Tuesday, April 6, 2010

UDANG BIJIRIN MENTEGA



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lauk makan tengahari membawa ke malam. Udang laut merah ini tidak secantik udang biru bila dimasak tetapi rasanya lebih kurang sama. Kalau segar lagi sedap agaknya. Macam biasalah udang bukanlah makanan kegemaran saya, saya tukang masak saja, makan bila takut terbuang saja. Mari kita kongsi resepi yang mudah ini...

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz sederhana besar
1 paket butter cereal brand delichef
3 tangkai daun kari dilurutkan
5 biji cili api dihiris
sedikit minyak masak
sedikit mentega

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak masak dan goreng udang hingga berubah warna. Angkat, toskan minyaknya dan ketepikan.
2. Panaskan mentega hingga cair. Tumiskan daun kari dan cili api hingga layu dan berbau wangi.
3. Masukkan udang yang telah digoreng tadi. Gaul sebati. Tutup api.
4. Masukkan bijirin mentega dan gaulkan bersama udang hingga mesra. Siap untuk dihidangkan.

PARU GORENG BERLADA LAGI...



Selain dimasak goreng berlada, goreng berempah dan sambal goreng, paru lembu ini sedap dimasak apa lagi ya? Ada sapa-sapa boleh beritahu saya? Kadang-kadang boring juga masak menu yang sama. Hehe... Macam biasalah paru goreng berlada ini memang kesukaan anak-anak, saya dan ayahnya tumpang sekaki saja. Rasanya resepi paru ini telah saya letak pada entri terdahulu tetapi oleh sebab saya terlebih rajin hendak menaip hari ini saya letak sekali lagilah ya. Hehe...

Bahan-bahannya:

500 gram paru lembu
5 batang cili merah
5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
sedikit belacan
air asam jawa
garam, gula dan serbuk perasa

Cara-caranya:

1. Paru lembu direndam seketika dengan campuran jus limau kasturi. Cuci bersih, rebus hingga empuk dengan hirisan halia.
2. Toskan paru lembu tadi dan hiris nipis-nipis ikut suka. Goreng dengan minyak panas tetapi jangan sampai terlalu garing.
3. Kisarkan cili merah, bawang merah, bawang putih dan sedikit belacan bersama air asam jawa hingga agak lumat.
4. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar tadi hingga pecah minyak. Tambahkan dengan garam, gula dan perasa sesedapnya. Kacau lagi.
5. Masukkan hirisan paru goreng tadi dan kacau sebati. Kalau suka boleh masukkan hirisan bawang besar ketika paru tadi hampir mesra dengan sambalnya.

SAMBAL SARDIN



Sambal sardin ini pula saya yang teringin hendak memakannya. Masakkan yang simple untuk dimasak oleh orang yang masih tidak sihat seperti saya. Suami, Hamimah dan saya suka. Malangnya Syuhadah pula tak minat makan sardin. Kalau karipap inti sardin peliknya laju saja dia mengunyah meninggalkan kami yang lain-lain. Hehe... Jomlah tengok resepi sambal sardin style saya...

Bahan-bahannya:

1 tin sardin Marina ditoskan kuah sosnya
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
lada kering dikisar banyak ikut suka
3 keping asam keping
sedikit belacan dikisar
3 batang serai dititik (kali ini saya tak letak sebab Hamimah tak suka baunya)
sedikit garam, gula dan serbuk perasa

Cara-caranya:

1.Tumiskan bahan-bahan kisar bersama asam keping. Asam keping ini seelok-eloknya hendaklah direndam dulu.
2. Bila bahan tumisan telah pecah minyak, masukkan sardin yang telah ditoskan sosnya tadi.
3. Kacau sebati dan rasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa secukupnya.
4. Masak hingga sardin dan sambal mesra.

IKAN MERAH MASAK KICAP



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ikan merah masak kicap ini adalah permintaan suami. Alhambdulillah tak perlu saya pening-pening kepala yang memang sudah sedia pening hendak masak apa dengan ikan merah ini. Jom tengok resepi yang ringkas ini...

Bahan-bahannya:

3 potong ikan merah bahagian ekor
1 biji bawang besar dipotong bulat
1 biji bawang putih dihiris
5 batang cili merah dihiris
sedikit air asam jawa, kicap masin, kicap pekat dan gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan isi ikan dengan garam kunyit dan goreng agak garing. Ketepikan.
2. Tumiskan bahan-bahan hiris hingga layu dan masukkan kicap masin, kicap pekat, air asam jawa dan gula secukup rasa.
3. Bila agak mahu mendidih, masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul sebati.
4. Biar sebentar di atas api supaya kuah kicap dan ikan tadi meresap.

