Monday, May 31, 2010

LEMAK CILI API IKAN PARI



Assalamualaikum dan selamat malam. Mula-mula saya hendak masak asam pedas ikan pari ini. Semuanya ada 8 potong bersaiz sederhana. Kalau dimasak semua dengan menu yang sama sudah tentu banyak bersisa nanti. Akhirnya saya bahagi dua untuk dimasak lauk yang berlainan. Tidak jadi hendak masak asam pedas. Hehe... Jom layan masak lemak cili api ini dahulu, Hamimah bukan main suka sampai makan nasi berulang-ulang...

Bahan-bahannya:

4 ketul potongan ikan pari
9 biji cili api (kalau nak pedas boleh tambah lagi) dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 sudu kecil belacan dikisar
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
5 batang serai dititik
3 keping asam
1/2 cawan santan pekat
air secukupnya
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar diikuti serai dan asam keping. Kacau rata hingga naik bau dan terbit minyak.
2. Masukkan potongan ikan pari tadi gaul rata dan tambahkan sedikit air hingga paras-paras ikan.
3. Tunggu hingga mendidih dan masukkan pula santan pekat. Tambahkan garam secukup rasa.
4. Kacau selalu hingga mendidih dan bolehlah dihidangkan.

p/s: lauk ini kalau pedas lagi sedap (tambahkan cili api), oleh sebab anak-anak dan suami tidak tahan pedas saya kurangkan kuantiti cili api yang digunakan.

DADIH PERASA BUAH-BUAHAN CAMPURAN




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Minggu lepas semasa jalan-jalan dengan suami di Mydin Mall, saya terpandang bungkusan serbuk dadih segera ini. Macam-macam perasa ada, akhirnya saya memilih perasa buah-buahan campuran. Memang sedap masa cuaca panas ini kalau menyejukkan tekak dengan dadih. Senang menyediakannnya dan lazat pula. Jom jamu mata, kalau teringin boleh cuba...

Saturday, May 29, 2010

AKTIVITI HUJUNG MINGGU

Di Hotel Renaissance selepas solat maghrib...


Hidangan simple untuk makan malam di Restoren D'Mina.


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Sejak tinggal di Kota Bharu ini waktu hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) saya dan keluarga pasti akan keluar jalan-jalan. Destinasinya pastilah KB Mall, Billion, Mydin, Pantai Timur dan semestinya tempat-tempat yang berhawa dingin. Suami dan anak-anak tidak gemar bersantai di PCB sebab cuaca yang sangat panas menyengat. Saya sebagai isteri dan emak menurut sahaja keinginan suami dan anak-anak. Hehe...
Bila sudah keluar saya tidak sempat memasak dan aktiviti seterusnya makan di luarlah jawapnya. Semalam kami menjamu selera di Restoren D'Mina di Pengkalan Chepa. Ramainya pelanggan dan kami menunggu hampir 1 jam untuk makan. Plag 'jalan-jalan cari makan' pun ada tergantung di hadapan kaunter bayaran. Yang saya pelik ada juga yang tidak tahu malu potong Q semasa hendak memesan makanan dan membayar bil. Buat muka 10 sen. Huhu...
Tadinya kami makan malam di Restoren ala Carte di Pengkalan Chepa juga. Restoren ini menyediakan makanan timur dan barat. Saya makan nasi goreng kampung, suami mee goreng udang dan ke dua-dua anak perempuan saya makan fish and chip. Malas pula hendak mengambil gambar dalam samar-samar cahaya lampu. Sepanjang 4 tahun kami menetap di sini, ini baru pertama kali kami makan-makan di sini. Masakannya boleh tahan sedap.
Jom tengok gambar-gambar yang sempat disnap...

Friday, May 28, 2010

PAIS IKAN KEMBONG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Edisi tertunda lagi. Pais ikan kembong untuk makan tengahari semalam. Hehe... Resepinya dari arwah emak saya. Arwah emak memang rajin masak pais ikan ini sebab bapa suka makan. Apa yang bapa suka makan itulah yang selalunya arwah masakkan walaupun arwah tidak makan apa yang dimasaknya, sebagai contoh masakan ikan air tawar. Arwah bagaimanapun tidak pernah menggunakan ikan kembong untuk dipais. Selalunya ikan kecil-kecil warna putih dan banyak tulang itu tetapi saya tidak tahu apa namanya. Jom kita kongsi resepi ikan pais ini...

