Tuesday, February 22, 2011

DAGING GORENG SIMPLE


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu saya semalam sangat mudah menyediakannya. Pakai campak-campak saja. Alhamdulillah licin, kalau dimasak rendang atau masakan yang bersantan yang lain alamatnya memang terbuanglah. Kalau suka boleh juga dimasukkan potongan kentang berbaji yang digoreng empuk terlebih dahulu ke dalam masakan ini. Harga daging di Pasar Satok mahal sungguh, untuk daging batang pinang harganya mencecah RM50. Jadi saya beli setengah kilo sahaja. Hehe... Jom kita tengok resepi campak-campak saya ini....



Bahan-bahannya:

500 gm daging batang pinang
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 biji lada hijau - hiris
2 biji lada merah - hiris
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
sedikit garam
sedikit air asam jawa
secubit gula dan serbuk perasa
air

Cara-caranya:

1. Gaulkan daging yang dihiris dengan serbuk kunyit dan garam secara merata.
2. Panaskan minyak dan tumis daging tadi hingga airnya kering. Tambahkan sedikit air lagi dan biar empuk.
3. Apabila kuah mula pekat tambahkan air asam jawa dan gaul sebati. Diikuti gula dan serbuk perasa. Kacau lagi.
4. Masukkan hirisan lada hijau, lada merah dan bawang besar. Kacau dan biarkan seketika di atas api hingga bahan-bahan hiris tadi agak layu.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi panas.

Monday, February 21, 2011

LEMAK PUTIH LABU DENGAN UDANG


Assalamualaikum semua. Dari sehari ke sehari saya hendak membuat entri tentang menu ringkas ini tetapi kerap kali juga tertunda. Gambar sudah lama tersimpan di dalam kamera. Hari ini saya curi-curi masa mengadap pc. Awalnya tadi saya leka melayan drama korea. Sampai basah mata dibuatnya. Huhu... Jom kita kongsi resepi mudah ini dan rasanya masak lemak apa pun kacang sahaja untuk menyediakannya...



Bahan-bahannya:

1/4 biji labu manis - dikupas kulit, dibuang biji dan dipotong ikut suka
350 gm udang saiz sederhana - dikupas kulit dan tinggalkan ekor sahaja
3-5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
udang kering - banyak ikut suka
1 cawan santan
air
garam

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga agak lumat.
2. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam periuk bersama labu manis dan air paras-paras labu tadi. Rebus hingga labu agak empuk.
3. Tambahkan santan dan kacau sebati.
4. Apabila kuah sudah mendidih masukkan udang dan rasakan dengan garam. Kacau lagi.
5. Biarkan seketika di atas api dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, February 12, 2011

DAGING MASAK MERAH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Resepi daging masak merah ini diajarkan secara lisan oleh staff suami iaitu Azizah Awang dari Kelantan. Saya biasa memanggil beliau dengan panggilan mesra Kak Zah. Orangnya cukup manis, keibuan dan pandai memasak. Suami paling suka masakan sambal tumis ikan bilis hasil air tangan beliau. Memang sedap pun. Hehe...



Bahan-bahannya:

500 gram daging - direbus bersama pewarna merah hingga empuk
beberapa titik pewarna merah
3 biji cili hijau - dihiris
2 biji cili merah- dihiris
1 biji bawang bombay - dihiris
3 biji bawang putih - dititik
sos tiram
sos tomato
secubit garam
2 biji tomato - dibelah 4

Cara-caranya:

1. Toskan daging yang telah direbus tadi dan potong nipis ikut suka.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan hiris bersama bawang putih yang dititik. Kacau hingga agak layu.
3. Tambahkan sos tiram dan sos tomato. Tiada sukatan sebab saya pakai masuk saja. Kacau lagi.
4. Masukkan daging bersama tomato dan gaul sebati.
5. Biar seketika di atas api, bolehlah dihidangkan.

Thursday, February 10, 2011

AYAM SAMBAL ASAM - ZARINA IBRAHIM


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Para surirumah seperti saya tentunya sudah ke dapur dan berkira-kira hendak menyediakan juadah makan tengahari apa untuk keluarga tercinta. Saya pula curi-curi masa mengadap pc untuk berkongsi masakan ayam sambal asam ini. Menurut penyumbang resepi masakan ini berasal dari Indonesia. Jom kita kongsi resepi lagi...




Bahan-bahannya:

1.5 kg ayam - dibuang kulit dan dipotong
15 tangkai cili kering dikisar
1 biji bawang besar dikisar - saya guna bawang kecil dan bawang besar
1 batang serai dikisar - saya guna 3 batang
halia kisar
1 sudu kecil asam jawa diambil airnya} - saya lebihkan sukatan asamnya
1/4 cawan air}
1 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan air asam, gula dan garam. Kacau sebati dan masak hingga kuah memekat.
2. Masukkan ayam dan gaul merata dengan bahan-bahan tumis tadi. Tutup periuk dan masak atas api sederhana hingga masak. Kacau sekali sekala supaya masakan tidak hangus.

* resepi yang ringkas dan sedap, saya dan anak-anak sukakannya. *

Wednesday, February 9, 2011

AYAM GORENG BEREMPAH - RAIDAH


Assalamualaikum semua dan apa khabar? Agak lama juga blog masakan sempoi saya ini tidak bernafas. Ya Allah, hati saya tidak digerakkan olehNya untuk terus bersiaran seperti dulu-dulu. Ada masa, ada ilham dariNya juga saya menulis untuk entri kali ini. Resepi saya ambil dari blog yang empunya Raidah jadi saya tulislah ayam goreng berempah Raidah semanisnya. Terima kasih Raidah dan izinkan saya panjang-panjangkan resepi yang hasilnya enak ini di sini pula.



Bahan-bahannya:

1 ekor ayam sederhana besar dipotong kecil
3 biji bawang merah
5 biji bawang putih
halia
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu kecil jintan halus kisar
1 sudu besar serbuk kari
1 biji telur
3 sudu besar tepung jagung
sedikit garam halus

Cara-caranya:

1. Tumbuk lumat bawang putih, bawang merah dan halia.
2. Campurkan bahan-bahan tumbuk tadi dengan serbuk kunyit, ketumbar kisar, jintan halus kisar, serbuk kari, telur, tepung jagung dan sedikit garam halus.
3. Lumurkan bahan-bahan tersebut secara merata pada ayam dan peraplah ayam tadi selama yang disukai.
4. Goreng ayam tadi dengan minyak panas secara terendam hingga garing mengikut citarasa masing-masing.

*sukatan yang saya gunakan adalah mengikut citarasa saya*