Friday, January 8, 2010

BERGEDIL TAUHU



Bergedil setelah dibentuk bulat-bulat dan menanti untuk digoreng.


Assalamualaikum dan selamat petang Jumaat. Hari ini entri saya tentang bergedil tauhu yang saya buat semalam. Seronok kongsi-kongsi cerita walaupun masakan saya ini biasa-biasa sahaja. Baru malam kelmarin saya dan kakak Ina berbual pasal bergedil tetapi bergedil daging sebab anak perempuan beliau teringin hendak memakannya. Kalau beli tentulah rasanya tidak sesedap air tangan emak sendiri. Bergedil tauhu ini pun kakak saya yang ajarkan. Selain merupakan makanan yang berkhasiat, ianya juga sedap terutama ketika dimakan waktu panas-panas. Janganlah keluar dari kuali terus makan nanti melecur pula lidah dan jatuh makruh pula. Hehe... Bergedil tauhu ini pun rasanya tidak seasli resepi Ina sebab saya sudah tambah bahan mentahnya sedikit. Umpamanya kentang sebab kentang saya ada yang sudah mula membusuk kalau dibiarkan, alamatnya tong sampahlah penghuninya. Membazir pula. Saya juga masukkan bawang goreng lebihan masak laprik semalamnya. Jom kita kongsi resepi lagi, mana tahu ada yang berminat untuk mencubanya..

Bahan-bahannya:

500 gm udang dikupas kulit dan dicincang isinya
7 keping tauhu dilenyek sampai hancur
4 biji kentang saiz kecil dikupas kulit, dihiris, digoreng dan ditumbuk lumat
1 biji lada merah dibuang biji dan dihiris nipis
2 sudu besar bawang goreng
1 tangkai daun bawang dihiris
1 tangkai daun sup dihiris
garam dan serbuk lada putih secukupnya
2 biji telur dipukul sebati

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan kecuali telur ke dalam mangkuk besar. Gaul sebati.
2. Bentukkan bulat-bulat dan leperkan sedikit.
3. Celup dengan telur yang dipukul tadi dan goreng dengan api sederhana supaya masak sempurna.

Thursday, January 7, 2010

TILAPIA MASAK LAPRIK



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Jangan terperanjat mendengar nama laprik. Saya pun baru pertama mendengar nama masakan ini semasa keluar makan malam dengan suami minggu lalu. Tukang masak restoran yang mencadangkan kepada kami supaya cuba merasai masakan ini. Sedap, ada masam, manis, masin dan pedas. Suami pun suka. Waktu itu ikan siakap yang dimasak dan akhir masakan ditabur dengan hirisan daun ketumbar. Kali ini saya masak ikan tilapia pula, daun ketumbar saya gantikan dengan daun bawang dan daun sup, sementara limau nipis saya gantikan dengan limau kasturi sebab sudah habis digunakan untuk memasak tomyam tempoh hari. Hehe... Bahan yang ada sahaja saya gunakan.

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan tilapia ( dilumur dengan garam kunyit dan digoreng garing ikut suka )
2 sudu besar cili kering dikisar
5 biji cili api hijau ( kalau hendak pedas banyak pun boleh )*
5 biji bawang putih *
3 biji limau kasturi saiz besar diambil jusnya
3 biji bawang merah dijadikan bawang goreng
setangkai daun bawang dihiris
setangkai daun sup dihiris
garam dan gula secukup rasa
sedikit air

Cara-cara menyediakannya:

1. Tumbuk lumat bahan bertanda *.
2. Tumis cili kering yang dikisar hingga terbit minyak diikuti bahan yang ditumbuk. Gaul mesra.
3. Masukkan jus limau kasturi diikuti sedikit air untuk dijadikan kuah kalau suka tetapi saya lupa hendak memasukkan semasa masak jadi hasil masakan saya agak garing.
4. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
5. Masukkan pula hirisan daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
6. Akhir sekali masukkan ikan tilapia yang telah digoreng tadi. Lumurkan dengan bahan tumisan dan biarkan di atas api seketika.

Wednesday, January 6, 2010

TOMYAM AYAM





Assalamualaikum dan selamat malam buat semua pengunjung yang sudi singgah dan melayari blog saya. Mudah-mudah dikurniakan Allah dengan kesihatan dan dimudahkan segala urusan. Saya memang gemar makan dan menghirup kuah apa jenis tomyam pun. Saya menggemari rasanya yang pedas, masam, masin dan manis. Semalam saya masak tomyam ayam ini mengikut resepi saya sendiri. Alhamdulillah, suami kata sedap. Suami sebenarnya tidak berapa gemar makan tomyam, cuma saya dan anak-anak sahaja. Saya juga menyediakan ayam goreng berempah untuk hidangan tambahan. Seronok melihat suami dan anak-anak berselera makan. Jom kita kongsi resepi lagi.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1/2 ekor ayam (dipotong kecil)
1 senduk cili kering dikisar
7 biji bawang merah *
3 biji bawang putih *
1 inci halia *
1 inci lengkuas muda *
7 biji cili api hijau dititik
7 batang serai dititik
7 helai daun limau purut dikoyak sedikit
3 biji limau nipis diperah airnya
1 batang lobak merah dipotong ikut suka
2 biji bawang besar dipotong berbaji
3 biji tomato dipotong berbaji
7 batang jagung muda sederhana besar dipotong ikut suka
segenggam kobis bunga dipotong ikut suka
serbuk perasa kalau suka
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya:

