Tuesday, February 14, 2012

KEK COKLAT KUKUS




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mari kita berkongsi resepi kek coklat kukus yang enak rasanya, cepat dan mudah cara penyediaannya. Resepi saya cedok dari Saji Online. Rasanya sudah 3, 4 kali saya membuat kek coklat kukus ini memandangkan anak-anak suka memakannya.


Bahan-bahannya:

1 cawan koko
1 cawan gula
1 cawan margerin cair (saya guna mentega)
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
11/4 tepung
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil baking soda
3 biji telur (dipukul)

Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda. Ketepikan.
2. Dalam periuk, masak koko, gula, margerin, susu cair dan susu pekat hingga cair dengan api sederhana. Jangan sampai hangus.
3. Sejukkan.
4. Masukkan telur ke dalam adunan ini dan kacau sebati. Tambahkan dengan tepung dan gaul lagi hingga sebati.
5. Kukus selama 1 jam dan biar sejuk baru dipotong-potong.

Monday, February 13, 2012

UDANG MASAK MASAM MANIS



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu mudah lagi dari saya, udang masak masam manis. Di Kuching ini mudah hendak mendapatkan udang segar saiz besar dengan harga yang dalam kemampuan kita. Jadi jika saya ke Pasar Satok setiap hari Sabtu udang saiz besar dan udang galah jika ada dijual saya akan membelinya. Lagi pun seminggu sekali saya belanja basah jadi saya beli lauk dan keperluan seminggu terus. Saya bukanlah peminat udang tetapi memandangkan anak-anak dan suami suka, saya pun suka membeli dan memasaknya.

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz besar - digunting sesungut, belah belakang dan cuci bersih
secubit garam
sedikit serbuk kunyit
15 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih kisar
sos tomato secukupnya - saya tak sukat
sedikit sos cili - bagi pedas
1/2 sudu kecil pati asam jawa adabi
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
sedikit garam dan gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang bersama garam dan serbuk kunyit, ketepikan.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tadi sekadar kulitnya bertukar warna. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Dengan lebihan minyak tadi (kalau banyak sila kurangkan), tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
4. Masukkan sos tomato, sos cili dan asam jawa. Kacau sebati.
5. Masukkan serbuk cukup rasa Knorr, kacau lagi. Rasakan masin dan manisnya barulah masukkan udang yang telah digoreng tadi.
6. Gaulkan udang dengan bahan-bahan tumis tadi hingga mesra dan siap untuk dihidangkan.

TUMIS KERING LABU KUNING



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri saya kali ini hanya hendak membersihkan sawang di blog suka-suka saya ini yang rasanya agak lama saya biarkan. Sejak menjadi 'supir' anak-anak sekolah dan Adham mula naik tahun satu saya benar-benar sibuk. Hehe... Almaklumlah tuan punya blog ini bila buat kerja agak lambat sedikit.
Sebenarnya labu kuning ini saya hendak masak lemak bersama pucuk manis tetapi pucuk manis terlupa hendak beli jadi saya cuba-cuba masak tumis kering. Alhamdulillah, sedap juga sekali-sekala tukar menu ini. Lagi pun masak apa sekali pun labu ini saya seorang saja yang memakannya. Huhu...

Bahan-bahannya:

1 mangkuk labu kuning - potong dadu
1/2 genggam ikan bilis
3 biji bawang merah
seulas bawang putih
3 biji lada merah - dihiris
sedikit belacan
garam, gula dan perasa secukupnya
sedikit air
sedikit minyak masak

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis agak lumat ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi bersama belacan. Masukkan cili merah yang telah dihiris tadi. Kacau hingga pecah minyak.
3. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau lagi.
4. Masukkan labu kuning dan sedikit air. Kacau dan tutup kuali seketika.
5. Bila labu kuning empuk bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Friday, January 27, 2012

Thursday, January 26, 2012

SAUTEED GOLDEN PRAWNS WITH SALTED DUCK EGG YOLK



Assalamualaikum. Dah lama tak update blog. Resepi ambil dari blog masakan orang cina. Kebetulan masa tinggal di Kota Bharu pernah makan nasi berlaukkan menu ini di restoran makanan cina. Memang sedaplah sebab itu saya sanggup menggodeh google untuk mencari resepi ini. Cuma janganlah dimakan selalu sebab makanan ini jenis tak sihat. Hehe...
Jom kita lihat resepinya. Bahan-bahan yang digunakan tak banyak, yang penting ada udang saiz besar dalam stok dan kuning telur itik masin.

Bahan-bahan:

180 gram udang saiz besar - siang, belah belakang dan cuci bersih, toskan
1/2 sudu kecil serbuk pati ayam
1/2 sudu kecil garam laut
1 sudu besar air
4 biji kuning telur itik masin
1 sudu kecil tepung
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara:

1. Masukkan udang dalam mangkuk dan tambahkan stok ayam.
2. Hancurkan 2 biji kuning telur itik masin dengan garfu. Masukkan dalam mangkuk udang tadi dan tambahkan dengan tepung. Gaul sebati.
3. Panaskan minyak dan goreng udang selama 2 minit. Angkat.
4. Masukkan lebihan telur kuning itik masin dan hancurkan dengan sudip. Masukkan air. Masak hingga minyak berbuih-buih.
5. Masukkan udang dan kacau sebati. Sedia untuk dihidangkan.