Tuesday, January 5, 2010

KERUTUP IKAN MERAH




Assalamualaikum rakan-rakan blogger semua. Di harapkan sentiasa bahagia dan ceria bersama keluarga tersayang. Kerutup ikan ini merupakan salah satu masakan yang saya kenal setelah masuk dalam keluarga Hj Yasin (mertua). Bahan bumbunya jauh berbeza dengan kerutup daging atau ayam. Ianya lebih kepada sambal tetapi diberikan nama yang sama. Jangan marah ya. Hehe... Selalunya saya gunakan ikan cencaru untuk membuatnya tetapi oleh kerana semasa ke pasar hari itu ikan cencaru yang dijual telah memakai contact lens, saya bertukar kepada ikan merah. Bahan-bahan mentahnya seratus peratus ikut resepi mak ngah suami tetapi saya tambah dengan hirisan daun limau purut biar wangi. Jom kita kongsi resepi..

Bahan-bahan yang diperlukan:

3 ekor ikan merah sederhana besar ( dilumur dengan garam kunyit dan digoreng ikut citarasa)
2 senduk cili kering dikisar
3 biji cili merah *
5 biji bawang merah *
3 biji bawang putih *
2-3 biji buah keras *
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
sedikit belacan *
5 batang serai dititik
2 helai daun limau purut dihiris agak halus
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan sebuk perasa

Cara-cara membuatnya:

1. Kisar bersama bahan bertanda * dengan air asam jawa.
2. Tumis cili kering kisar hingga terbit minyak, masukkan bahan-bahan kisar dan gaul sebati. Tumis lagi hingga garing.
3. Masukkan serai yang dititik dan hirisan daun limau purut. Gaul sebati hingga berbau wangi.
4. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
5. Bila bahan tumisan sudah mesra, masukkan pula ikan yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan biarkan di atas api seketika.
5. Alhamdulillah, siap dan boleh dihidangkan dengan nasi panas.


KUIH BAKAR@BINGKA PANDAN




Assalamualaikum semua. Sekarang sudah jam 12.49 tengah malam. Anak saya Noor Syuhadah yang baru melangkah ke tingkatan 2 di Sekolah Menengah Ahmad Maher masih tekun menyiapkan kerja sekolahnya. Adham juga belum tidur lagi, selepas jemu mengadap laptop, dia beralih ke tv pula. Hamimah dan ayahnya sudah dari tadi terlena. Kuih bakar@bingka@bingkang ini pertama kali saya cuba membuatnya. Resepinya biasalah saya ceduk dari internet. Terima kasih kepada penyumbangnya. Arwah emak memanggil kuih ini kuih bakar. Arwah memang gemar membuat kuih ini. Teringat saya semasa kecil-kecil dahulu, saya dan Noni (adik) suka benar melihat emak membancuh apa-apa kuih pun. Yang paling melekat diingatan saya ialah ketika arwah membancuh adunan kuih bakar ini. Arwah hanya menggunakan tangan sahaja ketika melarutkan tepung, santan kelapa, air pandan, gula dan telur. Setelah adunan sebati arwah akan masukkan bancuhan tadi ke dalam acuan lubang dan dibakar di atas dapur gas. Setelah kuih bakar ini masak saya akan mengoyakkan bahagian yang garing untuk dimakan. Sedap betul, bahagian yang lembut (di tengah) saya tidak suka. Hehe... Waktu itu agak sukar menyediakan kuih ini sebab kelapa tua kena dijolok dari pokok, kemudian dibuang sabut, dipecah 2, dikeluarkan isinya, diparut dan diperah santannya. Begitu juga dengan daun pandan, sama ada arwah memarut daun tersebut atau ditumbuk lumat lalu dimasukkan air dan diperah jusnya. Tetapi emak ku yang satu ini memang rajin, serajin rajinnya. Rasanya yang menurun kerajinan dan kemahiran arwah membuat kuih muih adalah kakak saya yang ke 3, iaitu Kak Mas yang berkulit putih kemerah-merahan macam arwah juga. Hehe... Hasil percubaan pertama saya ini tidak cantik di mata tetapi lemak dan manis, senang kata sedap gitu di lidah. The credit should go to the penyumbang resepinya di internet...

