Assalamualaikum semua. Ayam masak lemak cili api dengan kentang ini merupakan hidangan yang sering disediakan oleh arwah emak untuk kami sekeluarga. Selalunya emak menggunakan ayam hutan dan tidak pernah menggunakan ayam bandar sepertimana yang saya buat. Almaklumlah di bandar Kota Bharu ini mana hendak mencari ayam hutan. Mengimbau zaman kanak-kanak hinggalah berumahtangga saya tinggal di felda yang mengusahakan tanaman kelapa sawit hingga kini. Ayam hutan ini memang hidup bebas di kawasan ladang kelapa sawit ini. Makanan hariannya tentulah kelapa sawit jadi rasa ayam ini lebih manis dari yang lain. Bukan sahaja rasanya sedap, ayam hutan ini cantik bulunya berbanding ayam serama yang tidak cukup tinggi itu. Begitu juga jika dibandingkan dengan ayam kampung. Hehehe... Kadang-kadang arwah emak masak ungkep ringkas sahaja tetapi rasa sedapnya masih terasa-rasa di lidah hingga sekarang. Hehehe... Bapak, abang, dan adik lelaki memang arif mencari ayam hutan ini. Teringat semasa dahulu kalau mereka masuk ke kebun mencari ayam hutan, kami yang di rumah akan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, dapat tak, dapat tak. Kalau ada rezeki hari itu gembira sungguh. Hai, rindunya zaman-zaman itu. Rindunya dengan bapak, kak ara, kak ipah, kak mas, abang, ita, ina, noni dan yan... Terutama sekali tentulah arwah emak... Berbalik pada lauk ayam tadi rasanya tentulah tidak secanggih masakan arwah emak tetapi suami saya tetap suka, syukurlah. Ayam cincang goreng ketumbar ini pula untuk anak-anak perempuan saya. Gembira melihat mereka makan dengan berselera.
No comments:
Post a Comment