Thursday, February 16, 2012

DAGING MASAK HITAM ALA SARAWAK



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Curi-curi masa menulis entri kali ini. Serba ringkas dan cepat. Sejak tinggal di Sarawak ini saya selalu dihidangkan dengan masakan daging cara ini tatkala menghadiri majlis makan-makan. Lebih kurang masakan kicap daging kalau kita di semenanjung cuma dalam masakan ini ditambah kerisik, kismis hitam, gula apong dan lainnya. Rasanya unik sedikit bila ditambah bahan-bahan ini.
Resepi saya ambil dari blog masakan kepunyaan Mynoraza iaitu 'Ariff Bonda'. Terima kasih diucapkan. Sesetengah bahan mentah dan sukatannya ada yang saya tukar ikut kesesuaian dan tidak mengikut sepenuhnya resepi ini.
Resepi akan saya letakkan bila ada masa nanti sebab saya kena berhenti untuk melunaskan kerja-kerja rumah. Jumpa lagi nanti, insyaAllah...

Bahan-bahan perap:

500 gram daging - hiris
2 sudu besar kicap pekat karamel
3 sudu besar gula apong (boleh kurangkan)

Bahan-bahan kisar:

3 batang serai
sedikit lengkuas
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
15 tangkai lada kering
1/3 cawan prune@kismis hitam

Bahan-bahan tumis:

Rempah tumis 4 sekawan - banyak ikut suka
5 biji bawang merah - dimayang
>< 1-2 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar kerisik
minyak masak secukupnya

sedikit air asam jawa
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Gaul daging bersama kicap pekat dan gula apong secara merata hingga sebati. Perap seketika.
2. Panaskan minyak dan tumis rempah tumis 4 sekawan dan bawang yang dimayang. Bila bawang sudah agak garing (jangan sampai hangus) masukkan bahan-bahan yang dikisar. Kacau sebati.
3. Masukkan rempah kurma dan kacau lagi. Biarkan hingga pecah minyak dan naik bau.
4. Masukkan sedikit air asam dan kacau lagi.
5. Masukkan daging yang diperap tadi dan kacau sebati. Kalau daging sukar empuk tambahkan sedikit air, tutup kuali dan reneh dengan api kecil. Kacau sekali sekala supaya tidak hangus.
6. Masukkan kismis hitam@ prune yang telah dikisar ke dalamnya. Kacau lagi biar mesra.
7. Masukkan kerisik dan gaul sebati. Rasakan masinnya. Masak hingga kuah pekat dan daging benar-benar empuk.

Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas, ketupat nasi, lemang, ketupat daun palas dan juga boleh juga dimakan bersama roti.




Tuesday, February 14, 2012

SOTONG BAKAR BERSAMBAL



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kali ini kita berkongsi resepi sotong bakar bersambal pula. Setelah menikmati keenakan hidangan ini di restoran makanan laut teringinlah pula hendak mencubanya di rumah. Hehehe... Memang sedap menikmati masakan ini bersama nasi panas. Pedas, masam, manis, lemak dan masin semua ada. Jom kita cuba...

Bahan-bahannya:

15 tangkai cili kering - celur dan kisar
3 biji lada merah - dikisar
1 biji bawang besar - dikisar
3 biji bawang merah - dikisar
1 ulas bawang putih - dikisar
3 batang serai - dikisar
sedikit lengkuas - dikisar
sedikit halia - dikisar
sedikit belacan - dikisar
sedikit air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya
500 gram sotong saiz sederhana besar - potong bulat
aluminium foil
limau kasturi

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan sedikit air asam jawa sekadar buat rasa-rasa saja.
2. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Masak sambal hingga benar-benar mesra. Sedikit lama dengan api perlahan. Keraplah dikacau agar tidak hangus. Sejukkan.
3. Sediakan aluminium foil dan letakkan sotong dan masukkan sambal yang telah siap dimasak tadi. Bungkus rapi.
4. Panaskan pembakar dan bakar selama lebih kurang 15 ke 20 minit.
5. Hidangkan bersama perahan jus limau kasturi.
6. Jika sambal ini lebih bolehlah disimpan di dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk. Sambal ini bukan saja boleh digunakan untuk membakar sotong, malahan udang dan ikan juga.

