Assalamualaikum semua. Sekarang sudah jam 12.49 tengah malam. Anak saya Noor Syuhadah yang baru melangkah ke tingkatan 2 di Sekolah Menengah Ahmad Maher masih tekun menyiapkan kerja sekolahnya. Adham juga belum tidur lagi, selepas jemu mengadap laptop, dia beralih ke tv pula. Hamimah dan ayahnya sudah dari tadi terlena. Kuih bakar@bingka@bingkang ini pertama kali saya cuba membuatnya. Resepinya biasalah saya ceduk dari internet. Terima kasih kepada penyumbangnya. Arwah emak memanggil kuih ini kuih bakar. Arwah memang gemar membuat kuih ini. Teringat saya semasa kecil-kecil dahulu, saya dan Noni (adik) suka benar melihat emak membancuh apa-apa kuih pun. Yang paling melekat diingatan saya ialah ketika arwah membancuh adunan kuih bakar ini. Arwah hanya menggunakan tangan sahaja ketika melarutkan tepung, santan kelapa, air pandan, gula dan telur. Setelah adunan sebati arwah akan masukkan bancuhan tadi ke dalam acuan lubang dan dibakar di atas dapur gas. Setelah kuih bakar ini masak saya akan mengoyakkan bahagian yang garing untuk dimakan. Sedap betul, bahagian yang lembut (di tengah) saya tidak suka. Hehe... Waktu itu agak sukar menyediakan kuih ini sebab kelapa tua kena dijolok dari pokok, kemudian dibuang sabut, dipecah 2, dikeluarkan isinya, diparut dan diperah santannya. Begitu juga dengan daun pandan, sama ada arwah memarut daun tersebut atau ditumbuk lumat lalu dimasukkan air dan diperah jusnya. Tetapi emak ku yang satu ini memang rajin, serajin rajinnya. Rasanya yang menurun kerajinan dan kemahiran arwah membuat kuih muih adalah kakak saya yang ke 3, iaitu Kak Mas yang berkulit putih kemerah-merahan macam arwah juga. Hehe... Hasil percubaan pertama saya ini tidak cantik di mata tetapi lemak dan manis, senang kata sedap gitu di lidah. The credit should go to the penyumbang resepinya di internet...
No comments:
Post a Comment