Friday, April 8, 2011

SAMBAL TUMIS TELUR + BILIS DAN UDANG GORENG TEPUNG


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Di luar sana media sibuk-sibuk melaporkan tentang telur palsu dan para pengguna sedang diamuk kebimbangan termasuklah saya, saya pula buat entri tentang telur sambal. Jangan risau telur yang saya gunakan adalah original. Bagaimana alam masakan saya boleh dipisahkan dari telur sebab si ayah suka telur sambal, anak yang sulung suka telur dadar dan anak yang ke 2 suka telur mata lembu. Hehe.... Apa-apa pun moga kita semua dilindungi Allah dari perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Bahan-bahan:

5-8 biji telur rebus kupas kulitnya
cili kisar secukupnya
bawang merah kisar
bawang putih kisar
segenggam bilis halus dicuci dan ditos
sedikit belacan
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan secubit perasa

Cara-cara:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan belacan hingga naik bau. Masukkan air asam dan kacau sebati.
2. Rasakan dengan garam, gula dan perasa.
3. Masukkan telur rebus tadi dan gaulkan dengan sambal.
4. Agak-agak sudah mesra masukkan bilis dan kacau sebati.
5. Bila sambal benar-benar sebati tutup api dan bolehlah dihidangkan.




Udang laut ini saya beli di pasar tamu. Ada bermacam-macam saiz dari yang kecil hinggalah yang besar. Dari murah harganya hinggalah yang mahal. Saya beli yang agak besar sesuai untuk digoreng seperti ini.

Bahan-bahannya:

500 gm udang dibersihkan
3 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 biji kuning telur
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
sedikit garam
sedikit serbuk cukup rasa

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia hingga lumat.
2. Masukkan udang di dalam mangkuk diikuti bahan-bahan yang ditumbuk, serbuk kunyit, garam, serbuk cukup rasa dan kuning telur. Gaul sebati.
3. Ayak tepung jagung dan tepung beras dan gaulkan bersama udang tadi.
4. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.

Wednesday, April 6, 2011

AYAM PEDAS BERSOS



Assalamualaikum dan selamat pagi. Lauk untuk hidangan tengahari minggu lepas. Baru sempat hendak saya kongsikan di blog. Saya kerap masak menu ini semasa tinggal dengan mertua sebab adik ipar lelaki yang ketika itu masih bersekolah menengah rendah suka makan. Resepi ini pun saya ingat-ingat lupa. Anak-anak suka tetapi suami merungut pedas. Jom kita lihat resepi mudahnya.

Bahan-bahan:

3 keping paha ayam dipotong kecil
9 biji cili api dihiris
5 ulas bawang putih ditumbuk kasar
sedikit lada putih ditumbuk kasar
sos tomato
sos cili
sos tiram

Cara-caranya:

1. Lumurkan ayam dengan serbuk kunyit dan goreng masak tetapi jangan garing.
2. Tumiskan bawang putih, lada putih dan cili api hingga naik bau. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili. Kacau sebati.
3. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan gaul sebati.
4. Bila ayam dan bahan-bahan lain sudah mesra, tutup api dan sedia dihidang.


Tuesday, April 5, 2011

AYAM BAKAR MADU, ASAM PEDAS IKAN KACI + BENDI

yang ini dibakar atas dapur, anak-anak lagi suka. licin...


ini pula dibakar dalam ketuhar, anak-anak kurang suka. huhu...


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Resepi ayam bakar madu ini saya cedok dari MyR. Terima kasih kepada yang empunya resepi. Izinkan saya kongsikan di sini pula. Sukatan bahan-bahan mentah yang berbeza sebab kuantiti ayam tidak sama.

Bahan-bahannya:

A
3 keping paha ayam saiz besar - dikelar
1.5 inci hali
5 ulas bawang putih
1 sudu kecil lada hitam
1.5 sudu besar madu
gula apong
garam
3 sudu besar sos tiram
1.5 sudu besar serbuk cukup rasa
3 sudu besar kicap pekat

B
1.5 inci hali
5 ulas bawang putih
garam

Cara-caranya:

1. Tumbuk halia, garam dan bawang putih hingga lumat. Lumurkan pada ayam dan perap seketika hingga bahan-bahan tumbuk meresap pada ayam.
2. Panaskan ketuhar sehingga 190C.
3. Untuk bahan-bahan sapu, tumbuk halia, bawang putih, garam dan lada hitam hingga lumat. Kemudian campurkan bahan-bahan ini bersama madu, gula apong, sos tiram, serbuk cukup rasa dan kicap pekat. Gaul sebati.
4. Bakar ayam hingga agak masak kemudian sapukan bahan-bahan A dan bakar semula hingga masak. dan garing. Waktu bakar kali terakhir hendaklah berhati-hati sebab ayam mudah hangus.


UNGKEP HATI AYAM GORENG GARING



Bahan-bahan untuk ungkep:

7 biji bawang kecil kisar
2 biji bawang besar kisar
halia kisar
lengkuas kisar
serai kisar
kunyit hidup kisar
2 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu kecil jintan halus kisar
1 sudu kecil jintan kasar kisar
asam jawa
garam, gula
700 gm hati ayam

Bahan-bahan untuk menggoreng:

1 biji telur gred A
2 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan-bahan kisar bersama asam jawa, garam dan gula secara merata pada hati ayam.
2. Perap seketika supaya bahan-bahan kisar meresap pada hati ayam tadi.
3. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bahan-bahan tadi. Kacau dan tutup kuali.
4. Masak dengan api sederhana dan hendaklah dikacau sekejap-sekejap sehingga bahan-bahan tadi kering.
5. Masukkan ungkep hati ayam tadi di dalam mangkuk dan gaul bersama telur dan tepung jagung secara merata.
6. Panaskan minyak dan goreng ungkep hati ayam tadi hingga garing dengan minyak terendam.

Sunday, April 3, 2011

PUDING ROTI MARBLE HANA



Assalamualaikum dan selamat tengahmalam semua. Puding ini saya buatkan untuk anak-anak. Memang enak dimakan semasa cuaca panas terik pulang dari sekolah. Sekarang cuaca memang kurang menentu. Resepi saya ambil dari blog Hana. Terima kasih dan izinkan kakak c&p di blog kakak pula. Mata pun sudah naik kelat, jom layan...


Bahan-bahan
  • 4 keping roti
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 170ml susu cair
  • 8gram serbuk agar2
  • 1/2 cawan gula - bleh kurangkn
  • 2 sudu besar butter/marjerin (cairkan)
  • 31/2 cawan air= hana gune cwn biasa 230ml
  • 2 sudu besar serbuk koko (bleh juga guna choc emulco)
Cara-cara
  1. Didihkan 3 cwn air,serbuk agar2 n gula ke dalam periuk.
  2. Blend roti,telur,susu pekat, susu cair dan balance air tadi (1/2 cwn). Kemudian masukkan dalam periuk agar2 yg sudah didih td.
  3. Masukkan butter/marjerin dan kacau rata sampai mendidih. matikan api.
  4. Bahagi kepada 2. satu adunan biarkan warna asal. dan satu adunan masukkan serbuk koko@choc emulco. kacau cepat2!
  5. Tuang ke dalam loyang secara berselang seli. sesenduk adunan asal kemudian sesenduk lagi adunan coklat. ulang hingga habis! ketika melapis@me'marble'kan hendaklah dengan CEPAT sbb puding@agar2 nih mudah sejuk@membeku.
  6. Dah siap bolehlah di simpan di dalam peti sejuk sekurang2nya sejam. Enak dmakan ketika sejuk