Bahan-bahannya:

7 ekor ikan kembong sederhana besar
20 tangkai cili kering dikisar
7 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
2 batang serai dikisar
1/4 cawan air asam jawa pekat ( digunakan untuk mengisar, sekiranya sukar boleh tambah sedikit air lagi)
garam, gula dan perasa secukupnya
daun pisang secukupnya
aluminium foil secukupnya

Cara-caranya:

1. Gaulkan kesemua bahan-bahan kisar bersama ikan dan tambahkan dengan garam, gula serta perasa secukupnya. Ketepikan.
2. Gunting daun pisang sekadar cukup untuk membungkus seekor ikan. Letak ikan dan bahan-bahan kisar di dalamnya dan bungkus.
3. Alaskan bungkusan tadi dengan aluminium foil dan rapikan bungkusan. Buat hingga ikan dan bahan-bahan kisar habis.
4. Bakar atas api gas atau kuali serbaguna selama 15-20 minit.

p/s: arwah emak hanya menggunakan daun pisang, tidak memasukkan serai dalam bahan kisar dan arwah tumbuk semua bahan-bahan mentah tadi dan gaulkan dengan asam jawa bersama biji-bijinya.

Thursday, May 27, 2010

EPOK-EPOK SARDIN



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sebenarnya epok-epok ini saya buat dua hari lepas. Sempat letak gambar di facebook sahaja. Hari ini baru dapat letakkan entrinya di blog pula. Kami satu famili gemar makan epok-epok terutamanya berintikan sardin. Saya pula tidak berapa kisah dengan intinya, asalkan epok-epok sedap saja. Jom kita kongsi resepi buat kulit epok-epok ini...

Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum
3 sudu besar margerin
1/2 sudu kecil garam halus }
1 cawan air ais } dicampurkan

Cara-caranya:

1. Masukkan tepung dalam mangkuk adunan. Tambahkan dengan margerin dan gaul rata.
2. Masukkan air garam sedikit demi sedikit sambil menguli hingga menjadi doh.
3. Canai doh tadi, masukkan inti dan kelim epok-epok tadi.
4. Goreng epok-epok yang telah siap dibentuk dalam minyak terendam dengan api sederhana.




INTI KARI SARDIN CARA SAYA


Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin ( saya guna brand marina )
3 biji bawang bombay diracik dadu kecil-kecil
2 sudu besar rempah kari ikan dijadikan pes
secubit garam

Cara-caranya:

1. Toskan sardin dari sosnya dan ketepikan.
2. Tumiskan bawang bombay hingga layu. Masukkan pes kari dan kacau sebati. Masak hingga pecah minyak dan naik bau. Tambahkan dengan sardin.
3. Pecahkan ( betul ke perkataan ini, hehe...) sardin di dalam kuali dengan sudip dan gaulkan dengan bahan-bahan tumis hingga sebati. Masukkan secubit garam.
4. Sentiasalah dikacau sehingga masak.

Wednesday, May 26, 2010

IKAN MASAK KICAP BERSAYUR CAMPUR



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tengahari tadi saya masak kicap ikan dan tambahkan dengan sayur-sayuran yang ada. Bila suami buka tudung saji sekembalinya dari opis tadi beliau bertanya resepi baru ke? Saya kata tidak, resepi original cuma tambahkan dengan sayur-sayur saja. Hehehe, suami memang tidak suka makan sayur. Jom kita kongsi resepi masak kicap tokok tambah ini. Hehe....

Bahan-bahannya:

4 potong besar isi ikan merah digaram kunyit dan digoreng lembab
7 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1/2 inci halia muda dikisar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar sos tomato
1 mangkuk kecil hirisan bunga kobis
1 batang lobak merah dipotong ikut suka
5 batang jagung muda dipotong ikut suka
kicap masin dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan dengan sos tiram, kicap pekat, kicap masin dan sos tomato. Kacau sebati.
2. Masukkan secubit gula, kacau lagi. Bila sudah sebati masukkan ikan dan syur-sayuran yang dipotong dan tambahkan sedikit air.
3. Tutup kuali sekejap, gaul sebati dan matikan api.
4. Sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, May 25, 2010

MENU DARI IKAN CENCARU

CENCARU GORENG BERLADA


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Cencaru goreng berlada ini adalah lauk untuk makan tengahari semalam tetapi baru sempat saya buat entrinya hari ini. Ikan cencaru yang 4 ekor ini saya bahagikan 2 untuk dimasak menu berlainan. Biasanya suami dan Syuhadah gemar makan lauk cencaru sumbat sambal ini, Hamimah pula sebaliknya suka makan lauk goreng berlada. Jadi saya masak 2 jenis lauk dari bahan yang sama. Hehe... Jom kita kongsi resepi mudah cencaru goreng berlada (resepi Inna Merahsamar) ini....

