Thursday, September 22, 2011

PUDING KUAH YATIE



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hampir sebulan saya tidak membuat entri baru di sini. Maklumlah blog ini pun dihadirkan sekadar suka-suka. Bila ada masa terluang, dikurniakan kerajinan dan ilham saya menulislah.
Ramadhan lepas saya ada meminta keizinan dari Yatie blogger 'Sinar Kehidupanku' untuk mencuba resepi puding beliau. Saya amat tertarik dengan puding kuah hasil dari air tangan beliau. Nampak cantik sahaja sepertimana tuan yang membuatnya. Terima kasih Yatie. Memang sedap sepertimana rupanya.
Saya biasa membuat puding kuah ini sebab memang pencuci mulut kegemaran saya dan selalunya saya campurkan kisaran halus jagung dalam tin di dalam adunan kastardnya.
Jom kita lihat resepinya. Yatie, izinkan akak c&p di sini pula ya. Terima kasih daun keladi, hehehe.


Bahan2 Utk Puding
  • 1 cwn tepung kastard
  • 4 1/2 cwn air
  • 1/2 cwn susu cair
  • 1/2 cwn gula
Cara-Cara
  1. Satukan tepung kastard bersama gula, susu cair dan air. Gaul semuanya.
  2. Masak di atas api sederhana sehingga agak pekat dan kacau sentiasa. Biasanya dlm anggaran 20 minit. Setelah agak pekat, matikan api dan tuang dlm bekas2 kecil atau loyang.
  3. Biarkan sejuk sebentar dan simpan dlm peti sejuk. Setelah beku barulah boleh di hidangkan.
Bahan Utk Kuah

  • 1 tin buah-buahan dalam tin
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air biasa (air masak)
  • 1 cwn gula( terpulang pd masing2 ya..)
  • ketulan ais secukupnya
Cara-Cara
  1. Masak gula bersama air(sekadar gula hancur je..). Setelah itu biarkan sejuk.
  2. Setelah air gula sejuk, bolehlah tuang buah-buahan dalam tin dan susu.
  3. Ambil puding tadi dan masukkan kedlm mangkuk...tuangkan kuah yg bercampur buah-buahan dalam tin.
  4. Sedap di makan ketika sejuk. Boleh juga di letak ketulan ais.
**Biasanya saya guna air masak biasa campur dngn susu cair dan gula saja. Lepas tu tuangkan buah laici.Gaul sebati dan letak sedikit ketulan ais. Barulah di hidangkan bersama puding kastard.


Wednesday, August 24, 2011

KARI KAMBING TANPA SANTAN



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Kari kambing tanpa santan lagi. Biasanya saya kalau masak kari memang jarang menggunakan santan sebab suami kata sudah sedap begitu saja. Bila masak kari untuk hari raya saja saya gunakan santan dan kadang-kadang memasukkan sekali kerisik di dalam kuah kari tersebut. Alang-alang sudah ada kari kambing inilah saya membuat roti jala. Anak-anak memang suka tetapi macam biasalah ayahnya kurang gemar. Hehe...
Saya kongsikan resepinya di bawah ini...

500 gram daging kambing - potong dan perap sekejap dengan jus dan hirisan lemon kemudian cuci bersih
9 tangkai cili kering dikisar
3 biji bawang besar dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
7 biji bawang merah dihiris
rempah tumis
1 paket kecil rempah kari daging Babas
1/2 paket kecil rempah kari ikan Babas
3 biji kentang - potong 4
sedikit air asam jawa
garam, gula secukupnya
air secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumis hirisan bawang bersama rempah tumis hingga naik bau.
2.Masukkan bahan-bahan kisar bersama rempah kari (dicampur dan jadikan pes), kacau sebati.
3. Bila bahan-bahan tadi sudah pecah minyak, masukkan sedikit air asam dan kacau lagi.
4. Tambahkan garam dan gula secukupnya. Kacau lagi.
5. Bila sudah naik bau, masukkan daging kambing. Gaulkan bersama bahan-bahan tumis dan masukkan air. Masak hingga kuah mendidih dan masukkan kentang ke dalamnya. Bila kentang dan daging kambing empuk bolehlah dihidangkan.
6. Kuantiti air yang diperlukan bergantung pada kepekatan kuah yang dikehendaki. Ikut suka tukang masaklah ya.

