Tuesday, January 25, 2011

UDANG GALAH MASAK LEMAK CILI API, TERUNG GORENG BERLADA


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Menu kami hari ini udang galah lagi. Kali ini sebahagian saya masak lemak cili api dan sebahagian lagi saya goreng garing. Sebenarnya pagi tadi saya sudah mengeluarkan sotong dari dalam peti sejuk. Sekembali dari belajar memandu (hehe... sambung balik belajar, tinggal di Kuching terpaksa melawan hati yang takut, kerana Allah, anak-anak sekolah dan suami) saya keluarkan pula udang galah. Bila melihat kuantitinya yang banyak tidak jadilah saya hendak masak sotong. Takut terbazir sahaja nanti. Jom kita kongsi resepi mudah lagi...

Bahan-bahannya:

4 ekor udang galah
9 biji cili api - kalau nak pedas boleh tambah lagi
1 biji bawang besar kisar
1 biji bawang putih kisar
1 biji bawang merah kisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
5 batang serai dititik
sedikit air asam jawa
200 ml santan
air secukupnya
garam

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan serai hingga naik bau. Masukkan air asam jawa dan air mengikut citarasa. Kacau sebati.
2. Masukkan santan dan kacau lagi. Bila kuah sudah menggelegak masukkan udang galah yang telah siap disiang tadi.
3. Kacau dan biarkan udang galah tadi masak. Rasakan masin secukup rasa dan matikan api.







Terung goreng berlada ini pula permintaan anak sulung. Semasa ke Pasar Satok pagi Sabtu tempohari, dia berpesan supaya beli terung. Hehe... Inilah hasilnya. Jom kita tengok resepi mudahnya....

Bahan-bahan:

4 batang terung potong ikut suka
3 batang cili merah kisar
3 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan dikisar
sedikit udang kering dikisar - guna ikan bilis pun boleh, ini kes nak abiskan stok udang kering.
sedikit asam jawa dicampur sewaktu mengisar
garam, gula dan perasa ikut suka

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan goreng terung separa layu. Toskan minyaknya dan ketepikan.
2. Dengan lebihan minyak tadi (kalau banyak, sila kurangkan) tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan garam, gula dan perasa ikut citarasa. Kacau sebati.
4. Masukkan terung yang telah digoreng tadi dan gaul dengan sambal secara merata. Sedia untuk dimakan dengan nasi panas.



Thursday, January 20, 2011

NASI GORENG SOTONG


Assalamualaikum dan selamat petang teman blogger semua. Hari ini saya hanya masak nasi goreng sotong untuk makan tengahari buat saya dan anak-anak. Suami outstation lagi dan lagi. Minggu ini hanya semalam sahaja di rumah. Anak-anak sejak sekolah hanya makan sekali sehari itupun perlu disuruh. Malam ini kami beli burger sahajalah untuk mengalas perut. Jom kita kongsi resepi lagi....



Bahan-bahannya:

4 cawan nasi - saya guna basmati
500 gm sotong saiz kecil
2 biji telur
2 biji cili merah
3 biji cili api
5 biji bawang merah
2 biji bawang putih
sedikit belacan
sedikit udang kering
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
1 sudu besar kicap masin
1 sudu besar sos tiram
secubit garam

Cara-caranya:

1. Kisar kasar cili merah, cili api, bawang merah, bawang putih, belacan dan udang kering.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong hingga airnya kering.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Pecahkan telur dan kacau sebati.
4. Tambahkan dengan sos tiram, kicap masin, serbuk cukup rasa dan garam. Kacau sebati.
5. Masukkan nasi diikuti dengan sotong. Gaul hingga nasi dan sotong mesra dengan bahan-bahan kisar yang ditumis tadi dan bahan-bahan lain.
6. Kalau suka boleh tambah sayuran sebab saya memang tiada stok sayuran di rumah jadi masak apa yang ada sahaja.

Wednesday, January 19, 2011

ASAM REBUS BATANG KELADI DAN ASAM TUMIS IKAN PISANG


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Cuaca di luar sekejap panas, sekejap mendung, sekejap hujan. Klinik-klinik pun penuh sebab ramai yang menghidap selsema, demam dan batuk akibat cuaca tidak menentu. Tidak terkecuali kami sekeluarga. Semuanya sedang mengalami gejala hidung sumbat. Hehe... Alhamdulillah, bukankah sakit itu penghapus dosa dan tanda Allah SWT sayang dan ingatkan kita....
Berbalik pula dengan lauk asam rebus batang keladi yang sedap ini. Jika dimasak lemak cili api bersama siput sedut lagilah sedap.... Malangnya tiada siput sedut, jika tidak suami pun dapat tumpang sekaki makan.
Tempohari ternampak lauk ini di dapur kak nor, secubit garam. Makin la membuak-buak perasaan hendak memasak batang keladi ini sampai suami pun pelik saya membelinya di pasar. "Apa yang awak beli ni?" Sepanjang menjadi menantu saya memang tidak pernah sekali pun melihat emak mertua masak batang keladi ini tetapi arwah emak dan kakak-kakak terutama Ita memang rajin memasaknnya. Jom jengah-jengah apa yang patut...


