Wednesday, January 20, 2010

AYAM MASAK UNGKEP



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kelmarin hingga hari ini saya dan anak-anak seorang demi seorang dijangkiti selsema, dan sakit tekak. Anak yang sulung ditambah batuk-batuk pula. Ubat klinik telah dimakan dan alhamdulillah beransur pulih. Sebenarnya anak yang sulung terjangkit kawannya di sekolah. Tekak dan hidung saya pula masih kurang selesa. Suami kena menghadiri mesyuarat di Port Dickson dan hanya akan pulang pada malam Sabtu nanti. Resepi simple ini saya sediakan untuk hidangan makan tengahari semalam. Dalam pengaruh ubat selsema saya gagahkan diri juga memasak untuk anak-anak tersayang...

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam
7 biji bawang merah *
1 biji bawang putih *
1/2 inci halia *
1/2 inci kunyit *
1/2 inci lengkuas*
2 sudu kecil ketumbar ( dibasuh, tos, disangan dan dikisar halus )
3/4 sudu kecil jintan kasar ( sama seperti di atas )
3/4 sudu kecil jintan halus ( sama seperti di atas )
5 batang serai dititik
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar bahan-bahan bertanda * dengan air asam jawa hingga lumat. Orang dulu-dulu bahan-bahan ini ditumbuk, lagi sedap..
2. Masukkan ayam ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan kisar, ketumbar, jintan kasar, jintan halus, serai, garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sebati dan perap seketika. Orang dulu-dulu asam jawa tidak diperah airnya tetapi digaul terus bersama ayam dan bahan-bahan lain.
3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan ayam yang telah sebati diperap. Kacau seketika. Masukkan sedikit air dan tutup kuali tadi. Masak hingga ayam masak dan kuah menjadi pekat. Kalau kuah kering lagi sedap tetapi api kenalah sentiasa dijaga. Sementara menanti kuah pekat dan agak kering, kita hendaklah mengacau sekejap-sekejap untuk mengelakkan ungkep ayam ini hangus.


Masakan ini mudah dan tidak pedas. Ada sesetengah orang menambah santan pekat dalam hidangan ini tetapi saya tidak letak. Ringkas begini pun insyaAllah sedap. Saya masak berkuah sebab anak-anak suka. Paling saya tidak lupa rasa masakan ungkep arwah emak, walaupun tidak menggunakan rempah dan santan tetap sedap sangat...

No comments:

Post a Comment