Monday, December 7, 2009

JALAN-JALAN DENGAN KELUARGA

Hari ini saya dan keluarga jalan-jalan cuci mata. Kebetulan suami bercuti rehat hingga Selasa. Rancangannya kami hendak ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa dibatalkan sebab khabarnya Jalan Gua Musang ke Kuala Lumpur rosak teruk sebab banjir tempohari. Lagi pun keadaan cuaca masih tidak menentu jadi bimbang juga. Makan tengahari tadi kami di Selera Daun Pisang di Pengkalan Chepa. Nasi berlauk kerutup ayam kampung ini adalah pilihan saya.

Nasi berlauk ayam kampung goreng berempah pilihan Noor Hamimah.

Noor Syuhadah pula memilih nasi berlauk gulai daging.

Adham pula macam biasa, hanya memerhati kami makan. Untuk mengelakkan dia meragam, saya rasuah dengan mainan Ben 10 dulu. Hehe.. Yang itu tangan suami. Tidak sempat hendak mengambil gambar nasi pilihannya sebab sudah hampir licin. Rasanya kerutup ayam juga.
.
Selepas makan kami ke Muzium Perang. Anak-anak bergambar berlatarbelakangkan beca, kereta lembu, volkswagen, lanca dan lainnya. Bangunan di belakang yang kelihatan unik itulah Muzium Islam yang sedang diubahsuai tetapi tidak nampak pun kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan. Sedih betul...

Anak-anak membelakangkan kereta kebal dan perahu yang membawa tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Berlatar belakangkan periuk api (besar betul, ngeri melihatnya) dan peluru mortar.

Plak (betul ke, tak tau le nak sebut apa) menerangkan tentang Memorial Peperangan Dunia Kedua atau Bank Kerapu. Hajat hati hendak ke Muzium Islam di sebelahnya tidak menjadi kenyataan sebab muzium tersebut sedang diubahsuai. Sudah bertahun rasanya tetapi tidak siap-siap.

Menghilangkan dahaga di Restoran Ani Sup Utara. Tempat cantik dan selesa, Adham pun suka..

Selesai minum, kami ke Pasar Buluh Kubu pula. Sementara suami dan anak-anak solat di Musolla yang disediakan, saya dan Adham mengambil kesempatan mencuci mata. Kasihan Adham sebab sudah mula bersin-bersin. Rata-rata peniaga menjual barangan berasaskan batik dan tudung bawal berbagai jenis di samping barangan lainnya. Sudah terlanjur ke sana, kami membeli kain tudung, kemeja batik, kain pelikat dan rantai tangan untuk Hamimah.

Pulangnya, saya berehat sebentar dan terus ke dapur. Inilah hidangan ringkas yang saya sediakan sebab badan sudah penat. Ikan goreng dan sup suhun, fucuk, kentang dan telur. Ada tempoyak dan sambal belacan juga. Suami ajak keluar tetapi saya menolak sebab tidak mahu tertinggal episod akhir cerita Nenek Kebaya yang tidak dapat saya ikuti pada sebelah petangnya. Hehe.. Kalau dah surirumah tu macam inilah..

Friday, December 4, 2009

KEK MARBLE




Assalamualaikum semua. Kota Bharu hujan lagi, lebat pula. Bilalah musim hujan ini akan berhenti. Sepanjang 6 tahun lebih tinggal di pantai timur, suasana beginilah yang kami hadapi di hujung tahun. Kalau musim panas, panas sangat rasanya. Mengangkat kain di jemuran yang tidak memakan masa yang lama pun boleh membuat kepala sakit dan kadang-kadang terpaksa berpayung pula. Bila tiba musim hujan hendak berselimut sahaja rasanya. Hendak basuh pinggan pun air paip sejuk bukan main. Syukur, kawasan tempat tinggal kami jauh daripada banjir. Selebat mana hujan tanpa henti paling tidak air melimpah hingga memenuhi tapak garaj kereta sahaja. Alhamdulillah. Ada jiran-jiran kami yang di kawasan agak rendah, dapur dan bilik air mereka dimasuki air. Kasihan sungguh, mereka ini bukan orang senang pula. Apa yang saya perhatikan mereka ini cukup tabah menjalani kehidupan dan rajin bekerja. Ada pula yang mudah benar memberi pertolongan, maklumlah kami orang 'luar'. Saya kurang bergaul dengan jiran sekampung kerana masalah komunikasi tetapi bila berjumpa mereka, saya tetap mesra menyapa. Semalam saya sempat membakar kek marble di tengah-tengah kesejukkan yang menggila. Hehe... Resepi ini sudah lama saya salin dan saya mengambilnya dari blog 'mat gebu'. Sekiranya En Mat yang mahir memasak ini terbaca entri ini kakak hendak mengucapkan terima kasih dan maaf sebab ambil resepi tanpa izin En Mat. Waktu belum berkahwin dulu, sayalah orangnya yang diamanahkan arwah emak membuat kek setelah kakak ke 3 saya iaitu Kak Mas berkahwin dan berpindah. Namun setelah saya mendirikan rumahtangga, ditambah dengan suami yang tidak gemar sangat-sangat makan kek, saya terus tinggalkan minat itu. Sekarang ini hendak sambung baliklah sekiranya ada masa terluang. Anak-anak pun nampaknya gemar memakannya. Kek marble saya ini tidaklah secantik mana, setakat lulus sahaja tetapi rasanya alhamdulillah. Suami sekadar merasa secubit, anak-anak pula bila makan responnya sedap sahaja. Hehe....