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan cencaru
5 tangkai cili kering dikisar
5 biji cili merah dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan dikisar
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan cencaru dengan garam kunyit dan digoreng sederhana masak.
2. Tumiskan bahan-bahan kisar dengan lebihan minyak gorengan ikan tadi hingga naik bau dan terbit minyak.
3. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya dan kacau sebati.
4. Masukkan ikan cencaru goreng tadi dan lumurkan dengan sambal rata-rata.
5. Biar di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.



CENCARU GORENG SUMBAT SAMBAL

Bahan-bahan yang diperlukan:

2 ekor ikan cencaru dibelah belakang
5 batang lada merah dipanggang hingga layu
1 ketul belacan sebesar ibu jari dipanggang hingga garing
3/4 sudu kecil pati asam jawa Adabi
secubit gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan cencaru dengan garam kunyit dan ketepikan.
2. Tumbuk bahan-bahan yang dipanggang hingga agak lumat dan tambahkan secubit gula. Tumbuk lagi.
3. Tambahkan pati asam jawa dan gaul sebati.
4. Ambil ikan cencaru tadi dan sumbatkan dengan sambal yang telah ditumbuk.
5. Goreng dengan minyak terendam dengan api sederhana hingga masak.
6. Sedap dimakan dengan nasi panas.

Sunday, May 23, 2010

NASI LEMAK



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya masak nasi lemak untuk makan tengahari. Membawa ke malamlah nampaknya sebab anak-anak dan suami sekembalinya dari sekolah dan kerja belum sempat hendak makan. Untuk lauk sampingan nasi lemak ini saya sediakan sambal tumis telur puyuh, ayam goreng berempah pedas, kacang tanah goreng dan ulam timun. Jom kita kongsi resepi nasi lemak mudah saya...

Nasi lemak
Bahan-bahannya:
3 cawan beras basmathi
1 cawan santan pekat
3 helai daun pandan disimpul
1/2 inci halia dihiris nipis
1 biji bawang besar dihiris
sedikit garam

Cara-caranya:
-Masukkan semua bahan-bahan dalam periuk dan tambahkan air secukupnya. Kacau rata dan masak menggunakan periuk elektrik sepertimana kita memasak nasi biasa.

Sambal tumis telur puyuh
Bahan-bahannya:
30 biji telur puyuh direbus hingga masak dan dikupas kulitnya
20-30 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan dikisar
air asam secukupnya untuk mengisar
segenggam ikan bilis halus
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:
-Tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau dan terbit minyak. Tambahkan dengan garam, gula dan perasa secukupnya. Gaul sebati.
- Masukkan telur puyuh dan tambahkan sedikit air, kacau dan masak lagi. Tambahkan dengan ikan bilis halus. Kacau, biarkan di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.

Ayam goreng berempah pedas
Bahan-bahannya:
8 ketul ayam dicuci bersih
2 biji bawang merah ditumbuk
3 biji bawang putih ditumbuk
1/2 inci halia ditumbuk
1/2 inci kunyit hidup ditumbuk
1 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu besar 'cukup rasa'
1 sudu kecil serbuk cili

Cara-caranya:
-Gaul ayam dengan semua bahan-bahan kisar dan tumbuk. Perap seketika dan goreng dalam minyak terendam dengan api sederhana hingga masak.

Friday, May 21, 2010

ASAM REBUS DAGING DAN NENAS



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini saya masak asam rebus daging dan nenas untuk lauk makan tengahari. Sudah lama teringin hendak masak. Dulu-dulu arwah emak rajin masak, sedapnya masih terasa-rasa. Hehe... Sayang sungguh saya tidak sempat belajar dari arwah. Resepi saya ini sepertimana resepi masak asam rebus ikan namun hasilnya tidak mengecewakan. Sedap betul menghirup kuah asam rebus ini. Jom kita kongsi resepi, kalau sudilah...

