Monday, March 8, 2010

RENDANG PADANG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Rendang padang ini merupakan juadah yang saya sediakan khas untuk biras yang datang berziarah tempohari. Terlanjur gambarnya telah saya ambil dan tersimpan dalam kamera, saya buatlah entrinya walaupun agak lewat. Resepinya saya ambil dari buku resepi 'Dari Dapur Zarina' yang merupakan hadiah dari tunang saya waktu itu iaitu kira-kira 17 tahun lalu. Maklumlah semasa pihak suami datang meminang, arwah emak jujur mengatakan saya tidak pandai memasak. Hehe... Saya anak ke 7 dari 9 beradik. 7 perempuan dan 2 lelaki, bayangkanlah... Saya dan suami pun cuma kenal rupa sahaja waktu itu.
Saya ingat sebelum berpindah ke Kuantan dan Kota Bharu, juadah inilah antara yang saya masak ketika menyambut Aidil Fitri dan Aidil Adha. Saya akan bekaskan dan beri mertua dan arwah emak setiap pagi raya. Bila dikenang-kenang rasa sebak sangat sebab emak sudah tiada.
Rendang padang ini memerlukan banyak cili api dan bawang putih dalam masakannya. Memandangkan suami memang tidak tahan pedas dan kurang suka bawang putih, saya olah sedikit resepinya. Saya gantikan dengan cili kering tetapi kali ini saya gunakan cili kering, cili merah dan cili api yang dikisar. Sudilah jamu mata. Hehe...

Bahan-bahannya:

500 gram daging ( saya guna ayam )
1 helai daun kunyit
3 helai daun limau purut
1 sudu besar gula melaka
1 keping lengkuas ( 3 sm tebal ) dititik
1 batang serai dititik
garam secukupnya
600 gram kelapa parut }
3 cawan air } dicampur dan diambil santannya

Dikisar hingga halus:

40 biji cili padi
4 tangkai lada merah
10 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 inci halia

Cara-caranya:

1. Campurkan semua bahan-bahan di dalam periuk, didihkan, kemudian ditutup dan direnihkan. Dikacau sekali-sekala, masak hingga kuahnya pekat dan daging atau ayamnya empuk.

Buat Ayusliza yang minta resepi ini, ini adalah resepi yang original. Saya terpaksa olah sedikit ikut kesesuaian selera suami dan anak-anak. Selamat mencuba...

2 comments:

  1. boleh tak bagi resepi utk lauk ni? .. tq

    ReplyDelete
  2. salam ayu, akk dah letak resepi seperti yg diminta. selamat mencuba...

    ReplyDelete