Assalamualaikum semua. Kota Bharu hujan lagi, lebat pula. Bilalah musim hujan ini akan berhenti. Sepanjang 6 tahun lebih tinggal di pantai timur, suasana beginilah yang kami hadapi di hujung tahun. Kalau musim panas, panas sangat rasanya. Mengangkat kain di jemuran yang tidak memakan masa yang lama pun boleh membuat kepala sakit dan kadang-kadang terpaksa berpayung pula. Bila tiba musim hujan hendak berselimut sahaja rasanya. Hendak basuh pinggan pun air paip sejuk bukan main. Syukur, kawasan tempat tinggal kami jauh daripada banjir. Selebat mana hujan tanpa henti paling tidak air melimpah hingga memenuhi tapak garaj kereta sahaja. Alhamdulillah. Ada jiran-jiran kami yang di kawasan agak rendah, dapur dan bilik air mereka dimasuki air. Kasihan sungguh, mereka ini bukan orang senang pula. Apa yang saya perhatikan mereka ini cukup tabah menjalani kehidupan dan rajin bekerja. Ada pula yang mudah benar memberi pertolongan, maklumlah kami orang 'luar'. Saya kurang bergaul dengan jiran sekampung kerana masalah komunikasi tetapi bila berjumpa mereka, saya tetap mesra menyapa. Semalam saya sempat membakar kek marble di tengah-tengah kesejukkan yang menggila. Hehe... Resepi ini sudah lama saya salin dan saya mengambilnya dari blog 'mat gebu'. Sekiranya En Mat yang mahir memasak ini terbaca entri ini kakak hendak mengucapkan terima kasih dan maaf sebab ambil resepi tanpa izin En Mat. Waktu belum berkahwin dulu, sayalah orangnya yang diamanahkan arwah emak membuat kek setelah kakak ke 3 saya iaitu Kak Mas berkahwin dan berpindah. Namun setelah saya mendirikan rumahtangga, ditambah dengan suami yang tidak gemar sangat-sangat makan kek, saya terus tinggalkan minat itu. Sekarang ini hendak sambung baliklah sekiranya ada masa terluang. Anak-anak pun nampaknya gemar memakannya. Kek marble saya ini tidaklah secantik mana, setakat lulus sahaja tetapi rasanya alhamdulillah. Suami sekadar merasa secubit, anak-anak pula bila makan responnya sedap sahaja. Hehe....
No comments:
Post a Comment