Sunday, May 9, 2010

2 AWARD DARIPADA YATIE US





Assalamualaikum dan selamat pagi rakan-rakan semua. Kepada yang bergelar ibu, 'Selamat Hari Ibu' diucapkan. Moga dipermudahkan urusan kita sebagai ibu oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita suami dan anak-anak yang mudah diurus juga. Ringkas sahaja doa ini tetapi amat mendalam maknanya bagi saya.
2 hari lepas saya terima lagi award daripada Yatie yang berada jauh nun di US. Berbanyak terima kasih diucapkan atas ingatan beliau terhadap saya. Hari ini saya baru sempat mengambil award-award itu dan meletakkannya di sini. Terima kasih sekali Yatie, moga silaturrahim yang terjalin bertambah erat hendaknya.

Thursday, May 6, 2010

ROTI SAJ



Assalamualaikum dan selamat malam. Petang tadi saya menyediakan roti saj untuk dicicah dengan lauk udang masak mamak. Roti saj ini saya nampak di rumah kak ummi kuantan dan yatie us. Mula-mula nampak tu, geram aje nak buat. Hehe... Bila dah ada pencicahnya projek pun jalanlah. Malangnya roti saj saya ni tak secantik kak ummi dan yatie punya. Huhu... Walau apa pun sedap dan kena sangat makan dengan lauk udang saya yang berkari, bersos tomato dan bersantan itu. Jom jamu mata, sambil-sambil itu kita kongsi resepi di bawah yang telah saya ubah sedikit. Minta maaf dan izin ya...

Bahan-bahannya:

11 gram yis kering mauripan
2 sudu besar susu tepung
2 sudu besar gula
11/2 cawan air suam
31/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu kecil garam
sedikit minyak

Cara-caranya:

1. Masukkan yis, susu tepung, gula, garam dan air suam dalam mangkuk. Campurkan hingga sebati.
2. Masukkan tepung ke dalam sebatian tadi dan uli menjadi doh.
3. Tutup doh tadi dengan tuala lembab selama 1 jam.
4. Setelah 1 jam, uli lagi dan bulat-bulat doh sebanyak 10 biji. Sapukan setiap bebola tadi dengan minyak.
5. Canai doh tadi mengikut ketebalan yang disukai.
6. Panaskan kuali non-stik dan goreng tanpa minyak. Balik-balikkan. Sebaik-baiknya tutup kuali tadi supaya roti saj cepat masak.
7. Buat hingga habis.


UDANG MASAK MAMAK




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini saya mencuba resepi baru yang saya ambil dari internet. Kebetulan bahan-bahan mentah semua ada kecuali daun pandan. Terasa malas hendak menapak ke rumah jiran di sebelah untuk meminta dalam keadaan cuaca yang panas terik. Hehe... Seronok sungguh memasak hari ini sudahlah menyediakan menu ini mudah, cepat siap dan sedap rasanya. Terima kasih kepada penyumbang resepi ini. Resepi di internet yang diberi tidak menyatakan sukatan bahan-bahan yang diperlukan jadi saya pakai agak-agak sahaja. Jom kita kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram udang
2 biji bawang besar (dicincang dadu)
1/2 inci halia (dicincang dadu)
3 biji bawang putih (dicincang dadu)
3 batang serai dititik
daun pandan digunting-gunting (saya tak letak)
rempah tumis
2 sudu besar rempah daging
1 cawan santan
2 sudu besar sos tomato
garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Gaul udang dengan serbuk kunyit dan goreng sekejap.
2. Dengan menggunakan minyak gorengan udang tadi tumiskan rempah tumis, bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.
3. Masukkan rempah daging, kacau sebati.
4. Masukkan santan dan 1/2 cawan air. Tambahkan dengan sos tomato, garam dan gula secukup rasa.
5. Bila kuah mulai mendidih, masukkan pula udang tadi. Kacau sebati.
6. Tunggu kuah menjadi pekat barulah ditutup api.
7. Sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, May 5, 2010

MENU WAJIB SUAMI....


