Sunday, December 13, 2009

SPAGETI BEBOLA DAGING



Assalamualaikum semua. Mudah-mudahan sentiasa di dalam kasih Ilahi. Amin. Entri saya kali ini tentang spageti yang saya masak kelmarin. Baru petang ini ada masa terluang untuk menulis tentangnya. Macam biasalah saya memasak atas permintaan anak-anak. Suami memang tidak berminat langsung untuk mencuba apatah lagi memakannya. Hehe... Tidak mengapalah sebab untuk suami saya sudah masakan hidangan lain yang dapat memenuhi seleranya. Ikan cencaru masak terutup (lupa hendak mengambil gambarnya) dengan nasi putih. Berbalik pada spageti ini sebenarnya saya tersilap membeli spageti angel hair jadi halus-halus bentuknya, sekali pandang macam bihun pula. Apa-apa pun rasanya sama sahaja seperti spageti biasa. Yang penting permintaan anak-anak telah saya pun tunaikan...

Atas permintaan kakak saya Ina dan Kak Zie, saya berikan cara-cara hendak membuat spageti bebola daging. Sebenarnya malu juga sebab saya bukan mahir sangat memasak. Cuba-cuba sahaja dan kadang-kadang, syukur menjadi.

Bahan-bahan yang diperlukan:

500 gram spageti
1 cawan daging kisar
1 ulas bawang putih ditumbuk lumat
1 biji putih telur
1/2 sudu teh lada putih/lada hitam ditumbuk lumat
sedikit garam
tepung ubi secukupnya untuk menguli
1 biji bawang besar dicincang kasar
1 tin sos spageti prego perasa tradisi
minyak jagung untuk menumis
3 biji tomato ranum dipotong kecil-kecil

Cara-cara membuat bebola daging:
1. Campurkan daging kisar, bawang putih, serbuk lada putih , garam dan putih telur. Gaul sebati.
2. Masukkan tepung ubi dan gaul lagi sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
3. Bentukkan bulat-bulat dan masukkan dalam air rebusan yang sudah mendidih.
4. Angkat dan toskan bebola daging setelah timbul dari air rebusan.
* Untuk lebih mudah beli sahaja bebola daging yang telah siap. Hehe... Cuma mungkin tidak kena dengan selera kita.*

Cara-cara membuat kuahnya:
1. Panaskan minyak jagung (minyak zaitun tiada dalam stok), tumis bawang besar cincang hingga naik bau.
2. Masukkan buah tomato yang dipotong tadi dan gaul mesra.
3. Masukkan pula sos spageti prego dan bebola daging.
4. Tambahkan sedikit air dan kacau hingga masak.

Cara-cara menghidang:
1. Rebus spageti dan toskan.
2. Masukkan spageti di dalam pinggan dan curahkan sos bebola daging. Taburkan daun oregano jika suka.

No comments:

Post a Comment