Bahan-bahannya:

500 gram daging dihiris nipis
7 batang cili merah
5 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit belacan
1 cawan air asam jawa
1 mangkuk potongan nenas
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Rebus daging hingga empuk, ketepikan.
2. Kisar lada merah, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia dan belacan hingga agak halus.
3. Masukkan bahan-bahan kisar dalam periuk. Masukkan daging rebus dan air asam. Tambahkan dengan air secukupnya.
4. Masak hingga kuah mendidih. Tambahkan dengan potongan nenas dan rasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
5. Biar di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas, telur dadar, budu dan ulam-ulaman.

Wednesday, May 19, 2010

ROTI MANIS




Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Roti manis ni saya buat untuk minum petang semalam. Daripada duduk termenung rindukan suami lebih baik saya menguli tepung buat roti. Hehe... Guraulah, saya sudah biasa ditinggal outstation selama hidup bersama suami 16 tahun ini. Orang kata alah bisa tegal biasa. Syuhadah kata mak kenapa roti ini nampak lain aje. Hehe... Sebenarnya saya gunting atas permukaan roti itu sebelum dibakar. Hendak resepi tak? Mari kita kongsi...

500 gram tepung gandum
65 gram mentega
1/2 cawan gula halus
4 sudu besar susu tepung
11 gram yis
1 sudu kecil pelembut roti
1 sudu kecil bread improver
1 biji telur gred A
sedikit pewarna kuning
secubit garam
air secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar satukan tepung, susu tepung, telur, pelembut roti, garam dan bread improver. Gaul dengan sebati.
2. Sambil itu bancuhkan 2 sudu besar gula dengan air suam, larutkan pewarna kuning bersama yis. Biarkan sebentar hingga yis tadi naik.
3. Bila yis telah naik masukkan ke dalam campuran tepung tadi. Uli dan masukkan air sedikit demi sedikit hingga bercampur adunan tadi.
4. Sempurnakan proses menguli dengan mencampurkan mentega sedikit demi sedikit hingga terbentuk doh yang cantik.
5. Tutup doh tadi dan biarkan naik sekali ganda.
6. Tumbuk-tumbuk doh tadi dan uli semula dengan lembut. Semalam saya agak bermalas-malas hendak membakar roti ini. Perut pun masih kenyang, jadi saya rehatkan doh ini sekali lagi.
7. Bentukkan doh tadi bulat-bulat dan susun dalam loyang yang telah digriskan.
8. Rehatkan lagi hingga naik sekali ganda, gunting permukaan atasnya dan bakar pada suhu 190C hingga masak.
9. Griskan roti yang masih panas tadi dengan margerin atau mentega seusai keluar dari ketuhar. Boleh taburkan gula halus jika suka.

Tuesday, May 18, 2010

MEE GORENG BASAH



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sepatutnya saya letakkan entri ini semalam tetapi oleh kerana mata sudah terlalu mengantuk saya terpaksalah cari bantal. Hehe... Semalam saya tak masak nasi cuma goreng mee basah untuk mengalas perut saya dan anak-anak. Suami pun belum pulang dari outstation. Jom kita kongsi resepi mee goreng basah style saya ini...

Bahan-bahannya:
1 kilogram mee kuning
500 gram udang sederhana besar
5 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1 cawan hirisan daging ayam
1 cawan hirisan fish ball
1 ikat sawi dipotong-potong
2 biji tomato dipotong ikut suka
3 sudu besar sos tomato
1/4 cawan kicap masin
1 sudu besar cairan tepung jagung
garam secukupnya

Cara-caranya:

1. Kupas udang dan tinggalkan bahagian ekornya. Rebus kulit udang tadi dan ambil airnya. Ketepikan.
Basuh bersih mee kuning. Toskan airnya dan ketepikan.
2. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan dengan udang dan hirisan daging ayam tadi. Gaul sebati. Masukkan juga kicap masin dan sos tomato. Kacau lagi. Masukkan air rebusan kulit udang tadi.
3. Bila mendidih, tambahkan dengan cairan tepung jagung tadi dan kacau sebati.
4. Masukkan fish ball, diikuti mee kuning, hirisan tomato dan sawi. Kacau sebati.
5. Rasakan masinnya dan bolehlah dihidangkan.

