Wednesday, April 27, 2011

AYAM MASAK MERAH



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sepatutnya entri ayam masak merah ini saya sertakan bersama-sama entri nasi hujan panas tetapi tiada kesempatan. Resepi ayam masak merah paling mudah dan kena sangat dengan selera saya ini merupakan resepi arwah emak dan kakak ke dua saya. Biasanya arwah masak untuk dicicah dengan ketupat nasi atau dilawankan dengan nasi biasa. Saya paling suka cicah dengan ketupat nasi. Kali ini kita lawankan dengan nasi minyak hujan panas pula.
Untuk melengkapkan hidangan ayam masak merah ini biasanya kakak saya akan tambahkan kacang pis sebagai hiasan. Malangnya stok kacang pis tiada dalam simpanan dan memang tidak pernah ada sebab kami di rumah semua tidak menggemarinya. Hehe... Apa-apa pun, jom kita kongsi resepi mudah ini...

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam - potong kecil dan dibuang kulit
20 tangkai cili kering - dikisar
7 biji bawang merah kisar
3 ulas bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit lengkuas kisar
5 batang serai kisar - ambil bahagian yang putih sahaja
1 cawan santan pekat
sos tomato secukupnya
serbuk kunyit
garam
sedikit asam jawa
gula apong

Cara-caranya:

1. Lumurkan ayam yang dipotong dengan sedikit serbuk kunyit dan garam secara merata. Panaskan minyak dan goreng hingga 3/4 masak. Ketepikan.
2. Dengan minyak lebihan goreng ayam tadi (kalau banyak sila kurangkan terlebih dahulu) tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau.
Masukkan santan dan kacau lagi.
3. Tambahkan garam, gula dan asam jawa secukup rasa dan kacau sebati.
4. Masukkan sos tomato dan kacau lagi.
5. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan gaulkan dengan bahan-bahan tumis hingga sebati.
6. Kacau sekali sekali dengan api sederhana hingga ayam dan bahan-bahan tumis tadi benar-benar mesra, bolehlah dihidangkan.


Monday, April 25, 2011

NASI MINYAK HUJAN PANAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Bila suami outstation ada sahaja resepi yang saya cuba. Hehe... Sebabnya suami tidak gemar makan jenis-jenis makanan begini. Resepi saya ambil dari blog Raihan Shaari. Mudah dan bahan-bahan yang digunakan tidak rumit menyediakannya. Sesekali bertukar selera memang seronok, tidaklah saya jemu menyediakan menu yang saban hari sama sahaja.
Buat Raihan, izinkan kakak salin dan letakkan resepinya di sini pula supaya mudah hendak dibuat rujukkan sekiranya ingin memasak lagi. Ribuan terima kasih kakak ucapkan.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

3 cawan beras Basmathi- basuh dan toskan
1 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar minyak masak
1 labu bawang besar- hiris halus dan dadu kecil
2 ulas bawang putih dicincang
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga
5 cawan air rebusan ayam- *** sediakan dengan merebus beberapa ketul ayam - bahagian peha atau kepak dengan 6 cawan air- didihkan lebih kurang 10 minit.
2 sudu teh garam
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul

sedikit pewarna merah, kuning dan hijau
kismis, bawang goreng dan gajus

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk nasi di atas dapur. Tumis rempah ratus (4 serangkai) bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.

2. Masukkan beras dan goreng 1 minit. Kacau sebati. Alihkan periuk ke dalam periuk elektrik. Masukkan air rebusan, garam dan daun pandan ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa.

3. Apabila nasi masak , celupkan lidi sate ke dalam pewarna merah dan cucukkan ke beberapa tempat di dalam nasi. Ulang proses sama untuk warna hijau dan kuning. Jangan kacau nasi. Biar 5 minit. selepas 5 minit..Taburkan bawang goreng, gajus dan kismis. Kacau nasi agar warna
sekata bagi keseluruhan periuk.

4. Sedia dihidang bersama lauk-pauk lain.


Sunday, April 24, 2011

DONUT MAYO - ros@jintanmanis.com



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini entri saya tentang donut mayo pula. Entah kenapa kebelakangan ini teringin benar saya hendak makan donut. Tidak kisahlah apa jenis donut sekalipun, asalkan donut. Hehe... Jalan-jalan rumah Yatie dan teman masak-masak lainnya terjumpalah donut mayo ini. Nampak macam sedap, alhamdulillah memang sedap pun. Malangnya anak-anak kurang suka, makan sebiji dua cuma. Si emak yang 'slim' inilah yang terpaksa menghabiskannya. Huhu...
Pengajarannya jika ingin makan donut, belilah sahaja di mana-mana kedai bakeri jadi tidak membazir dan terlebih makan. Apa pun terima kasih buat ros@jintanmanis.com atas kesudian berkongsi resepi yang enak ini. Izinkan kakak salin dan letakkan resepinya di sini pula ya. Terima kasih sekali lagi.

Donut Mayo
Sumber resepi: rosmarlina @ jintanmanis.com

Bahan-bahanya

330 gram tepung gandum
1 1\2 sudu besar mayonis ( ros guna mayonis jenama kimball)
1 sudu besar susu tepung/skim milk
1 biji telur ( dipukul sedikit mengunakan garpu)
140ml air suam
1 1\2 sudu besar marjerin
3 sudu besar gula
4 gram yis ( 1 1/2 sudu kecil)

sedikit serbuk gula sebagari salutan pada donut mayo ni nanti.

