Tuesday, April 13, 2010

MENU SEMALAM

Tempe goreng bersalut tepung berempah dan sambal kicap buat pencicah. Cara-cara hendak membuat tempe goreng dan sambal kicap ini saya letak di bawah.

Tempe goreng bersalut tepung berempah ( resepi arwah emak... rindu yang tiada penghujung ).
Bahan-bahannya:
2 keping tempe dikelar-kelar dan dipotong 4
3 biji bawang merah ditumbuk
2 biji bawang putih ditumbuk
1 inci kunyit hidup ditumbuk
1 sudu besar ketumbar kisar
1/2 sudu teh jintan kasar dikisar
1/2 sudu teh jintan halus dikisar
tepung beras secukupnya
sedikit air kapur
garam dan secubit gula
Cara-caranya:
1. Campurkan tepung beras bersama bahan-bahan yang dikisar dan ditumbuk. Bancuh dengan air seperti bancuhan untuk menggoreng pisang. Tambahkan sedikit air kapur.
2. Tambahkan garam dan secubit gula.
3. Panaskan minyak dan goreng tempe yang telah disalut dengan bancuhan tepung tadi hingga garing.
4. Buat sampai habis. Bancuhan tepung saya agak tercair sebab itu nampak tidak tebal salutan tempenya.

Untuk sambal kicap, bahan-bahannya:
11 biji cili api
2 biji bawang putih
2 biji limau kasturi diambil jusnya
kicap masin secukupnya
sedikit gula
Cara-caranya:
1. Goreng cili api dan bawang putih dengan minyak yang sedikit hingga agak layu. Angkat dan toskan minyaknya.
2. Di dalam lesung batu, masukkan cili dan bawang putih tadi bersama gula. Tumbuk hingga lumat.
3. Tambahkan dengan kicap masin dan jus limau kasturi.



Sayur lemak labu manis. Teringin benar saya hendak makan tetapi bila dimakan nasi sesenduk pun tidak dapat saya habiskan. Saya hanya suka makan labu manisnya sahaja. Hehe...

Hidangan sampingan tentulah ikan goreng garing dengan sambal belacan. Suami dan anak-anak suka ( gambarnya ter'delete'lah pulak ). Hehe....

Sunday, April 11, 2010

KARIPAP PUSING


Piring kuih lama ini adalah pemberian arwah emak semasa saya hendak berpindah dari rumah mertua ke kuarter kerajaan di Bukit Saujana. Sewaktu itu saya tinggal di Tingkat 2, Bendahara B, apartment 4 bilik tidur dan 2 bilik air ini masih baru lagi. 2 buah kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak cantik membiru bersama pagar kayu coklat berdiri kukuh dapat saya lihat jika berdiri di beranda apartment. Begitu juga dengan taman permainan kanak-kanak. Namun semua itu sudah tinggal kenangan...

Karipap yang belum digoreng.


Assalamualaikum rakan-rakan semua. Lepas menyiapkan bahulu gulung dan menyuapkan anak lelaki makan saya pun mulalah menguli tepung untuk membuat karipap semula. Kali ini saya buat karipap pusing pula. Anak-anak dan suami tidak berapa gemar makan karipap pusing ini kerana tepungnya agak rapuh dikunyah tetapi oleh kerana saya bimbang ilmu membuat karipap pusing ini hilang dari ingatan, saya pun buatlah. Alhamdulillah masih boleh lagi. Gembira saya melihat hasilnya walaupun badan memang penat sangat sebab asyik di dapur dari tengahari membawa ke petang di samping membuat kerja-kerja lain.
Karipap pusing ini saya belajar dari rakan sekerja dan serumah ketika tinggal di Ladang Fraser, Kulai. Kami sama-sama mengajar di situ. Namanya Zaleha Othman yang saya panggil Zai. Sekarang beliau mengajar di Seremban. Sudah lama kami tidak berjumpa, kali terakhir 2 tahun lepas. Hanya sms dan telefon yang menjadi penghubung.
Oklah, jemput semua jamu mata dengan karipap pusing hasil air tangan saya. Saya hendak siapkan lipatan kain dan mengemas dapur pula sebelum masuk tidur.

BAHULU GULUNG LAGI...




Assalamualaikum rakan-rakan ku semua. Oleh kerana tadi masak pun cepat siap ( pada hal badan rasa macam melayang-layang je tadi dan rasa lesu sangat ) saya pun buatlah bahulu gulung ini. Lagi pun suami dan anak-anak ada bertanya bila hendak buat bahulu gulung lagi. Habiskan saja inti nenas yang saya buat hari itu. Kali ini bahulu saya agak lembut berbanding yang lalu. Mudah juga hendak menggulungnya. Alhamdulillah. Balik dari sekolah, Hamimah segera bertanya, emak bakar kuih apa tu? Waktu itu saya sedang bercakap di telefon dengan kakak saya inna, kemudian dengan biras pula a'ah. Lamanya mak telefon, adik nak tanya mak masak kuih apa ni? Rungutnya lagi. Hehe... Siap sahaja dipotong-potong tidak sabar-sabar dia menjamahnya, bukan itu sahaja tidak cukup sepotong dua. Bila diingatkan kalau makan ingat ayah dan kakak, slowlah sedikit. Hehe...

MENU HARI INI

Ikan tongkol @ aya masak singgang permintaan suami. Entah kenapa kuah singgang ini kelabu asap saja warnanya. Hehe...

Ikan tongkol goreng garing, telur masin (hodoh sedikit sebab pecah sewaktu direbus, huhu...), dan sambal belacan. Suami suka makan nasi putih berlauk singgang dengan sambal belacan.

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini cuaca rasanya amat panas sekali. Ketika saya mengangkat kain di jemuran tadi terasa mahu pitam dibuatnya. Kadang-kadang terpaksa berpayung juga tapi malu pula dengan jiran-jiran, nampak mengada-ngada sangat. Hehe... Oleh kerana saya jemur kain menggunakan hanger dan tersusun, senang dan cepat hendak mengangkatnya. Menu saya hari ini pun tersangatlah ringkasnya. Sayuran tiada dan saya gantikan dengan buahan sahaja.

Saturday, April 10, 2010

GAMBAR IKAN SUJI


Assalamualaikum. Buat adik-adik Nurindah, Su dan Maria inilah gambar ikan suji yang saya masak kerutup Khamis lepas. Kebetulan tadi ke pasar ada pula ikan ini, jadi saya ambil kesempatan mengambil gambarnya. Ikan yang bersaiz besar ini telah pun dipotong-potong oleh makcik penjual ikan jadi tak dapatlah saya nak snap gambar seekor. Lupa pula hendak tanya makcik tu nama lain bagi ikan ini sebab di Kelantan inilah saya mula kenal dengan ikan yang sedap ini. Jemputlah tengok ya adik-adik ku sayang....