Monday, May 17, 2010

KEK KEJU MARBLE



Assalamualaikum dan selamat pagi rakan-rakan semua. Hari ini selesai memasak untuk makan tengahari angin rajin pun datang hendak membakar kek. Kek ini saya ambil dari resepi Yatie yang nun berada di US. Bila lihat kek yatie yang kemas sahaja lapisannya buat saya tergelak melihat lapisan pada kek ini. Apa hendak buat, agak payah meratakan lapisan atas kek ini jadi saya buat mana yang boleh sahaja. Anak-anak tidak sabar hendak makan jadi terpaksalah dipotong semasa masih hangat. Sedapnya mak, komen mereka. Alhamdulillah dan terima kasih yatie, akak letak resepinya di sini ya.....

Bahan-bahannya:

(A)
180 gram mentega
170 gram gula halus
3 biji telur gred A
20 gram serbuk koko*
120 gram tepung halus (guna tepung gandum)*
1 sudu kecil baking powder*

(B)
250 gram cream cheese
60 gram gula halus
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji telur gred A

Cara-caranya:

1. Panaskan ketuhar pada suhu 160C. Lenser minyak pada tin 8x8x3 inci. Alas dasar tin dengan kertas minyak.
2. Putar gula dan mentega hingga kembang.
3. Masukkan telur sebiji-sebiji dan putar lagi hingga telur, gula dan mentega sebati.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gunakan low speed jika guna pengisar. Untuk langkah 1 hingga 4 saya gunakan cara manual je. Hehe...
5. Dalam mangkuk lain, putar cream cheese, esen vanilla dan gula hingga kembang.
6. Masukkan telur dan pukul adunan hingga berkrim.
7. Tuangkan adunan coklat separuh dalam loyang dan ratakan.
8. Tuang kesemua adunan cream cheese dan ratakan.
9.Akhir sekali tuang lebihan adunan coklat tadi dan ratakan.
10. Bakar selama 40 hingga 45 minit atau sehingga kek masak.
11. Sejukkan sebelum dipotong (saya potong masih hangat sebab anak-anak tidak sabar hendak makan, hehe...)

AYAM MASAK SAMBAL BERMADU



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Ayam masak sambal bermadu ini saya sediakan untuk dimakan bersama nasi mentega. Saya tidak masak acar sebab hanya saya seorang yang memakannya. Saya hanya potongkan tomato dan timun sebagai ulaman sahaja. Resepi ini saya reka-reka sendiri, alhamdulillah rasanya tetap sedap apatah lagi dimakan bersama nasi mentega. Memang tidak muak. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

8 potong ayam digaul dengan garam kunyit dan digoreng separuh masak
5 helai daun limau purut
3 kuntum bunga cengkih
1 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis
5 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
2 batang serai dikisar
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci lengkuas dikisar
2 sudu besar sos tomato
madu dan garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan kisar, rempah tumis dan daun limau purut hingga naik bau dan terbit minyak.
2. Tambahkan dengan sos tomato, garam dan madu secukup rasa. Kacau sebati.
3. Apabila bahan-bahan tumisan tadi sudah mesra, masukkan ayam yang digoreng tadi dan gaul sebati.
4. Biarkan di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.

NASI MENTEGA



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya masak menu baru nasi mentega. Resepi saya ambil dari rumah adik blogger "epok-epok pusing". Terima kasih ya. Beberapa hari lalu ada bertanya suami kalau saya masak nasi mentega boleh tak. Boleh katanya tetapi dengan syarat masakkan nasi dan lauk yang lain untuk beliau. Jadi saya ambil kesempatan beliau outstation ini untuk masak menu baru. Sedap dan simple. Memang tidak rugi mencuba. Jom kongsi resepi adik kita ini (saya masak separuh dari sukatan di bawah)....

4 cawan beras
11/2 inci tebal mentega
2 biji bawang merah dimayang halus
1 helai daun pandan (saya gantikan dengan rempah tumis 4 sekawan)
2 kiub pati ayam
1/2 cawan kismis

Cara-caranya:

1. Basuh basmathi dan toskan airnya.
2. Panaskan mentega dan tumis bawang, diikuti rempah tumis hingga layu dan naik bau.
3. Masukkan beras tadi dan kacau rata.
4. Tambahkan air secukupnya.
5. Masukkan daun pandan, kiub pati ayam dan kismis. Kacau rata.
6. Masak hingga nasi hingga masak seperti biasa.