KEK COKLAT KUKUS




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mari kita berkongsi resepi kek coklat kukus yang enak rasanya, cepat dan mudah cara penyediaannya. Resepi saya cedok dari Saji Online. Rasanya sudah 3, 4 kali saya membuat kek coklat kukus ini memandangkan anak-anak suka memakannya.


Bahan-bahannya:

1 cawan koko
1 cawan gula
1 cawan margerin cair (saya guna mentega)
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
11/4 tepung
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil baking soda
3 biji telur (dipukul)

Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda. Ketepikan.
2. Dalam periuk, masak koko, gula, margerin, susu cair dan susu pekat hingga cair dengan api sederhana. Jangan sampai hangus.
3. Sejukkan.
4. Masukkan telur ke dalam adunan ini dan kacau sebati. Tambahkan dengan tepung dan gaul lagi hingga sebati.
5. Kukus selama 1 jam dan biar sejuk baru dipotong-potong.

Monday, February 13, 2012

UDANG MASAK MASAM MANIS



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu mudah lagi dari saya, udang masak masam manis. Di Kuching ini mudah hendak mendapatkan udang segar saiz besar dengan harga yang dalam kemampuan kita. Jadi jika saya ke Pasar Satok setiap hari Sabtu udang saiz besar dan udang galah jika ada dijual saya akan membelinya. Lagi pun seminggu sekali saya belanja basah jadi saya beli lauk dan keperluan seminggu terus. Saya bukanlah peminat udang tetapi memandangkan anak-anak dan suami suka, saya pun suka membeli dan memasaknya.

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz besar - digunting sesungut, belah belakang dan cuci bersih
secubit garam
sedikit serbuk kunyit
15 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih kisar
sos tomato secukupnya - saya tak sukat
sedikit sos cili - bagi pedas
1/2 sudu kecil pati asam jawa adabi
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
sedikit garam dan gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang bersama garam dan serbuk kunyit, ketepikan.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tadi sekadar kulitnya bertukar warna. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Dengan lebihan minyak tadi (kalau banyak sila kurangkan), tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
4. Masukkan sos tomato, sos cili dan asam jawa. Kacau sebati.
5. Masukkan serbuk cukup rasa Knorr, kacau lagi. Rasakan masin dan manisnya barulah masukkan udang yang telah digoreng tadi.
6. Gaulkan udang dengan bahan-bahan tumis tadi hingga mesra dan siap untuk dihidangkan.

TUMIS KERING LABU KUNING



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri saya kali ini hanya hendak membersihkan sawang di blog suka-suka saya ini yang rasanya agak lama saya biarkan. Sejak menjadi 'supir' anak-anak sekolah dan Adham mula naik tahun satu saya benar-benar sibuk. Hehe... Almaklumlah tuan punya blog ini bila buat kerja agak lambat sedikit.
Sebenarnya labu kuning ini saya hendak masak lemak bersama pucuk manis tetapi pucuk manis terlupa hendak beli jadi saya cuba-cuba masak tumis kering. Alhamdulillah, sedap juga sekali-sekala tukar menu ini. Lagi pun masak apa sekali pun labu ini saya seorang saja yang memakannya. Huhu...

Bahan-bahannya:

1 mangkuk labu kuning - potong dadu
1/2 genggam ikan bilis
3 biji bawang merah
seulas bawang putih
3 biji lada merah - dihiris
sedikit belacan
garam, gula dan perasa secukupnya
sedikit air
sedikit minyak masak

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis agak lumat ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi bersama belacan. Masukkan cili merah yang telah dihiris tadi. Kacau hingga pecah minyak.
3. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau lagi.
4. Masukkan labu kuning dan sedikit air. Kacau dan tutup kuali seketika.
5. Bila labu kuning empuk bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.