Isi ikan haruan laut yang telah siap dipotong-potong oleh makcik penjual ikan. Lihatlah tulang ikan ini, mengalahkan tulang ayam rupanya. Rasanya ikan ini mesti besar saiznya. Rasanya memang sedap bila dimasak asam pedas. Melihat pada fizikal makcik itu tidak terfikir kudratnya sehebat lelaki. Hayunannya ketika memotong ikan yang besar-besar dan bertulang keras membuat saya terpegun. Hehe... Hebat wanita Kelantan ini...



Ikan 'denuk' saya goreng kunyit. Hamimah paling suka makan. Kadang-kadang hanya diratah begitu sahaja tanpa nasi. Mak masak ikan yang adik suka ke tanyanya dengan senyuman. Hehe... Ikan ini memang sedap, nama diberi oleh penjual ikan.


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tengahari tadi masak lauk kegemaran suami lagi iaitu asam pedas. Memang sudah banyak kali saya buat entri masak asam pedas ini. Jangan marah dan bosan ya. Kalau tidak suka sila abaikan. Huhu... Kali ini saya tidak masukkan bunga kantan dengan daun kesum. Saya pun sudah naik jemu. Saya tambahkan dengan hirisan nenas. Ketika suami menyuapkan nasi bercampur kuah asam pedas ini terkeluar spontan dari mulut beliau, sedap. Syukur alhamdulillah.
Ikan haruan laut ini agak hanyir jadi sebelum memasaknya saya rendam sekejap dengan air bersama perahan limau kasturi. Alhamdulillah, bau hanyirnya hilang dan rasanya tambah sedap. Suami makan pun bertambah-tambah. Hehe... Jomlah jamu mata pada yang sudi......

SAMBAL GORENG




Hidangan sampingan yang amat mudah menyediakannya tetapi sangat digemari oleh suami dan anak-anak iaitu daging masak kicap ala kak mas (kakak saya yang no 3).


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sementara menunggu mesin basuh menyiapkan tugasnya, saya ambil kesempatan untuk menyudahkan entri sambal goreng yang tertangguh malam tadi. Hehe... Sudah lama teringin hendak membuat sambal goreng ini tetapi bimbang suami tidak suka sebab beliau memang tidak makan petai. Sejak bernikah dengan beliau saya memang jarang sangat menyentuh ulam yang berbau ini. Namun keinginan hendak memasaknya membuak-buak jadi saya teruskanlah dengan meminta izin dari suami. Arwah emak rajin menyediakan sambal goreng ini sebab bapak amat menggemarinya. Jom kita kongsi resepinya....

Bahan-bahannya:

Secekak suhun }
Secekak fucuk/tauhu kering } direndam biar lembut dan dikerat-kerat
RM 1 kacang panjang dipotong menyerong
1 mangkuk kecil hati dan hempedal ayam direbus dan dihiris kecil-kecil
2 keping tempe dipotong dadu dan digoreng sederhana garing
11/2 papan petai diambil isinya dan dihiris ikut suka
3 biji cili merah dihiris
3 biji bawang merah dihiris
1 biji bawang putih dihiris
setengah genggam ikan bilis }
sedikit belacan} ditumbuk bersama
sedikit air asam
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan yang dihiris hingga agak layu dan masukkan bahan-bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
2. Masukkan sedikit air asam, diikuti garam, gula dan perasa secukupnya.
3. Bila bahan-bahan tumis telah mesra, masukkan hati dan hempedal ayam yang dihiris. Kacau sebati.
4. Tambahkan dengan hirisan petai, bila petai hampir layu masukkan fucuk, suhun dan tempe. Akhir sekali barulah masukkan hirisan kacang panjang.
5. Gaul semua bahan hingga sehingga masak dan sebati.
6. Sedia untuk dihidangkan.