Friday, May 14, 2010

GULAI KUNING IKAN DENUK




Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Gulai kuning ikan denuk menggantikan ikan aya. Sebut pasal ikan aya, entah bila dapat merasa hati ikan aya. Rupanya pun tidak saya kenal, ingin juga hendak merasa. Hehe... Menu kali ini lengkap dengan cili hijau ( cili hijau ini saya tidak jumpa di Kuantan, Johor Bahru dan Kulai ) dan potongan timun masak. Jangan tidak tahu saya sudah bertahun tidak membeli cili hijau muda ini sebab rasanya yang pedas. Kalau sudah pedas faham-faham sahajalah ya. Hehe... Kakak penjual sayur yang bagi, alhamdulillah rezeki.
Jom kita kongsi resepi masakan yang sedap ini...

Bahan-bahannya:

500 gram ikan denuk dipotong-potong
5 tangkai cili kering dikisar
7 biji bawang kecil dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci lengkuas dikisar
1 cawan santan pekat
1 batang timun saiz besar dipotong ikut suka
7 biji lada hijau muda dibiarkan sebiji-sebiji
5 keping asam (saya guna saiz kecil)
garam
manisan (saya guna gula pasir)

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi dan terbit minyak.
2. Masukkan garam dan gula secukupnya dan gaul sebati.
3. Tambahkan dengan potongan ikan dan gaul sebati, masukkan air paras-paras ikan. Masak hingga kuah mendidih.
4. Tambahkan santan pekat dan kacau lagi. Sekiranya kuah pekat boleh tambah sedikit air lagi.
5. Kacau sekejap-sekejap hingga kuah mendidih. Tambahkan dengan potongan timun dan cili hijau muda.
6. Biarkan di atas api sebentar dan bolehlah dihidang.
Sedap dihidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman, sambal belacan dan pastinya budu. Kalau badan 'langsing' jaga-jagalah kuantiti pengambilan nasi ya (rujuk diri sendirilah) hehe...

Thursday, May 13, 2010

ASAM TUMIS DAGING PULA....



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Terharu dengan maklum balas dari adik-adik blogger semalam. Terasa dihargai pula diri ini walaupun menu dan resepi yang dikongsikan biasa-biasa dan kadang-kadang diulang-ulang. Bukan tidak teringin mencuba menu berat dan masakan barat. Masalahnya suami tidak gemar mencuba dan saya pula kalau boleh tidak mahu melihat wajahnya monyok di hadapan rezeki Allah disebabkan saya. Sudah terkena itu yang serik. Hehe... Pesannya awak mahirkan sahaja skill masak asam pedas dan sambal tumis, lauk yang saya suka. Saya tidak suka makanan barat dan kuih muih selain bahulu dan karipap sardin. Bila saya minta beli breadmaker katanya buat apa susah-susah buat roti, kalau hendak makan beli sahaja. Kwang, kwang, kwang... Namun apa juga jenis masakan yang saya cuba buat beliau akan tetap merasa walau secubit cuma. Alhamdulillah anak-anak sebelah memang suka dengan masakan saya jadi bolehlah dikongsi bersama mereka jadi tidaklah terbuang begitu sahaja.
Jom kita kongsi resepi. Menu ini memang sedap selain aromanya yang memikat. Kalau tidak percaya boleh cuba memasaknya...

Bahan-bahan:

500 gram daging dihiris ikut suka
20 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1/2 halia dikisar
1/2 kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
3 batang serai dititik
1 cekak daun kesum dilurut dari tangkainya
2 kuntum bunga kantan dibelah 2
1 mangkuk kecil air asam jawa (jangan pekat sangat)
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar bersama serai yang dititik hingga naik bau dan pecah minyak. Saya suka tumis lama dan sering dikacau supaya cantik tumisannya.
2. Masukkan garam dan gula secukupnya. Kacau sebati.
3. Tambahkan dengan hirisan daging. Gaulkan dengan bahan tumis tadi dan tutup periuk. Kacau sekejap-sekejap.
4. Bila air daging telah kering, tambahkan dengan air ikut suka banyak mana kuah yang kita mahu.
5. Bila kuah telah menggelegak, tambahkan dengan air asam pula. Masak lagi hingga daging empuk.
6. Tambahkan dengan daun kecum dan bunga kantan. Kalau suka boleh masukkan bunga kantan setelah menambahkan air asam ke dalam masakan.
7. Biar di atas api seketika dan boleh dihidangkan.





