Friday, March 30, 2012

ENGLISH STYLE BANANA CAKE BY WAN HANIM



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Untuk hidangan minum petang semalam saya sediakan kek pisang stail Inggeris ini. Resepi saya kepunyaan Wan Hanim, salah seorang ahli group masak-masak di facebook yang turut saya sertai. Resepi yang mudah dan cepat hendak menyediakannya buat saya tertarik hati hendak mencuba. Apatah lagi pisang lemak manis yang suami beli sudah semakin ranum dan terbiar tanpa dimakan oleh anak-anak. Jemu agaknya sebab setiap minggu suami akan membeli 2 sikat pisang. Bila sudah bertukar rupa menjadi kek tidak sabar pula anak-anak hendak menjamahnya.
Kek pisang ini agak terlebih bakar sebab saya terpaksa tinggal di dalam oven bagi menghabiskan proses membakarnya untuk mengambil anak balik dari sekolah. Resepi saya sertakan di bawah. Terima kasih Wan Hanim.:)

English Style Banana Cake BY Wan Hanim
Bahan-bahan:
-2 cawan tepung gandum
-1 cawan gula
-3 biji telur
-5 biji pisang ( dilenyek )
-1 sudu kecil baking powder
-1 sudu kecil bikarbonat
-1 cawan minyak
-Hirisan pisang ( untuk hiasan )
Cara-cara:
-Pisang dilenyek, ketepikan
-Pukul telur dan gula hingga hancur
-Masukkan soda bikarbonat, baking powder dan pukul lagi
-Masukkan minyak, tepung gandum dan pisang yang dilenyek
-Gaul rata
-Sapu marjerin pada loyang, tuang adunan tadi
-Hias dengan hirisan pisang di atas adunan
-Bakar selama 45-50 minit at 170degrees

UNGKEP UBI


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sedap betul bila ubi kayu dibuat ungkep rupanya. Lebih-lebih lagi sambil mengunyah diselang menghirup kopi panas. Selalunya saya goreng kunyit, garam bersama bawang putih atau rebus untuk dicicah sambal tumis atau dimakan bersama ikan masin. Pernah juga saya buat pengat bersama butiran tepung. Kali ini saya buat ungkep pula. Resepi saya ambil di blog adik yang manis dan baik hati iaitu Suhana yang tinggal di Mersing.
Untuk resepi saya c&p terus dari blog beliau. Terima kasih daun keladi Su, ada resepi ringkas, mudah, dan sedap kongsilah lagi. Hehehe...

Bahan2
1 kg ubi - potong spt nak merebus n bersihkan..
4 sb ketumbar*
3 biji bwg merah*
3 ulas bwg putih*
segengam ikan bilis*- lagi byk lagi best..

sedikit kunyit/serbuk
garam secukup rasa.
Sedikit minyak untuk menumis


Cara2.
1. Tumbuk bahan*.
2. Tumiskan bahan* dalam kuali hingga berbau harum..dan masukkan garam
3. Masukan ubi dan gaul rata
4. Masukkan air hingga paras ubi/menutupi ubi
5. Tutup kuali, dan biarkan sehingga ubi empuk.
6. Apabila air ubi hampir kering, buka tutup kuali dan kacau rata supaya tidak hangit.
7. Kacau perlahan sehingga air ubi kering.. tutup api.. Angkat, masuk pinggan, makanlah...

Thursday, March 8, 2012

jhdhkfhfkhfk

Tuesday, March 6, 2012

CUCUR LEMAK MANIS LABU KUNING



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Cucur lemak manis labu kuning ini sesuai dimakan untuk minum petang. Kalau kawan-kawan semua ada labu kuning yang dah tak tahu hendak dibuat apa, rajin-rajinkanlah diri kukus dalam microwave, lenyek, masuk tepung, masuk yis kering, masuk gula sedikit dan garam secubit. Hehehe... Sedap, resepi asalnya dapat dari staff suami masa menetap di Kelantan dulu. Saya tambahkan yis kering supaya lebih lembut dan gebu.

Untuk resepinya adalah seperti berikut;

Bahan-bahannya:

1 mangkuk potongan labu kuning
10 sudu sup membumbung tepung gandum
secubit garam
2 sudu kecil yis kering
1/2 cawan gula - kalau suka manis boleh ditambah sukatannya
air suam - jika adunan agak keras
minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:

1. Kukus labu kuning dalam microwave selama 5 minit dengan kepanasan sederhana.
2. Lenyek halus labu dan tambahkan tepung, garam,gula dan yis. Gaul sebati.
3. Sekiranya adunan agak keras dan sukar disudu semasa hendak menggoreng tambahkan air suam sedikit demi sedikit hingga mendapat kelembutan adunan yang dikehendaki.
4. Rehatkan adunan dalam 15-30 minit dan gorenglah sesudu demi sesudu hingga habis.
5. Pastikan api jangan terlalu kuat sebab cucur ini mudah hangus.

Friday, March 2, 2012

MENU SEMALAM


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ingatkan dapatlah saya buat entri menu-menu ini semalam, tetapi disebabkan kepenatan saya biarkan saja gambar-gambar ini menganggur di dalam kamera. Kemudian malas pula mendatang tetapi bila difikir-fikirkan alang-alang sudah mengambil gambar saya kongsikan juga di sini. Semalam saya masak goreng kunyit udang galah yang saiznya agak comel dan daging lada hitam permintaan anak dara yang sulung.

Untuk udang galah goreng kunyit seperti di atas cara-cara menggorengnya saya tunjukkan di bawah, ringkas tapi sedap. Berbanding udang biasa saya lebih menggemari udang galah tetapi mestilah saiz yang sebegini. Pada pengamatan saya udang galah saiz besar memang memancing mata dan selera tetapi rasanya tidaklah sesedap udang galah saiz agak comel begini. Udang galah saiz besar rasanya agak tawar dan teksturnya agak liat walaupun harganya lebih mahal.

Bahan-bahannya:

500++gram udang galah - dibersihkan
3 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci kunyit hidup - ditumbuk
11/2 inci halia muda - ditumbuk
1 biji bawang besar - hiris bulat
2 sudu kecil serbuk cukup rasa
garam masin secukupnya
minyak masak

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang galah dengan bahan-bahan tumbuk dan serbuk cukup rasa secara merata. Perap seketika.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tadi. Tutup kuali seketika. Kacau dan bila udang sudah bertukar warna dan nampak garing masukkan pula hirisan bawang besar. Kacau lagi.
3. Angkat udang galah tadi bila bawang separuh layu. Sedia untuk dihidangkan.


Untuk daging masak lada hitam ini resepinya ada di bawah. Saya fikir suami tidak sudi hendak menjamah lauk ini tetapi sebaliknya dan alhamdulillah katanya sedap. Hehe... Suami saya memang tidak suka lauk pauk ala barat ini. Seleranya lebih terarah pada masakan kampung, begitu juga dengan kuih muih. Pizza, burger, roti naik, foccacia, scone semua dia tolak tepi dan kadang-kadang hendak merasa secubit pun perlu ditanya "abang dah makan, rasalah sikit". Agaknya kasihan dengan saya itulah diambil secubit dan dimakan. Hehehe...