Monday, August 9, 2010

GULAI UDANG DENGAN NENAS


Assalamualaikum dan selamat malam. Sudah agak lama rasanya saya tidak menjenguk dan mengupdate blog. Hari ini saya dapat buat entri baru dengan serba ringkas. Mari kita kongsikan resepi gulai udang dengan nenas ini. Selamat mencuba pada yang sudi...



Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar - bersih dan rapikan rupanya. Hehe...
1 mangkuk kecil nenas dipotong
13 biji cili padi dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
air asam jawa (digunakan untuk mengisar) - boleh guna asam keping
5 batang serai dititik
1/2 cawan pati santan
air secukupnya
garam, gula

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar yang telah dikisar bersama air asam jawa tadi bersama serai yang dititik hingga naik bau.
2. Tambahkan dengan air (ikut suka bergantung pada banyak kuah yang diingini) diikuti dengan pati santan tadi. Kacau selalu agar santan tidak bergentel.
3. Apabila kuah telah menggelegak, masukkan potongan nenas dan udang. Kacau sebati.
4. Rasakan masin dan manisnya. Biarkan di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.

Friday, August 6, 2010

MENU SEMALAM

cencaru goreng bersambal


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini tengok gambar sahajalah ya. Semua ini menu saya semalam. Alhamdulillah sedap dan menyelerakan. Jom jamu mata...


sayur campur masak lemak, macam-macam ada...


hati lembu goreng kunyit

Thursday, August 5, 2010

BUAH KEMBANG SEMANGKUK


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Entri kali ini bukan tentang masak-masak dan keluarga dan kehidupan tetapi entri khas untuk blogger Dedaun Alam, En Daun. Inilah rupa buah kembang semangkuk yang belum direndam dan kembang. Biasanya kita jumpa buah yang sudah kembang ini di dalam minuman lai chi kang. Di antara khasiatnya boleh meredakan panas badan dan batuk-batuk yang tidak mahu sembuh walaupun sudah menelan berbotol-botol ubat. Hehe... Kalau hati panas pula kenalah berwudhuk untuk menyejukkannya.
Buah kembang semangkuk ini kecil sahaja saiznya, lebih kurang saiz syiling 5 sen. Biasanya kalau di Johor banyak di jual di kedai-kedai sinseh atau kedai ubat cina. Biasanya buah-buah ini akan dicuci bersih, ditoskan dan direndam semalaman dengan air panas mendidih. Untuk lebih menyedapkan lagi rasanya sesetengah orang akan mencampurkan air rendaman bersama buah kembang semangkuk ini dengan sedikit gula atau gula batu.

Tuesday, August 3, 2010

ROTI BENGGALI @ BAI VERSI BUN


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya menguli tepung lagi untuk membuat roti. Maklumlah masa buat minggu lepas Syuhadah tidak merasa kerana berada di Langkawi. Kali ini saya ubah sedikit resepi yang lalu dan jadikan bun pula.



Lihatlah hasilnya, alhamdulillah memang seronok saya tengok. Gebu dan putih. Hamimah sahaja yang mengeluh sebab saya taburkan dengan bijan di atas bunnya. Suami saya yang tidak rajin merasa roti buatan saya pun teruja mencicah bun ini dengan air kopi o panas. Sedap pujinya dan boleh dijual. Jangan lupa resepi yang awak gunakan, pesannya lagi. Bukan senang En Hairul kita hendak memuji, biasanya kutuk yang lebih. Hehe...



Syuhadah kata besar dan bulatnya roti emak buat kali ini. Hehe... Hilang rindu dengan Syuhadah. Hari itu sewaktu menjemput dia pulang dari rombongan di sekolah, saya cium pipinya yang berisi itu, hehe... Rindu sungguh. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

400 gram tepung roti
1 biji kuning telur - gred A
13/4 sudu besar minyak jagung
2 sudu besar gula
2 sudu besar susu tepung
secubit garam
1/2 sudu kecil bread improver
1 sudu besar gula *
1 sudu besar yis kering *
1/2 cawan air suam*
air suam secukupnya untuk menguli
1 biji putih telur + sedikit air - untuk glaze
sedikit bijan
sedikit margerin

Cara-caranya:

1. Larutkan bahan-bahan bertanda * dan rehatkan sehingga yis kembang.
2. Sementara itu dalam mangkuk besar masukkan gula, susu tepung, minyak jagung, kuning telur, tepung roti , bread improver dan secubit garam halus. Gaul sebati.
3. Bila yis telah kembang, masukkan ke dalam campuran tepung tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit dan mulalah menguli tepung hingga menjadi doh yang licin.
5. Rehatkan doh ini hingga naik sekali ganda dan tumbuk-tumbuk doh tersebut. Uli dengan lembut sekali lagi dan bahagikan kepada 8 bahagian.
6. Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun di dalam loyang yang telah digriskan dengan margerin terlebih dahulu.
7. Rehatkan sebentar biar doh tadi naik 3/4 loyang. Sapu putih telur secara merata dan tabur bijan di atasnya.
8. Bakar dengan suhu 190C selama lebih kurang 30 minit atau sehingga masak.
10. Setelah masak sapukan sedikit margerin di atas bun tersebut.

Monday, August 2, 2010

AYAM MASAK KICAP BERSERAI DENGAN KENTANG


Assalamualaikum dan selamat petang rakan masak-masak semua. Lauk untuk makan tengahari tadi. Serai banyak sangat dalam stok jadi tambah-tambahkan dalam lauk kicap ayam ini. Hehe... Rasanya alhamdulillah, sedap juga. Macam rasa lauk kicap ayam biasa cuma ada bau aroma serai sahaja penambah selera.



Jom kita kongsikan resepi ayam masak kicap berserai dengan kentang yang serba ringkas ini. Kalau hendakkan kelainan boleh juga ditambah sedikit santan dan kerisik. Tambahkan juga ketumbar, jintan kasar dan jintan halus yang digoreng tanpa minyak dan dikisar. Bertambah sedaplah rasa ayam masak kicap ini...

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam - saya potong 12 bahagian digaul dengan garam kunyit dan digoreng lembab
7 tangkai cili kering dikisar
3 biji bawang sederhana besar dikisar
sedikit halia dikisar
1 biji bawang putih dikisar
3 batang serai dititik
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 batang kayu manis - sepanjang 1/2 inci tiap 1
sedikit air asam jawa
kicap pekat secukupnya
kicap masin secukupnya
gula secukupnya
3 biji kentang - dipotong 4 dan direbus sederhana empuk
1 biji bawang besar - dipotong bulat
5 batang lada merah - dibelah 2

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga naik bau. Tambahkan bahan-bahan yang dikisar bersama serai yang dititik. Kacau sebati. Biar hingga pecah minyak.
2. Masukkan kicap pekat dan kicap masin secukupnya. Tambahkan dengan sedikit gula dan air asam jawa. Biar ada rasa masam, manis dan masin ikut selera masing-masing.
3. Masukkan sedikit air, biar mendidih sekejap dan masukkan ayam. Gaul sebati.
4. Tambahkan dengan kentang, kacau lagi.
5. Apabila ayam dan kentang telah mula sebati dengan kuah kicap tadi masukkan pula hirisan bawang besar dan lada merah. Kacau sebati.
6. Tutup kuali seketika, kacau lagi, matikan api dan bolehlah dihidangkan.