KEK LAGI...



Semalam pulang dari kerja suami singgah di HPA bakery dan sempat membeli kek icing ini sekadar mencuba rasa. Adham suka sangat. Mak, happy birthday to you katanya. Hehe... Rasanya sedap dan tidak semuak kek coklat tempohari. Kek itu sudah licin saya bahagi-bahagikan pada anak-anak sebelah dan tetamu yang datang. Anak-anak bukan hendak makan sangat, suami makan sepotong sahaja. Itu pun yang dikongsi bersama saya. Daripada saya yang sedia bulat ini terpaksa menghabiskannya lebih baik berkongsi rasa dengan yang lain.

Wednesday, May 12, 2010

MASAK SOTONG LAGI....



Assalamualaikum dan pagi semua. Lauk semalam ni. Macam biasa menu kitar semula tetapi pandai-pandailah tambah sana sini buat sedap rasa. Kalau masak menu baru takut suami tak suka, ada patut dikatanya saya masak untuk masuk dalam blog bukan untuk beliau dan anak-anak. Sampai hati. Huhu... Macam nak pencen je dari blog ini. Kalau pencen bertambah sunyilah hidup saya yang memang sudah sedia sunyi ni...
Jomlah kita jengok-jengok resepi sotong masak hitam yang saya tokok tambah ni....

Bahan-bahannya:

500 gram sotong dicuci, dipotong bulat dan disimpan pundi hitamnya
5 tangkai cili kering}
5 biji bawang merah}
2 biji bawang putih}
1/2 inci kunyit hidup}
1/2 inci halia}
air asam secukupnya} dikisar
3 batang serai dititik
sedikit kicap pekat
sedikit kicap manis
garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Tumis bahan kisar dan serai yang dititik hingga pecah minyak dan terbit wanginya.
2. Tambahkan kicap pekat, kicap manis, garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati.
3. Masukkan sotong dan gaulkan hingga pundi-pundi hitamnya pecah dan menambah gelap kuah.
4. Biar hingga masak. Rajin-rajinlah mengacaunya.
5. Sedia untuk dihidang.

Tuesday, May 11, 2010

KEK COKLAT DAN HADIAH ANAK-ANAK


Ahad lepas saya sms suami di pejabat sekiranya sempat, singgah le mana-mana kedai kek dan tolong belikan saya kek. Saya berniat hendak raikan Hari Ibu dengan anak-anak pada malam harinya. Menurut suami hanya kek coklat yang tinggal, kek blueberry telah habis dibeli pelanggan lain. Kek-kek yang lain menurut suami tidak mengancam krimnya. Lagipun kek ini yang paling mahal berbanding kek-kek yang lain. Iyelah tu, sebenarnya suami yang suka kek coklat ni. Hehe... Makan sepotong pun sudah mencukupi sebab rasanya kaya dengan coklat begitu juga toppingnya. Manisssssss sangat. Sesiapa yang hendak datanglah rumah ya, banyak lagi tu...






Hadiah dari anak-anak, Hamimah dan Syuhadah. VCD drama korea All About Eve keluaran tahun 2000. Jika ke KB Mall saya rajin masuk ke dalam kedai Speedy menjenguk-jenguk vcd dan dvd drama-drama korea. Sekadar tengok sahajalah, belinya tidak. Hehe... Sudah banyak kali saya berniat membeli dvd tidak pun vcd cerita ini tetapi hati sentiasa berbelah bagi sebab takut membazir kerana harganya agak mahal dan sesetengah episod cerita ini boleh saya tonton melalui internet. Akhirnya anak-anak yang belikan tanda kenangan sempena Hari Ibu walaupun sumber kewangannya dari suami. Hehe.. Apa-apa pun terima kasih buat anak-anak, bukan hadiah atau ucapan yang mak inginkan sebenarnya, mencukupilah dengan menjadi anak-anak yang solehah.......