Bahan-bahannya:

Batang keladi yang telah disiat kulit dan dipotong-potong
3 batang cili merah
5 biji bawang kecil
1 biji bawang putih
1/2 genggam ikan bilis
sedikit belacan
secekak daun kesum
air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Celur batang keladi tadi hingga separa masak. Tos dan ketepikan.
2. Kisar lada merah, bawang kecil, bawang putih, ikan bilis dan belacan tetapi jangan sampai lumat. Kalau larat tumbuk lagi sedap.
3. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam periuk bersama air asam jawa dan air ikut citarasa masing-masing.
4. Masak hingga mendidih. Masukkan batang keladi celur bersama daun kesum.
5. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya.
6. Biar mendidih sekali lagi dan tutup api.



Asam tumis aka asam pedas. Lebih kurang sama sahaja cara membuat dan rasanya. Untuk asam tumis kita cuma perlu tambahkan serai yang dititik, daun kesum, bunga kantan dan daun limau purut. Resepi ada dalam keluaran entri terdahulu. Jom jamu mata....

Sunday, January 16, 2011

AYAM MASAK KURMA DAN UDANG GALAH GORENG TERENDAM


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertama kali saya masak ayam kurma. Rempah dapat percuma. Hehe... Anak yang sulung suka sampai 3 kali bertambah nasi, anak ke dua hilang selera berlaukkannya dan suami pula, "lauk merepek apa yang awak masak ni?" Oh, tidak.... Biasalah minat orang berbeza-beza. Bagi saya sedap dan ada kelainan dari menu ayam yang biasa. Bau rempah kurma ini ketika dimasak harum memenuhi ruang dapur, ruang tamu hingga ke tingkat atas rumah. Sungguh menyelerakan, tidak percaya? Gunakan rempah kurma Faiza. Jom tengok resepinya....


Bahan-bahannya:

1 ekor ayam dipotong-potong
5 batang lada hijau dibelah jangan putus
2 biji tomato dibelah 4
3 biji kentang dibelah 2
1 biji bawang besar kisar
5 biji bawang merah kisar
2 biji bawang putih kisar
1 ketul kecil halia kisar
sedikit air asam untuk mengisar
rempah tumis 4 sekawan
1 cawan pati santan
2 paket rempah kurma faiza
air
garam dan gula ikut suka

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar dan serbuk kurma untuk dijadikan pes. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan hingga berbau wangi dan masukkan pes kurma tadi. Gaul lagi dan biarkan hingga pecah minyak.
3. Masukkan potongan ayam tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air separas ayam dan kacau. Masak hingga ayam separa empuk.
5. Bila ayam separa empuk, masukkan kentang dan kacau lagi.
6. Tambah santan dan kacau sekejap-sekejap.
7. Bila ayam dan kentang sudah empuk masukkan lada hijau dan tomato. Rasakan masinnya dan biarlah kuah mendidih semula barulah dimatikan apinya.



Aidilfitri lepas saya baru sahaja merasa udang galah hasil pancingan bapa di kampung di bulan puasa. Emak muda simpan untuk kami anak-anak tirinya makan bila pulang beraya. Memang sedap walaupun saiznya comel-comel terasa sangat lemak-lemak manisnya.
Udang galah ini suami beli di Pasar Satok, melihat saiz dan sepitnya sahaja saya sudah takut. "Jangan belilah bang." Alasannya tidak pandai menyiang. Hehe.... Suami kalau dia suka beli saja. Menurut penjual kalau tidak musim, harga udang galah ini sekilo mencecah RM60. Suami beli 4 ekor, seekor setiap ahli keluarga. Beratnya sekilogram lebih.
Saya goreng untuk makan malam, rasanya tidaklah semanis dan selemak udang galah hasil tangkapan bapa. Sedap jugalah...

Cara saya goreng begini:

-tumbukkan bawang putih, halia dan kunyit bersama garam hingga lumat.
-gaul merata pada udang galah yang telah disiang, dicuci dan ditos.
-biarkan seketika.
-panaskan minyak dan goreng secara terendam.


AWARD DARIPADA ILAHJY


: PENGERTIAN BERKENAAN AWARD INI ::
PENCIL yang besar
Menunjukkan kesenian yang begitu peka terhadap blog anda dan mencerminkan sesuatu nilai penghasilan.
FILEM bergerak tanpa henti
Menunjukkan AWARD ini di FOWARD kepada bloggerist yang betul-betul layak menerima.

LOGO bulat berkelip-kelip
jika di perhatikan betul-betul, ia adalah manusia yang berkepalakan monitor komputer. ini membawa maksud anda adalah seorang yang begitu bijak menguasai dunia alam maya ke globalisasi.


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Award di atas saya terima daripada blogger kak ilahJY. Lama juga saya tidak menerima award sebab blog saya ini pun agak lama terbiar tidak diusik. Kesibukkan berpindah, menyesuaikan diri di tempat baru dan bermulanya persekolahan anak-anak membataskan kesempatan saya untuk bersantai-santai di depan pc mahu pun laptop.
Ribuan terima kasih pada kak ilah atas kesudian beliau memberikan award ini. Walaupun kami tidak pernah berjumpa tetapi terasa dekat di hati bila saya mula mengunjungi, membaca tulisan dan menjamu mata di blog beliau.
Moga persahabatan kami di alam maya ini diberkati Allah dan berpanjangan selamanya....