal lagi hingga tanak dan masukkan udang. Gaul sebati dan tutup api. Boleh tambahkan dengan hirisan bawang besar jika suka.



ikan kembong masak kicap

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan kembong sederhana besar digaram kunyit dan digoreng.
1 biji bawang besar dimayang
1 biji bawang putih dihiris
3 biji lada merah dihiris
sedikit air asam jawa
sedikit kicap manis
sedikit kicap masin

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan kicap manis dan kicap masin diikuti dengan air asam jawa. Bila sudah masak, masukkan pula ikan yang digoreng tadi.
3. Gaul sebati dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Menu di atas merupakan hidangan saya dan keluarga semalam. Tidak sempat hendak berkongsi semalam sebab sejak anak-anak mulai bersekolah rutin harian saya tambah sibuk seawal pukul 5am. Menyiapkan sarapan pagi dan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah. Apatah lagi bujang kecil kesayangan saya sudah ke tadika.
Hujan lebat berserta angin kencang melanda Kuching semalam. Hari ini alhamdulillah sinar matahari mulai mencelah di balik awan. Mudah-mudahan panas akan sampai ke petang sebab kasihan melihat anak-anak yang berhujan pergi dan balik dari sekolah. Walaupun berpayung dan berkenderaan tetap juga basah.
Masakan yang ringkas untuk selera yang sederhana. Jom jamu mata dan kongsi resepi walaupun rasanya ramai yang sudah pakar menyediakannya. Sekadar suka-suka...