Sunday, May 9, 2010

KARI KEPALA IKAN TENGGIRI TANPA SANTAN

Ngeri pula melihat gigi ikan tenggiri ini. Sebelum ini tidak perasan pula. Hehe...



Hidangan sampingan wajib selain kari kepala ikan ialah sambal belacan. Ikan tenggiri goreng semestinya untuk Hamimah. Hehe...



Sayur kacang panjang tumis kering dengan telur untuk Syuhadah pula.

Assalamualaikum dan selamat malam teman-teman semua. Hari ini walau Hari Ibu saya tidak menggantung kuali ya, sebab Jumaat dan Sabtu saya sudah awal-awal menggantungnya. Bukan malas tetapi memang tidak sempat memasak sebab ada urusan di luar. Syukurlah di sini tidak sukar mencari makanan kerana kedai makan atau restoran tumbuh bak cendawan selepas musim hujan banyaknya, cuma perlu cari yang sesuai untuk selera sahaja.
Hidangan untuk tengahari tadi adalah kari kepala ikan tanpa santan, kacang panjang tumis kering dengan telur, ikan tenggiri goreng dan sambal belacan. Percaya tidak kalau saya katakan suami langsung tidak menyentuh ikan tenggiri tersebut walhal beliau yang membeli. Hehe... Hari ini beliau cuma makan nasi berlaukkan sayur kacang panjang itu sahaja, pada hal beliau memang tidak makan sayuran.
Sebenarnya suami memang tidak suka makan ikan tenggiri dan juga bawal tetapi oleh kerana semalam penawaran ikan tidak banyak jadi beliau beli sahaja tetapi sempat merungut yang harga ikan tenggiri itu untuk 4 potong RM20. Hehe...
Jomlah kita kongsi resepi kari kepala ikan tanpa santan di sini...

Bahan-bahannya:

Sepotong kepala ikan dan isinya
5 batang cili kering dikisar
3 biji bawang besar dikisar
1/2 inci halia dikisar
sedikit air asam untuk mengisar bahan-bahan di atas
7 biji bawang merah dimayang
3 biji bawang putih dimayang
1 sudu kecil halba
2 sudu besar rempah kari ikan}
1 sudu besar rempah kari daging} dicampur dengan bahan kisar dan dijadikan pes
2 biji tomato dipotong 2
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya;

1. Panaskan minyak dan tumiskan halba dan bahan-bahan yang dimayang hingga layu dan hampir garing (awas, jangan hangus ya, part ni kena jaga betul-betul).
2. Masukkan campuran pes kari tadi dan tumis lagi hingga naik bau dan pecah minyak. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau sebati.
3. Masukkan potongan kepala ikan dan hirisan daging ikan tadi. Masukkan air paras-paras ikan dan biar hingga mendidih.
4. Tambahkan dengan potongan tomato. Biar di atas api seketika.
5. Siap untuk dihidangkan bersama sambal belacan dan nasi panas.

KAD UCAPAN SELAMAT HARI IBU DRP IZZAHDAUT



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kad ucapan selamat hari ibu berlatarkan buah strawberry ini pula saya terima dari adik blogger Izzahdaut. Terima kasih banyak Izzah. Moga kita menjadi ibu yang solehah dan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah serta berjaya di dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kasihnya ibu membawa ke syurga.....

KAD UCAPAN SELAMAT HARI IBU DRP YATIE US



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Kad ucapan di atas saya terima dari Yatie US. Terima kasih banyak Yatie. Mudah-mudahan kita menjadi ibu yang cemerlang buat anak-anak kita di dunia dan akhirat....

SELAMAT HARI IBU


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Hari Ibu pada semua rakan-rakan yang bergelar emak, ibu, umi, mama dan mummy. Hehe... Anak-anak panggil saya emak. Moga Allah permudahkan urusan kita menjadi anak, menantu, isteri dan ibu yang solehah. Bagi saya tidak ada kasih yang setulus dan seikhlas emak kandung sendiri. Emak saya telah lama pergi meninggalkan saya dan keluarga. Sesekali pulang ke kampung amat terasa kekosongannya dan memang tidak akan pernah terisi... Kasih bapa, hatta kasih suami pun tidak sama sekali dapat menyamai kasih sejati seorang emak. Al fatihah buat emak yang teramat disayangi dan dirindui... Moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh. AMIN ya Allah...