Monday, March 8, 2010

RENDANG PADANG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Rendang padang ini merupakan juadah yang saya sediakan khas untuk biras yang datang berziarah tempohari. Terlanjur gambarnya telah saya ambil dan tersimpan dalam kamera, saya buatlah entrinya walaupun agak lewat. Resepinya saya ambil dari buku resepi 'Dari Dapur Zarina' yang merupakan hadiah dari tunang saya waktu itu iaitu kira-kira 17 tahun lalu. Maklumlah semasa pihak suami datang meminang, arwah emak jujur mengatakan saya tidak pandai memasak. Hehe... Saya anak ke 7 dari 9 beradik. 7 perempuan dan 2 lelaki, bayangkanlah... Saya dan suami pun cuma kenal rupa sahaja waktu itu.
Saya ingat sebelum berpindah ke Kuantan dan Kota Bharu, juadah inilah antara yang saya masak ketika menyambut Aidil Fitri dan Aidil Adha. Saya akan bekaskan dan beri mertua dan arwah emak setiap pagi raya. Bila dikenang-kenang rasa sebak sangat sebab emak sudah tiada.
Rendang padang ini memerlukan banyak cili api dan bawang putih dalam masakannya. Memandangkan suami memang tidak tahan pedas dan kurang suka bawang putih, saya olah sedikit resepinya. Saya gantikan dengan cili kering tetapi kali ini saya gunakan cili kering, cili merah dan cili api yang dikisar. Sudilah jamu mata. Hehe...

Bahan-bahannya:

500 gram daging ( saya guna ayam )
1 helai daun kunyit
3 helai daun limau purut
1 sudu besar gula melaka
1 keping lengkuas ( 3 sm tebal ) dititik
1 batang serai dititik
garam secukupnya
600 gram kelapa parut }
3 cawan air } dicampur dan diambil santannya

Dikisar hingga halus:

40 biji cili padi
4 tangkai lada merah
10 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 inci halia

Cara-caranya:

1. Campurkan semua bahan-bahan di dalam periuk, didihkan, kemudian ditutup dan direnihkan. Dikacau sekali-sekala, masak hingga kuahnya pekat dan daging atau ayamnya empuk.

Buat Ayusliza yang minta resepi ini, ini adalah resepi yang original. Saya terpaksa olah sedikit ikut kesesuaian selera suami dan anak-anak. Selamat mencuba...

Saturday, March 6, 2010

GULAI DAGING BERSAMA REBUNG, SINGGANG DAGING





Assalamualaikum semua dan selamat malam. Kedua-dua juadah ini bukan saya yang masak tetapi diberikan oleh salah seorang kariah masjid sempena majlis sambutan Maulidur Rasul seusai solat Jumaat tadi. Alhamdulillah, rezeki. Sebenarnya suami menghadiri majlis tersebut tanpa menjamah hidangan yang disediakan sebab sebelum bersolat beliau telah makan terlebih dahulu jadi perut masih penuh. Namun Tuan Haji Rahim yang perihatin ini telah membungkuskan dua jenis lauk ini dan menghantarkannya ke rumah. Memang payah hendak mendapat jiran sebaik tuan haji dan isterinya. Singgang daging ini saya pandai masak. Hehe... Sementara gulai daging dengan rebung ini saya belum sempat mempelajarinya lagi. Mudah-mudahan dapatlah saya belajar memasak juadah ini satu hari nanti sebab rasanya memang sedap. Tambahan bila dimakan dengan nasi panas. Jom cuci-cuci dan jamu-jamu mata...

Friday, March 5, 2010

MENU RINGKAS SEMALAM

Masak bening kobis campur kentang, suhun dan fucuk. Masak rebus-rebus sahaja. Mudah sangat.

Ikan cencaru bakar lagi. Kali ini saya lumurkan dengan pati asam jawa, garam dan kunyit sebelum dibakar. Sedap juga.

Sambal belacan tomato dan air asam jawa yang saya belajar dari bibik makcik biras di Bangi hampir 3 tahun lalu. Lada merah, lada kecil, belacan, bawang besar, tomato digoreng terlebih dahulu. Toskan minyaknya dan tumbuk lumat. Kemudian campurkan air asam jawa secukupnya. Kalau suka boleh tambah secubit gula dan perasa.


Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat semua. Semalam saya menyediakan hidangan serba ringkas. Rebus dan bakar. Hehe... Anak ke dua belum benar-benar sembuh dari demam virus dan selsemanya. Bila disuruh makan ubat mesti kata hendak muntah. Macam-macam. Cuaca di luar, masyaallah tersangat panas hinggakan waktu malam membawa ke pagi air yang keluar dari paip terasa hangatnya...

Thursday, March 4, 2010

KARI IKAN BAWAL TANPA SANTAN



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Semalam saya menyediakan kari ikan bawal tanpa santan yang serba ringkas. Saya cuma tambahkan tomato sebab hanya tomato sahaja yang ada dalam simpanan. Musim panas begini saya cuba elakkan menggunakan santan. Mula-mula saya bercadang hendak masak stim tetapi memikirkan suami dan anak-anak tidak suka terpaksalah padamkan sahaja niat saya itu.
Saya, Adham dan Syuhadah baru pulih dari demam virus dan selsema. Kini Hamimah pula yang mengambil giliran. Minggu ini adalah minggu klinik bagi keluarga kami. Bukankah sakit itu kifarah bagi menghapuskan dosa-dosa kecil? Moga Allah jadikan hati-hati kami sentiasa redha. AMIN.... Alhamdulillah, dengan menulis di blog ini juga menjadi terapi saya mengubati hati yang sedih..
Jomlah kita tengok resepi yang semua orang boleh buat ini, insyaAllah...

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan bawal hitam saiz sederhana
5 biji bawang merah dihiris
1/2 inci halia dihiris
3 biji bawang besar dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1/2 inci halia dikisar
air asam jawa
2 sudu besar rempah kari ikan
1 sudu besar rempah kari daging
2 biji tomato dipotong ikut suka
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hiris.
2. Campurkan serbuk kari, air asam jawa dan bahan-bahan yang dikisar hingga menjadi pes.
3. Setelah bahan-bahan hiris yang ditumis tadi hampir garing, masukkan pes kari tadi. Kacau sebati hingga pecah minyak.
4. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau lagi.
5. Masukkan air anggaran banyak mana kuah pekat.
6. Bila kuah mendidih, masukkan ikan dan tomato. Biar seketika hingga kuah menggelegak dan ikan masak. Tomato kalau hendak masuk kemudian pun tidak mengapa. Ikut suka.

Pagi tadi kuah kari ini saya cicahkan dengan roti canai untuk sarapan pagi. Suami dan anak-anak lebih gemar makan roti bakar bersama kuah kari ini. Hehe...

OLE-OLE DARI PENGKALAN KUBOR



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hampir seminggu blog saya tidak dikemaskinikan namun masih ada juga pengunjung yang sudi datang. Saya ucapkan ribuan terima kasih pada semua. Maulidur Rasul yang lalu biras saya berkunjung dari Subang Jaya, jadi dikesempatan ini saya mengajak beliau ronda-ronda sekitar Pasar Buluh Kubu, Pasar Khadijah, Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh. Kelantan ini jika musim cuti, tidak kiralah cuti apa pasti padat dengan pelancong dalam negeri yang hendak membeli-belah. Sesak di jalan-jalan utama tidak payah cakaplah... Kadang-kadang ada yang hendak turut sama berjemaah solat subuh dengan Tuan Guru Nik Aziz dan kemudian mengikuti kuliah subuh beliau pada hari Jumaat.
Saya juga sempat menjamu biras saya dengan nasi berlauk dari kedai pokok ceri. Ayat pertama yang keluar dari mulut biras saya tu ialah murahnya Kak Anis. Hehe.. Bayangkanlah suami membeli 5 bungkus nasi berlauk dengan harga tidak sampai RM12. 3 lauk ikan dan 2 lauk ayam. Nasi dan lauknya banyak belaka. Lauk lemak kuning ikan ayanya memang cukup lemak dan rasanya. Memang tersangat kenyang kalau dihabiskan. Hehe....
Set teh ini saya beli buat tanda kenangan sempena kedatangan biras di Pengkalan Kubor. Saiznya comel dan memikat. Harganya RM60++. Biras berbelanja sakan sebab saudara mara ada yang kirim barang, selain sambal daging ( saya panggil serunding daging ), asam dan makanan ringan lain made in Kelantan untuk teman sekerja, jiran dan saudara mara.