1. Buat doh, Kaedah 1, penggunaan Bread Maker (BM), masukkan semua bahan dan ikut arahan menguli pada BM masing-masing dan tekan Start, tunggu sampai siap di uli dan boleh terus ke langkah no. 4 di bawah.

2. Kaedah 2, Jika uli tangan, masukkan semua bahan doh dan uli hingga tidak melekat pada tangan, Tips untuk dapat doh yang lembut, ambil plastic bersih dah letakkkan doh di dalam plastic tu, ramas-ramas beberapa minit, lebih kurang 5 hingga 10 minit, keluarkan dan uli semula dalam bekas adunan, anda akan dapat doh yang lembut dan elastik.

3. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap dan biar doh naik dua kali ganda. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin.

4. Bahagi doh pada bebola kecil dan rehatkan selama 6 hingga 8 minit, kemudian bentukkan seperti donut, lubangkan tengahnye, biarkan naik dua kali ganda, dan goreng sehingga ke-emasan, gunakan api sederhana, angkat dan salutkan dengan serbuk gula, sedia untuk dihidangkan, Selamat Mencuba.


Saturday, April 23, 2011

UDANG KICAP BERSOS PEDAS




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Terharu rasanya bila ada adik-adik yang melawat blog saya mengatakan yang mereka sangat menyukai dan menjadi peminat setia blog saya. Ribuan terimakasih saya ucapkan buat adik-adik ini, syana&ilia. Manakan tidak blog saya ini hanya sempat saya 'update' sewaktu masa senggang bagi mengisi masa saya sahaja. Manakala menu-menunya hanya dari yang ringkas, mudah dan biasa-biasa juga. Apa pun syukur alhamdulillah.
Menu yang ringkas tetapi digemari anak-anak. Alhamdulillah hampir licin sekali makan dilawankan dengan nasi hangat. Sepanjang minggu lepas suami tiada jadi saya berani mencuba masakan begini, kalau mengikut selera suami udang laut saiz besar begini layaknya digoreng rangup dengan tepung sahaja. Hehe...
Jom kita kongsi resepi sempoi ini....

Bahan-bahannya:

500 gm udang laut saiz besar disiang dan cuci bersih
9 biji cili api dititik
3 ulas bawang putih ditumbuk
sedikit lada putih ditumbuk
sedikit kicap masin
sedikit kicap manis
sedikit sos tomato
sedikit sos tiram
sedikit sos cili - sekiranya tidak menggunakan cili api
sedikit serbuk kunyit
secubit garam

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga kulit udang kemerah-merahan.
2. Dengan menggunakan minyak gorengan udang tadi (kalau banyak sila kurangkan), tumislah bawang putih dan lada putih hingga naik bau.
3. Masukkan kicap masin, kicap manis, sos tomato, sos cili dan sos tiram serba sedikit. Kacau sebati.
4. Masukkan udang yang telah digoreng tadi, gaul dengan mesra. Biarkan di atas api seketika. Bolehlah dihidangkan.



Monday, April 18, 2011

RENDANG DAGING SIAT MAK NAB



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Rendang daging siat ini saya masak minggu lepas bersama ketupat. Petang ini baru sempat saya buat entrinya di sini. Semasa arwah emak masih ada dan sihat, rendang daging siat ini merupakan menu utama setiap kali aidil fitri dan aidil adha. Sekarang kakak saya Inna Ina yang rajin memasaknya setiapkan kali hari raya. Teringat petang sebelum 1 Syawal atau 10 Zulhijjah saya dan adik-beradik yang lain akan tekun menyiat daging yang telah direbus agak empuk terlebih dahulu oleh arwah emak. Jom kita lihat resepinya:

Bahan-bahan:

500 gram daging - direbus dan disiat kasar
11/2 senduk cili kering kisar
7 biji bawang merah kisar
2 biji bawang putih kisar
5 batang serai kisar
sedikit lengkuas kisar
2 sudu kecil ketumbar kisar
1 sudu kecil jintan kasar kisar
1 sudu kecil jintan halus kisar
1 cawan pati santan
sedikit gula melaka
sedikit air asam jawa
garam secukup rasa
2 sudu besar kerisik
2 helai daun kunyit dimayang halus-ikut suka

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan gula merah, garam secukupnya dan air asam jawa. Kacau sebati.
3. Masukkan daging yang telah disiat tadi dan gaulkan dengan bahan-bahan tumis hingga mesra.
4. Masukkan santan pekat dan kacau lagi.
5. Tambahkan dengan kerisik (kelapa parut yang dijemur atas terik matahari hingga garing, ditumbuk lumat hingga mengeluarkan minyak menghasilkan kerisik yang wangi dan cerah warnanya) dan kacau sebati.
6. Masukkan daun kunyit ( boleh juga sekadar disiat-siat kasar dan diikat ) dan kacau lagi.
7. Masak hingga agak garing dengan dikacau sekejap-sekejap agar tidak hangus.