Monday, February 21, 2011

LEMAK PUTIH LABU DENGAN UDANG


Assalamualaikum semua. Dari sehari ke sehari saya hendak membuat entri tentang menu ringkas ini tetapi kerap kali juga tertunda. Gambar sudah lama tersimpan di dalam kamera. Hari ini saya curi-curi masa mengadap pc. Awalnya tadi saya leka melayan drama korea. Sampai basah mata dibuatnya. Huhu... Jom kita kongsi resepi mudah ini dan rasanya masak lemak apa pun kacang sahaja untuk menyediakannya...



Bahan-bahannya:

1/4 biji labu manis - dikupas kulit, dibuang biji dan dipotong ikut suka
350 gm udang saiz sederhana - dikupas kulit dan tinggalkan ekor sahaja
3-5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
udang kering - banyak ikut suka
1 cawan santan
air
garam

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga agak lumat.
2. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam periuk bersama labu manis dan air paras-paras labu tadi. Rebus hingga labu agak empuk.
3. Tambahkan santan dan kacau sebati.
4. Apabila kuah sudah mendidih masukkan udang dan rasakan dengan garam. Kacau lagi.
5. Biarkan seketika di atas api dan sedia untuk dihidangkan.

No comments:

Post a Comment