Ayam kampung masak lemak cili api pula. Naik stress menunggu ayam kampung betina ini hendak empuk. Walhal kata pakcik yang menjualnya ayam ini muda. Hehe.. Kasihan suami pun naik lapar. Dan akhirnya.... empuk juga.
"Adik, adik nak makan apa?" "Mee bandunglah mak." Itulah jawapan yang selalu diberikan oleh anak kedua saya semasa memesan makanan bila makan masakan panas di luar. Malangnya rasa masakan mee bandungnya amat berbeza dari apa yang kami rasa ketika makan di Johor kerana ramuannya dimasukkan sos tomato yang menyebabnya kuah meenya terasa masam. Jadi saya pun cubalah memasak mee bandung Johor ini, alhamdulillah respon suami ketika merasainya, macam inilah baru rasa mee bandung. Hehe... Bukan susah sangat pun membuat mee bandung ini rupanya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
800 gm mee kuning
6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1/2 cawan udang kering
15 biji cili kering
250 gm daging (dipotong nipis dan direbus empuk)
250 gm isi ayam yang dihiris nipis
250 gm udang sederhana besar (dibuang kulit, kulitnya direbus dan simpan air rebusannya)
250 gm sotong
1 cawan bebola ikan
2 ikat sawi (dipotong dan dicelur sekejap)
sedikit daun sup dan daun bawang (jika suka)
5 biji telur (ikut berapa hidangan yang hendak disediakan)
1 cawan kacang tanah (digoreng sangan dan ditumbuk agak hancur)
200 ml pati santan
Cara-cara menyediakannya:
1. Kisar lada kering, bawang putih, bawang merah dan udang kering hingga lumat.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar tadi. Setelah agak garing, masukkan pula air dan air rebusan kulit udang tadi.
3. Bila sudah mendidih, masukkan pati santan diikuti hirisan isi ayam dan daging.
4. Kemudian masukkan pula kacang tanah tumbuk dan kacau rata.
5. Bila menggelegak kuah tadi barulah masukkan bebola ikan, udang dan sotong dan masak sekejap.
Cara-cara hendak menghidang:
1. Isikan mee kuning yang telah dicelur ke dalam mangkuk bersama sawi.
2. Panaskan kuah dan pecahkan telur. Biar seketika dan sendukkan kuah bersama telur itu ke dalam mangkuk berisi mee tadi.
3. Taburkan daun sup dan daun bawang ketika panas-panas jika suka.
No comments:
Post a Comment