Monday, April 5, 2010

JALAN-JALAN DI KUALA TERENGGANU

Di Pasar Payang. Anak-anak mengambil kesempatan bermain bubbles. Adhamlah yang paling seronok.

Lihatlah betapa happynya anak lelaki saya bermain bubbles dan layang-layang bersama kakak-kakaknya.


Inilah masjid Penarik. Peliknya jemaah muda dan berusia pertengahan seronok berborak dan menghisap rokok ketika khatib sedang membaca khutbah di perkarangan masjid dan pondok rehat yang disediakan. Sewaktu hendak memulakan solat barulah terhegeh-hegeh masuk masjid. Mazhab apa yang diikut, sakit hati saya melihatnya.

Adham berposing sementara menunggu ayahnya selesai menunaikan solat Jumaat.


Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah berjumpa lagi kita di alam maya ini. Berbanyak terima kasih buat adik-adik Yatie US, Su Mersing dan En Daun kerana masih sudi menziarahi blog saya, bertanya khabar dan mendoakan kesihatan saya. Alhamdulillah saya dan anak lelaki telah beransur sihat dari demam virus, selsema dan batuk. Destinasi jalan-jalan yang sepatutnya ke Cherating terpaksa dibatalkan saat akhir kerana Adham demam tinggi. Saya memang teramat bimbang jika Adham demam dan berjaga malam sebab jika Adham demam suhunya kadang-kadang mencecah 40C.
Namun belas pula melihat anak yang ke dua yang masih menyimpan harapan hendak bercuti kononnya. Apatah lagi pakaian dan keperluan lain telah siap dikemas jadi kami pergi ke destinasi yang dekat sahaja. Kuala Terengganu lagi dan kali ini kami menginap di Primula dan masa dipendekkan hanya semalam sahaja. Kami bertolak pagi Khamis dan sampai pada tengaharinya.
Adham nampak sudah sihat tetapi saya pula yang diserang bersin-bersin, apatah lagi saya memang alah dengan bau asap rokok. Selepas berehat sebentar kami jalan-jalan ke Pasar Payang, ambil kesempatan dengan perkhidmatan 'shuttle' yang disediakan oleh pihak hotel. Shopping baju anak-anak sahaja.
Pulangnya, kami menikmati durian yang dibeli oleh suami di luar Anjung Bistro yang berangin. Adham sudah mula menangis tidak selesa. Kemudian suami bawa kami ke Pantai Batu Burok untuk bermain layang-layang, air mata Adham pun keringlah dan diganti dengan ketawa riang. Berlari ke sana sini dengan gembiranya. Kite, kite katanya. Hehe...
Pulang ke bilik saya sudah rasa lain macam. Malam membawa ke pagi pun begitu, akhirnya jam 4 pagi saya bangun sebab sesak nafas. Mula-mula suami terjaga dahulu, sangka saya beliau hendak bertahajud rupa-rupanya hendak ke 7Eleven carikan ubat. Terharu sungguh saya. Hehe... Kami akhirnya ambil keputusan ke klinik sahaja, malangnya tiada klinik 24 jam seperti di Kelantan. Terpaksalah kami menapak ke KTS. Nurse, kakitangan dan doktor pun sedang tidur. Alhamdulillah, setelah minum susu, mengambil ubat dan menunaikan solat Subuh saya pun berehat dan tertidur semula.
Dalam perjalanan pulang kami berhenti di Masjid Besut sebab saya hendak menunaikan solat zohor, suami sudah awal-awal menunaikan solat Jumaat di Masjid Penarik. Saya sudah rasa mahu demam, pitam dan rebah. Sampai rumah saya benar-benar demam dan tidak boleh bangun. Badan terasa bisa-bisa. Mungkin saya terlalu penat dan tidak cukup rehat. Adham yang beransur sihat pun demam semula. Adham memang sentiasa melekat di samping saya. Jika tersedar dari tidur pun dia akan memanggil emak, emak... Dalam keadaan saya yang masih sakit menjaga Adham yang sakit pula, bayangkanlah....
Alhamdulillah pagi ini kami beransur pulih. Bagi seorang emak seperti saya melihat Adham sihat membuatkan saya bertambah sihat. Syukur sangat....