Friday, August 19, 2011

PAU



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Antara juadah berbuka puasa dari air tangan saya adalah pau. Memanglah kadang-kadang tidak menang tangan dengan terkejar-kejar buat kerja. Mana dengan anak lelaki bongsu dengan karenahnya, ambil anak-anak pulang dari sekolah, mengemas rumah dan memasak semua harus dibereskan sendiri. Saya pula memang jenis yang lambat buat kerja tetapi alhamdulillah setakat ini urusan saya lancar semuanya.
Pau ini pun saya hanya main campak-campak saja. Suami tidak suka pau yang menggebu-gebu jadi ianya memudahkan kerja saya. Hehe... jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:

500 gm tepung
1 paket yis kering
3 sudu besar majerin
secubit garam
3 sudu besar gula
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar masukkan kesemua bahan-bahan di atas kecuali air suam. Gaul sebati.
2. Kemudian barulah masukkan air sedikit demi sedikit dan mulalah menguli hingga terbentuk doh yang cantik dan tidak melekat pada jejari tangan.
3. Rehatkan doh. Tutup dengan tuala lembab. Bila doh sudah naik sekali ganda, tumbuk-tumbuk dan uli semula.
4. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan bulat-bulatkan. Setiap bebola diisikan inti yang disukai. Saya masukkan inti kacang merah untuk suami dan inti kari ayam dan kentang untuk anak-anak.
5. Letakkan pau tadi di atas sekeping kecil kertas minyak, nak guna daun pisang pun boleh. Buat hingga habis.
6. Rehatkan lagi hingga doh pau tadi naik dan kukuslah selama 15 minit dalam kukusan yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
7. Balut tutup pengukus dengan kain jarang supaya air tidak menitis di atas pau.


2 comments:

  1. masya Allah!

    Tgk gambar pun boleh leleh air liur.

    :D

    ReplyDelete
  2. asma':
    t.kasih, boleh cuba ni. pau melayu. hehe...

    ReplyDelete