Monday, August 15, 2011

BAWAL MASAM MANIS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Lama saya tidak membuka blog, lihat-lihat sudah berubah penampilannya. Anak yang sulung bertanya, cantik tak mak? Cantik... Ingatkan tersalah masuk rumah tadi. Hehe... Rupa-rupanya anak yang sulung yang make upkan, maklumlah emaknya tidak berapa pandai mendandan. Disuruh belajar sebab hendak PMR tidak lama lagi tetapi menggodeh blog emaknya yang dah agak lama terbiar ini. Apa-apa pun terima kasih kak.
Ok, berbalik pada masakan bawal masam manis ini, saya buat ikut stail sayalah. Masak-masak ini bukan boleh sangat sukat-sukat. Rasanya lebih sedap sekiranya 'campak-campak' saja lagi semulajadi. Hehe... Tetapi untuk memudahkan sesiapa yang hendak merujuk resepi saya berikan seperti di bawah ini...

Bahannya:

1 ekor ikan bawal saiz besar
3 batang lada merah*
9 tangkai lada kering*
1 biji bawang besar*
1 biji bawang besar dipotong bulat
air asam jawa secukupnya*
sedikit halia*
1 ulas bawang putih*
sedikit serbuk kunyit
sos tomato secukupnya
garam, gula dan perasa jika suka

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Ikan bawal dikelar dan lumurkan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng dan ketepikan.
2. Kisar bahan-bahan bertanda * hingga hancur dan tumis hingga naik bau dengan minyak lebihan gorengan ikan tadi.
3. Masukkan sos tomato dan kacau sebati. Rasakan dengan garam, gula dan perasa.
4. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi diikuti dengan hirisan bawang. Gaul hingga mesra dan bolehlah dihidangkan.


Friday, August 12, 2011

KEK HATI PAREK@PARI



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sudah lama saya hendak berkongsi resepi kek dari Bumi Kenyalang ini namun asyik tertangguh sahaja. Kek ini saya belajar dari kelas masakan. Warnanya yang hitam pekat, rasanya yang manis dan sedap serta teksturnya yang agak likat, mengingatkan saya dengan dodol arwah emak. Hehe... Namun rasanya bukanlah seperti dodol. Kek ini tahan berbulan lamanya tanpa disimpan dalam peti ais. Mari kita kongsikan resepinya bersama...

Bahan-bahannya:

5oo gram mentega
5 biji telur
5 biji kuning telur
1 paket gula merah
91/2 gelas tepung gandum
1 kg kismis hitam dikisar
3 gelas gula pasir
2 gelas gula dijadikan gula hangus dengan menambahkan 1/2 gelas air
2 sudu makan soda bicarbonat
1/2 botol gula hitam (cair)
1 paket kecil horlick
1 keping coklat masakan dicairkan

Cara-caranya:

1. Pukul gula merah dengan mentega hingga kembang. Masukkan telur, horlick. Kacau sebati.
2. Masukkan tepung, soda bicarbonat, kismis yang dikisar dan kacau lagi. Waktu ini perlu menggunakan tenaga yang kuat sebab adunannya terlalu likat.
3. Akhir sekali masukkan coklat masakan dan gaul sebati.
4. Tuang di dalam acuan yang telah dialaskan dengan kertas minyak dan dilenser dengan mentega. Sebaiknya tutup acuan dengan aluminium foil.
5. Kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 8 jam. Jenuh menunggu.

* gelas sukatan yang digunakan ialah jenis standard lama. kek ini semakin lama usianya semakin sedap rasanya. hehe...


Wednesday, August 3, 2011

KRISPY MEE KUAH



Assalamualaikum semua. Masakan mee yang saya belajar di kelas masakan baru-baru ini. Mari kita kongsikan resepinya.

Bahan A

1 kg mee kolok
1/2 kg minyak masak

Bahan B

1 botol kecil sos tomato
1 botol kecil sos cili
1/2 cawan sos tiram
2 batang serai dititik
2 inci halia tumbuk kasar
4 ulas bawang putih dikisar
4 biji bawang merah dikisar
2 liter air

Bahan C

20 ekor sotong saiz sederhana - dibersih dan dipotong
20 ekor udang dikupas kulit
1 mangkuk kecil isi ayam - dipotong kecil
8 biji cili padi dihiris bulat
1 biji bawang besar dipotong 6
1 ikat sawi
1 batang lobak - dipotong
1 tin cendawan butang - dihiris

garam, gula secukupnya
bancuhan tepung kanji@jagung

Cara-caranya:

1. Mee kolok dibentukkan sanggol (seperti menyanggol spageti untuk laksa johor). Buat hingga habis.
2. Panaskan minyak dan gorenglah mee tadi satu persatu hingga habis dan ketepikan.
3. Bahan-bahan B dimasak hingga mendidih, kemudian masukkan bahan-bahan C pula. Masak lagi hingga mendidih dan tambahkan dengan bancuhan tepung kanji supaya kuah menjadi pekat.
4. Masukkan mee kolok yang telah digoreng tadi dan curahkan kuah panas di atasnya. Sedia untuk dimakan.

AGAR-AGAR COKLAT



Bahan-bahannya:

20 gram agar-agar tali
5 cawan air
1 tin susu pekat manis
1/2 cawan gula
1/2 cawan koko - bancuh dengan sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar 1 jam atau lebih.
2. Cuci bersih agar-agar dan toskan.
3. Masak agar-agar dengan 5 cawan air hingga larut.
4. Masukkan gula dan susu pekat manis. Kacau hingga larut. Pastikan api yang digunakan tidak terlalu besar.
5. Tambahkan larutan koko. Kacau sebati.
6. Masak hingga mendidih dan tuang ke dalam acuan yang digemari.
7. Sejuk beku sebelum dihidangkan.

TONGKOL GORENG BERLADA



Bahan-bahannya:

1 ekor ikan tongkol - potong ikut suka
9 tangkai cili kering dikisar
3 batang lada merah dikisar
3 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
1 biji bawang besar dihiris bulat
sedikit belacan dikisar
sedikit serbuk kunyit
garam dan gula secukupnya
sedikit air asam

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan sedikit kunyit. Goreng dan ketepikan.
2. Dengan minyak lebihan gorengan ikan tadi tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan air asam jawa. Kacau sebati.
4. Rasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Masukkan ikan yang sudah digoreng tadi dan gaulkan dengan sambal hingga mesra.
6. Masukkan hirisan bawang besar dan gaul sebati.
7. Biar bawang sederhana layu bolehlah dimatikan apinya.