1. Tumis cili kisar hingga terbit minyak. Masukkan bahan-bahan yang dikisar (bahan-bahan bertanda *) gaul bersama dan tumis lagi hingga naik bau.
2. Masukkan serai yang dititik, kacau sebati. Setelah berbau wangi, masukkan pula ayam yang telah dipotong dan gaulkan dengan rempah yang ditumis tadi. Masukkan air mengikut sukatan yang disukai serta daun limau purut.
3. Setelah mendidih, masukkan pula perahan air limau nipis, serbuk perasa, garam dan gula secukupnya.
4. Masukkan cili api hijau yang dititik, tomato, bawang besar, kobis bunga, lobak merah dan jagung muda. Biarkan di atas api seketika.
5. Tutup api dan hidangkan.

Tuesday, January 5, 2010

KERUTUP IKAN MERAH




Assalamualaikum rakan-rakan blogger semua. Di harapkan sentiasa bahagia dan ceria bersama keluarga tersayang. Kerutup ikan ini merupakan salah satu masakan yang saya kenal setelah masuk dalam keluarga Hj Yasin (mertua). Bahan bumbunya jauh berbeza dengan kerutup daging atau ayam. Ianya lebih kepada sambal tetapi diberikan nama yang sama. Jangan marah ya. Hehe... Selalunya saya gunakan ikan cencaru untuk membuatnya tetapi oleh kerana semasa ke pasar hari itu ikan cencaru yang dijual telah memakai contact lens, saya bertukar kepada ikan merah. Bahan-bahan mentahnya seratus peratus ikut resepi mak ngah suami tetapi saya tambah dengan hirisan daun limau purut biar wangi. Jom kita kongsi resepi..

Bahan-bahan yang diperlukan:

3 ekor ikan merah sederhana besar ( dilumur dengan garam kunyit dan digoreng ikut citarasa)
2 senduk cili kering dikisar
3 biji cili merah *
5 biji bawang merah *
3 biji bawang putih *
2-3 biji buah keras *
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
sedikit belacan *
5 batang serai dititik
2 helai daun limau purut dihiris agak halus
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan sebuk perasa

Cara-cara membuatnya:

1. Kisar bersama bahan bertanda * dengan air asam jawa.
2. Tumis cili kering kisar hingga terbit minyak, masukkan bahan-bahan kisar dan gaul sebati. Tumis lagi hingga garing.
3. Masukkan serai yang dititik dan hirisan daun limau purut. Gaul sebati hingga berbau wangi.
4. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
5. Bila bahan tumisan sudah mesra, masukkan pula ikan yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan biarkan di atas api seketika.
5. Alhamdulillah, siap dan boleh dihidangkan dengan nasi panas.


KUIH BAKAR@BINGKA PANDAN




Assalamualaikum semua. Sekarang sudah jam 12.49 tengah malam. Anak saya Noor Syuhadah yang baru melangkah ke tingkatan 2 di Sekolah Menengah Ahmad Maher masih tekun menyiapkan kerja sekolahnya. Adham juga belum tidur lagi, selepas jemu mengadap laptop, dia beralih ke tv pula. Hamimah dan ayahnya sudah dari tadi terlena. Kuih bakar@bingka@bingkang ini pertama kali saya cuba membuatnya. Resepinya biasalah saya ceduk dari internet. Terima kasih kepada penyumbangnya. Arwah emak memanggil kuih ini kuih bakar. Arwah memang gemar membuat kuih ini. Teringat saya semasa kecil-kecil dahulu, saya dan Noni (adik) suka benar melihat emak membancuh apa-apa kuih pun. Yang paling melekat diingatan saya ialah ketika arwah membancuh adunan kuih bakar ini. Arwah hanya menggunakan tangan sahaja ketika melarutkan tepung, santan kelapa, air pandan, gula dan telur. Setelah adunan sebati arwah akan masukkan bancuhan tadi ke dalam acuan lubang dan dibakar di atas dapur gas. Setelah kuih bakar ini masak saya akan mengoyakkan bahagian yang garing untuk dimakan. Sedap betul, bahagian yang lembut (di tengah) saya tidak suka. Hehe... Waktu itu agak sukar menyediakan kuih ini sebab kelapa tua kena dijolok dari pokok, kemudian dibuang sabut, dipecah 2, dikeluarkan isinya, diparut dan diperah santannya. Begitu juga dengan daun pandan, sama ada arwah memarut daun tersebut atau ditumbuk lumat lalu dimasukkan air dan diperah jusnya. Tetapi emak ku yang satu ini memang rajin, serajin rajinnya. Rasanya yang menurun kerajinan dan kemahiran arwah membuat kuih muih adalah kakak saya yang ke 3, iaitu Kak Mas yang berkulit putih kemerah-merahan macam arwah juga. Hehe... Hasil percubaan pertama saya ini tidak cantik di mata tetapi lemak dan manis, senang kata sedap gitu di lidah. The credit should go to the penyumbang resepinya di internet...