Selamat mencuba pada yang sudi.:)


ROTI JALA SUSU


r
Assalamualaikum dan selamat petang semua. Roti jala ini saya beri nama roti jala susu kerana saya banyak menggunakan susu semasa membancuh tepungnya. Saja hendak menghabiskan susu segar di dalam peti sejuk. Dari dibiarkan menjadi basi dan masam sebaiknya saya gunakan sahaja. Hehe... Lagi pun rasa roti jala ini menjadi lemak berkrim, gurau saja. Hehe... Jom kita lihat resepinya:

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan santan
3 cawan susu segar
air - sekiranya adunan masih pekat
secubit garam
1 sb minyak jagung
1 biji telur
pewarna kuning
sedikit minyak masak
simpulan daun pandan

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan dalam mangkuk besar kecuali air, minyak masak dan daun pandan, gaul sebati. Sekiranya adunan tepung masih pekat tambahkan air sedikit demi sedikit hingga adunan cair seperti yang dikehendaki.
2. Masukkan adunan ke dalam jug pengisar. Kisar adunan hingga halus.
3. Panaskan kuali, oles sedikit minyak masak menggunakan daun pandan dan jalalah adunan tepung tadi.
4. Bila permukaan roti jala sudah agak garing, angkat dan gulung atau lipat ikut kreativiti masing-masing.
5. Buat hingga adunan tepung habis dan bolehlah dihidangkan bersama kuah dal dan kari. Saya makan bersama kari kambing tanpa santan.


Tuesday, August 23, 2011

BUBUR CANDIL TEPUNG PULUT



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Bubur candil hasil dari mencari resepi di internet dan belajar dari arwah emak. Arwah emak jarang menggunakan tepung pulut untuk membuat bubur candil, biasanya arwah akan gunakan tepung gandum. Rasanya lebih kenyal dan enak. Arwah akan campurkan candil yang pucat warnanya bersama pengat ubi yang kami panggil kolak. Saya dan adik perempuan biasanya akan berlumba-lumba menggentel candil secepatnya. Hehe...
Manisnya kenangan lalu bersama arwah emak yang kulitnya putih kemerahan, berambut panjang ikal yang sering disanggul, yang teramat manis senyumannya (arwah emak seorang yang sangat serius), yang rajin dan pandai memasak, yang sebelum subuh sudah sedia bersimpuh di atas sejadah menanti azan sambil mengaji al Quran, yang solat di awal waktunya, yang hanya ketawa kecil (belum pernah mendengar emak ketawa besar sepanjang hayatnya), dan sentiasa menjamu bapak dengan menu-menu yang bapak suka tanpa memikirkan selera arwah sendiri... Banyak lagilah, tidak mampu saya uraikan satu persatu....
Sebak pula rasanya. Aduhai, beginilah hidup. Saya pun pasti akan mengikut jejak arwah emak cuma entah bila...
Baiklah kita kongsi pula resepi bubur candil ini, perlu diingatkan bukan resepi saya sebab saya cedok sana-sini di internet dan belajar dari pemerhatian bersama arwah emak.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung pulut
1 sudu kecil air kapur
air secukupnya untuk menguli
7 helai daun pandan - disiat dan disimpul
2 cawan santan pekat
air secukupnya
1 cawan gula
pewarna merah, hijau dan kuning

Cara-caranya:

1. Uli tepung pulut bersama air kapur dan air hingga menjadi seperti doh, tidak melekat pada jejari tangan.
2. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian dan warnakan setiap bahagian dengan merah, hijau dan kuning.
3. Rebus hingga mendidih air dalam periuk dan masukkan candil berwarna sebahagian-sebahagian.
4. Bila candil telah timbul, tapis dan masukkan dalam bekas yang berisi air masak sejuk. Buat hingga habis.
5. Dalam periuk lain masak gula bersama air secukupnya. Masukkan daun pandan. Bila gula telah hancur dan air mendidih, masukkan pula santan. Perlahankan api dan kacau selalu hingga kuah ini mendidih sekali lagi.
6. Tapiskan candil tadi dan masukkan dalam kuah, biar mendidih sekali lagi barulah tutupkan api. Pastikan api sentiasa kecil ke sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau agar santan tidak berketul-ketul.

UDANG GORENG TEPUNG



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kelmarin kami ke pasaraya dan suami ada membeli udang saiz besar. Saya memang kurang gemar makan udang. Dari udang baiklah sotong. Hehe... Fikir punya fikir, saya goreng tepung sahajalah udang ini. Syuhadah dan Hamimah pun suka. Walaupun anak-anak akan mengadu, mak susahlah kupas kulit udang ini. Akhirnya sayalah yang akan mengupaskan kulit udang untuk mereka. Lagi pun kalau dimasak gulai, lemak dan lainnya pasti tidak habis.
Jomlah kita kongsikan bersama resepinya, resepi biasa-biasa sahaja yang penting suami dan anak-anak suka...

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz besar - dibersihkan
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia
sedikit kunyit hidup
garam
secubit gula
secubit serbuk perasa
1 biji telur
2-3 sudu besar tepung beras Babas

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hingga agak lumat.
2. Tambahkan garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sebati.
3. Gaul bahan-bahan tadi secara merata pada udang dan perapkan seketika.
4. Masukkan telur dalam perapan udang tadi bersama tepung beras. Gaul merata.
5. Panaskan minyak dan goreng udang hingga garing dalam minyak terendam.