Assalamualaikum semua. Moga sentiasa diberkati Allah. Asam pedas ikan haruan laut bersama terung ini merupakan menu saya semalam. Ikan haruan laut? Saya pun baru pertama kali mengenali dan melihatnya. Menurut makcik penjual ikan yang peramah ini, ikan ini sedap jika dimasak asam pedas (menu kesukaan suami) dan juga kari. Oleh kerana tidak banyak pilihan ikan semalam, saya pun membelinya. Rupanya ada setengah penjual ikan dan sayuran belum memulakan perniagaan lagi, masih bercuti apatah lagi bekalan bahan mentah menurut mereka tidak sampai lagi. Beginilah Aidil Adha di Kelantan. Memang benar-benar dirai. Selalunya jika hari saya ke pasar iaitu seminggu sekali merupakan hari cuti saya ke dapur. Malangnya semalam hujan lebat, ditambah lagi kedai menjual nasi berlauk yang kami panggil kedai pokok ceri tutup juga. Jadi sampai sahaja di rumah saya terus memasak juadah ini.
Bahan-bahan yang diperlukan:
500 gm ikan haruan laut
1 biji terung ungu bersaiz besar
15-20 biji cili kering }
5 biji bawang merah }
1 biji bawang putih }
seketul belacan }
1 cm kunyit hidup }
1 cm halia muda }
air asam jawa (banyak mana ikut suka)
minyak masak untuk menumis
sedikit garam
sedikit gula
sedikit serbuk perasa ( kalau suka)
Cara-caranya:
1. Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan yang dikisar hingga hingga pecah minyak.
2. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa. Kacau dan masak hingga sebati.
3. Masukkan ikan yang dicuci bersih dan gaul dengan bahan tumisan tadi. Kemudian masukkan air hingga suku badan ikan.
4. Bila agak menggelegak, masukkan pula air asam jawa.
5. Akhir sekali masukkan terung ungu yang telah dipotong memanjang. Biarkan seketika.
6. Rasakan manis, masam, lemak dan masinnya.
Berselera sungguh saya melihat suami makan hingga tambah sampai 3 kali, pada hal malamnya kami berbincang untuk mengurangkan pengambilan nasi. Kasihan pula hendak menegur ketika beliau tengah sedap-sedap makan. Akhirnya beliau bersuara sendiri, ini dah terlebih makan ni. Hehe... Apa-apa pun buat suami doa saya sentiasa mengiring beliau.
No comments:
Post a Comment