Saturday, June 5, 2010

SAMBAL TUMIS SOTONG



Assalamualaikum dan selamat petang rakan-rakan blogger, juga sesiapa sahaja yang sudi singgah dapur kecil ungu saya ini. Hehe... Sotong masak sambal tumis ini permintaan dari suami saya. Alhamdulillah, kerja memasak saya jadi mudah bila sudah ada permintaan. Kalau tidak pening hendak sediakan menu dan sedih bila suami tidak suka hidangan yang disediakan. Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

500-900 gram sotong (dicuci bersih dan dihiris bulat)
20-30 tangkai cili kering dikisar
5-7 biji bawang merah dikisar
1-3 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak hingga pijar dan tumis bahan-bahan kisar hingga garing. Kacau sekejap-sekejap supaya tidak hangit.
2. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya dan kacau sebati.
3. Masukkan sotong yang siap dihiris tadi dan gaulkan dengan sambal secara merata.
4. Tutup sekejap kuali dan kacau lagi.
5. Masak hingga sotong lembut dan mengeluarkan air sendiri.

Friday, June 4, 2010

PUDING KASTARD JAGUNG BERKUAH




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tadi tidak sempat hendak menulis panjang dan berkongsi resepi sebab suami ajak minum di Kopitiam Moon, Jln Long Yunus. Jadi saya pun post sahajalah entri gambarnya dahulu. Hehe... Buat blogger Dedaun Alam itulah sebabnya kakak tidak menulis apa-apa tentang entri kali ini. Puding ini memang sesuai dimakan sewaktu cuaca panas dan lebih sedap sekiranya dibiarkan lama dalam peti sejuk. Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard
3 cawan air
1 cawan susu cair
1 tin jagung manis dikisar halus
3/4 cawan gula pasir
secubit garam
1 tin buahan campuran dalam tin (asingkan buahan dan sirapnya)
1 tin susu cair
11/2 tin air
1 sudu besar tepung kastard
gula pasir secukup rasa

Cara-cara membuat puding kastard:

1. Campurkan tepung kastard, air, susu cair, gula, garam dan jagung manis yang dikisar. Kacau hingga sebati.
2. Masak di atas api sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau hingga puding menjadi likat.
3. Masukkan puding tadi di dalam bekas-bekas kecil dan sejukkan.

Untuk kuahnya:

1. Masukkan sirap buahan campuran, susu cair, gula, tepung kastad dan air. Bancuh kesemua campuran ini hingga sebati.
2. Panaskan di atas api hingga mendidih dan hendaklah sentiasa dikacau.
3. Sejukkan.

Cara-cara menghidang:

-Ambil beberapa biji puding yang telah sejuk dan beku. Masukkan ke dalam mangkuk. Taburkan sedikit buahan campuran dan curahkan kuah yang telah sejuk tadi. Sedia untuk dimakan.

UDANG GORENG ASAM



Assalamualaikum semua. Udang goreng asam ini merupakan lauk tengahari semalam. Resepi ini saya cuba mengikut citarasa sendiri. Alhamdulillah tetamu yang datang memuji keenakan lauk yang cukup ringkas ini. Suami dan anak-anak pun suka. Diratah begitu sahaja pun sedap. Bukan tidak boleh hendak masak yang berempah dan sambal tumis. Terasa muak sangat lagi pun sotong sedang menanti untuk dimasak sambal tumis atas permintaan suami. Hehe... Jom kita kongsi resepi yang ringkas ini...

Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar dibuang sesungut
5 biji cili merah dihiris
1 biji bawang besar bombay dihiris
2 sudu kecil pati asam jawa Adabi
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
1/2 sudu kecil garam kunyit (campuran kunyit dan halia tumbuk)
secubit garam
secubit gula

Cara-caranya:

1. Gaulkan udang bersama pati asam jawa, sebuk cukup rasa, garam kunyit, garam dan gula secara merata. Biarkan selama 30 minit.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan yang dihiris hingga layu.
3. Masukkan udang yang diperap sekejap tadi dan kacau hingga berubah warna dan masak.
4. Hidangkan semasa panas.

ASAM PEDAS IKAN PISANG



Assalamualaikum. Tengah malam sudah hampir bertukar ke pagi sekarang ini. Siang hari tidak dapat mengupdate blog sebab kesuntukkan masa. Jamu-jamulah mata dengan lauk kegemaran suami saya ini. Kali ini saya gunakan ikan pisang pula. Rasanya seakan-akan ikan terubuk tetapi tidak bertulang seperti terubuk. Ikan pisang ini bukan sahaja cantik, enak rasanya dan murah pula. Hehe...

Tuesday, June 1, 2010

PARI BAKAR CURAH SAMBAL



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lauk ikan pari bakar curah sambal ini pun edisi tertunda sebenarnya. Lebihan ikan pari yang saya masak lemak cili api hari itu saya bakar sahaja. Teringin pula hendak mencuba resepi baru ini. Ikan pari bakar curah sambal ini hendaklah dimakan panas-panas dan diperahkan limau kasturi sebelum memakannya bersama nasi panas. Resepinya saya reka sendiri selepas melihat saluran Asian Food Channel mengenai perniagaan ikan bakar di Singapura. Jom kita kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

4 potong isi ikan pari sederhana besar digaram kunyit
7 tangkai cili kering dikisar
1 batang cili merah dikisar
3 biji cili api merah dikisar
3 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 batang serai dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci lengkuas dikisar
garam dan gula secukup rasa
3 biji limau kasturi dibelah dua
5 helai daun limau purut dihiris nipis
aluminium foil
daun pisang

Cara-caranya:

1. Panaskan kuali serbaguna. Lapikkan dengan aluminium foil dan lapikkan lagi atasnya dengan daun pisang. Sapukan sedikit minyak.
2. Letakkan potongan ikan pari dan tutup kuali. Bakar sehingga 3/4 masak dengan dibalik-balikkan.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar bersama hirisan daun limau purut hingga pecah minyak dan naik bau.
4. Tambahkan dengan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati.
5. Curahkan sambal tadi ke atas ikan pari yang dibakar dan dihidang bersama potongan limau kasturi.