Monday, January 4, 2010

IKAN TILAPIA GORENG BERLADA



Assalamualaikum dan salam pagi Isnin. Tilapia goreng berlada ini sudah lama dalam simpanan saya cuma baru hari ini dapat di kongsi dengan rakan-rakan blogger yang sudi singgah di blog saya. Percubaan pertama tetapi alhamdulillah suami dan anak-anak suka. Kadang-kadang memasak ini perlu ada kreativiti sendiri almaklumlah dapur kita punya. Cuma yang menjadi masaalahnya menjadi atau tidak hasil percubaan masakan kita tadi. Kali ini bahan-bahan tumis semua saya tumbuk lumat kecuali cili kering sahaja saya kisar. Saya jarang menggunakan lesung batu sebab tangan saya ini amat mudah lenguh bila menumbuk. Hehe... Selalunya menggunakan pengisar tetapi sebab kali ini saya gunakan cili api jadi kalau dikisar takut menjadi terlalu pedas. Suami dan anak-anak lidah, tekak dan perut mereka tidak serasi dengan makanan pedas...

Sunday, January 3, 2010

ASAM PEDAS IKAN DURI@MAYONG



Assalamualaikum semua. Hari ini anak-anak saya telah memulai sessi persekolahan semula. Sebelum subuh anak yang ke dua sudah bangun. Hari ini saya hanya membancuh susu kambing dan roti bakar sapu margerin ditabur gula untuk mereka bersarapan. Untuk bekalan ke sekolah pula saya menyediakan roti bawang putih. Anak-anak memang membawa bekal makanan ke sekolah sebab malu hendak bersesak-sesak membeli makanan di kantin sekolah. Macam saya la pulak. Hehe... Lauk asam pedas ikan duri ini pertama kali saya cuba masak. Dulu-dulu arwah mak dan kakak ke 3 saya yang rajin memasaknya. Semalam belanja basah di Pasar Wakaf Che Yeh terjumpalah pula ikan ini jadi saya langsung membelinya dengan persetujuan suami. Bahan-bahan mentah untuk memasak asam pedas ini saya gunakan yang macam biasa cuma saya tambah dengan cili merah yang dikisar sama 3 biji.

Saturday, January 2, 2010

BEG TANGAN PELCO PEMBERIAN SUAMI


Assalamualaikum semua. Moga Allah memberi kita kekuatan dan istiqamah berhijrah menjadi hamba Allah yang baik kepada yang lebih baik. Petang tadi setelah menunaikan solat zohor saya, suami dan anak-anak ke KB Mall untuk melengkapkan keperluan sekolah anak-anak. Tinggal beg dan stokin hitam sahaja yang belum dibeli. Yang lain-lain, alhamdulillah beres. Ahad ini anak-anak sudah mula bersekolah. Saya ini sebenarnya memang sudah lama ingin menukar beg tangan yang sedia ada. Saya hanya punya satu beg tangan yang saya bawa ke mana-mana, hatta ke pasar pun. Saya jenis orang yang simple dan tidak suka membazir. Suami selalu perli saya kedekut. Beg tangan saya yang satu ini pun sudah uzur. Hehe... Jadi adalah sebab untuk membeli yang baru. Niat saya hendak menggunakan wang pemberian suami (tahun lepas suami dapat bonus 3 bulan lebih, syukur alhamdulillah) tetapi suami kata simpanlah duit itu biar beliau sahaja yang belikan. Malu juga saya dan bimbang membebankan suami tetapi dalam hati berbunga gembira. Hehe..Kalau macam itu baiklah, dalam hati tidak mahu beli yang mahal-mahal. Lepas diskaun harga mesti 50 ke bawah. Tadi singgah ke Parkson. Suami kata banyak pilihan di sini. Lagi pun ada 'sale'. Hendak pilih yang murah suami tidak beri pula, akhirnya setelah diskaun, inilah beg saya jadi 100++ harganya. Apa-apa pun terima kasih buat suamiku...