Thursday, December 3, 2009

AYAM MASAK LEMAK CILI API BERKENTANG




Assalamualaikum semua. Ayam masak lemak cili api dengan kentang ini merupakan hidangan yang sering disediakan oleh arwah emak untuk kami sekeluarga. Selalunya emak menggunakan ayam hutan dan tidak pernah menggunakan ayam bandar sepertimana yang saya buat. Almaklumlah di bandar Kota Bharu ini mana hendak mencari ayam hutan. Mengimbau zaman kanak-kanak hinggalah berumahtangga saya tinggal di felda yang mengusahakan tanaman kelapa sawit hingga kini. Ayam hutan ini memang hidup bebas di kawasan ladang kelapa sawit ini. Makanan hariannya tentulah kelapa sawit jadi rasa ayam ini lebih manis dari yang lain. Bukan sahaja rasanya sedap, ayam hutan ini cantik bulunya berbanding ayam serama yang tidak cukup tinggi itu. Begitu juga jika dibandingkan dengan ayam kampung. Hehehe... Kadang-kadang arwah emak masak ungkep ringkas sahaja tetapi rasa sedapnya masih terasa-rasa di lidah hingga sekarang. Hehehe... Bapak, abang, dan adik lelaki memang arif mencari ayam hutan ini. Teringat semasa dahulu kalau mereka masuk ke kebun mencari ayam hutan, kami yang di rumah akan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, dapat tak, dapat tak. Kalau ada rezeki hari itu gembira sungguh. Hai, rindunya zaman-zaman itu. Rindunya dengan bapak, kak ara, kak ipah, kak mas, abang, ita, ina, noni dan yan... Terutama sekali tentulah arwah emak... Berbalik pada lauk ayam tadi rasanya tentulah tidak secanggih masakan arwah emak tetapi suami saya tetap suka, syukurlah. Ayam cincang goreng ketumbar ini pula untuk anak-anak perempuan saya. Gembira melihat mereka makan dengan berselera.

Wednesday, December 2, 2009

PIZZA

Pizza yang sudah siap dan hanya tinggal menunggu masa untuk dibakar.

Pizza yang telah siap dibakar
.
Setelah dipotong-potong dan tinggal masuk mulut je. Hehe....

Ini pula karipap inti sardin buat suami.
Jangan marah, sudah banyak kali saya buat entri tentangnya. Bukan apa, untuk suka-suka.

Ini pula karipap yang masih mentah dan sedang menunggu untuk digoreng

.
Assalamualaikum semula. Kota Bharu sejak 3 hari ini hujan semula tanpa henti. Kadang-kadang lebat dan terkadang renyai-renyai. Sejuk hingga menusuk ke tulang hitam rasanya. Allah itu Maha Penyayang, diberinya panas tatkala Aidil Adha menjelang supaya hambaNya mudah melakukan ibadah korban. Alhamdulillah. Semalam selesai memasak saya pun menguli tepung untuk membuat pizza. Sudah lama saya berhasrat hendak membuat pizza ini tetapi asyik tertangguh sahaja, kadang-kadang mood memainkan peranan juga. Anak-anak bila tahu saya hendak membuat pizza tersenyum lebar dan yang sulung sanggup tidak makan tengahari. Selepas membuat pizza saya menguli tepung lagi untuk membuat karipap inti sardin. Yang ini untuk suami sebab beliau memang tidak suka makan pizza. Selesai mengelim karipap saya simpan untuk digoreng sebelah petang.

Cara-cara hendak membuat pizza adalah seperti berikut.

Untuk membuat dohnya saya menggunakan:

500gm tepung gandum
1 paket mauripan
secubit garam
2-3 sudu besar marjerin
air secukupnya untuk menguli

Untuk toppingnya pula:

1 tin kecil sos spagetti tradisional jenama prego
1 tin nenas gegelang dalam tin }
1 paket sosej ayamas perasa cendawan } dihiris kecil-kecil
1 tin cendawan butang }
250 gm keju parut mozarella

Cara-cara membuatnya:

1. Masukkan tepung dan mauripan dalam bekas dan digaul dengan margerin hingga sebati.
Uli campuran tepung tadi dengan air yang dicampur dengan sedikit garam sehingga menjadi
doh. Rehatkan hingga naik sekali ganda. Tumbuk doh tadi kemudian uli sekali lagi dan
dibahagi 2 (untuk mendapatkan 2 saiz pizza sederhana besar)
2. Gelek doh tadi lebih kurang 2-3 cm tebal. (saya pakai ukuran agak-agak, hehe...)
Ketepikan.
3. Doh yang telah siap digelek tadi disapu atasnya dengan sos spagetti prego. Taburkan keju.
Kemudian taburkan pula sosej, cendawan butang dan nenas yang telah dihiris nipis-nipis tadi.
Akhir sekali taburkan lagi kejut parut di atasnya.
4. Bakar hingga masak. Maaflah bab menggunakan oven ini saya kurang mahir. Selalunya saya
gunakan periuk serbaguna. Semalam saya cuba gunakan oven dengan kepanasan 180 celcius
selama lebih kurang 30 minit. Bolehlah dikatakan lulus. Hehe....

Tuesday, December 1, 2009

ASAM PEDAS IKAN HARUAN LAUT BERSAMA TERUNG



Assalamualaikum semua. Moga sentiasa diberkati Allah. Asam pedas ikan haruan laut bersama terung ini merupakan menu saya semalam. Ikan haruan laut? Saya pun baru pertama kali mengenali dan melihatnya. Menurut makcik penjual ikan yang peramah ini, ikan ini sedap jika dimasak asam pedas (menu kesukaan suami) dan juga kari. Oleh kerana tidak banyak pilihan ikan semalam, saya pun membelinya. Rupanya ada setengah penjual ikan dan sayuran belum memulakan perniagaan lagi, masih bercuti apatah lagi bekalan bahan mentah menurut mereka tidak sampai lagi. Beginilah Aidil Adha di Kelantan. Memang benar-benar dirai. Selalunya jika hari saya ke pasar iaitu seminggu sekali merupakan hari cuti saya ke dapur. Malangnya semalam hujan lebat, ditambah lagi kedai menjual nasi berlauk yang kami panggil kedai pokok ceri tutup juga. Jadi sampai sahaja di rumah saya terus memasak juadah ini.

Bahan-bahan yang diperlukan:

500 gm ikan haruan laut
1 biji terung ungu bersaiz besar
15-20 biji cili kering }
5 biji bawang merah }
1 biji bawang putih }
seketul belacan }
1 cm kunyit hidup }
1 cm halia muda }
air asam jawa (banyak mana ikut suka)
minyak masak untuk menumis
sedikit garam
sedikit gula
sedikit serbuk perasa ( kalau suka)

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan yang dikisar hingga hingga pecah minyak.
2. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa. Kacau dan masak hingga sebati.
3. Masukkan ikan yang dicuci bersih dan gaul dengan bahan tumisan tadi. Kemudian masukkan air hingga suku badan ikan.
4. Bila agak menggelegak, masukkan pula air asam jawa.
5. Akhir sekali masukkan terung ungu yang telah dipotong memanjang. Biarkan seketika.
6. Rasakan manis, masam, lemak dan masinnya.

Berselera sungguh saya melihat suami makan hingga tambah sampai 3 kali, pada hal malamnya kami berbincang untuk mengurangkan pengambilan nasi. Kasihan pula hendak menegur ketika beliau tengah sedap-sedap makan. Akhirnya beliau bersuara sendiri, ini dah terlebih makan ni. Hehe... Apa-apa pun buat suami doa saya sentiasa mengiring beliau.