Thursday, November 19, 2009

TELUR LEMAK CILI API DAN KARIPAP SARDIN




Selasa lepas setelah berkira-kira hendak memasak apa untuk keluarga akhirnya jadilah telur lemak cili api dan ayam goreng cina. Ayam goreng cina telah saya buat entrinya dahulu. Sewaktu saya tinggal di Kuantan dulu, ramai peniaga kedai makan dan restoren menyediakan hidangan ini tetapi saya takut hendak mencubanya sebab difikiran saya telur itik mesti hanyir. Jangan tidak tahu dari saya kecil hinggalah tua begini saya memang tidak gemar makan kuning telur kerana tidak tahan dengan rasa hanyirnya. Kecualilah kalau telur kuning dari telur pindang barulah saya berani hendak memakannya. Hehehe.... Yang mengikut saya, anak yang sulunglah. Suami pula sebaliknya, tidak suka putih telur tetapi gemar kuningnya dan sekiranya hendak makan putih telur dari telur pindanglah. Yang mengikut selera suami anak yang ke dua pula. Sebenarnya keinginan memasak resepi ini timbul selepas melayari blog Kak Ummi. Terima kasih banyak ya. Cuma saya tidak menggunakan telur itik sebaliknya telur ayam gred A. Besarlah juga. Bahan-bahan yang saya gunakan ialah 5 biji telur ayam gred A, 9 biji cili api, 5 biji bawang merah, 3 biji bawang putih, sedikit kunyit hidup, sedikit belacan, 2 batang serai yang dititik, 200 ml pati santan, garam, gula dan asam keping. Tumbuk lumat cili api, bawang putih, bawang merah, belacan dan kunyit hidup. Masukkan bahan yang ditumbuk, serai, asam keping dan pati santan dalam periuk. Tambahkan sedikit air agar kuah tidak terlalu pekat. Masak dengan api sederhana. Bila hampir mendidih pecahkan telur satu persatu, pastikan kuning telur tidak pecah. Kuah hendaklah sentiasa dikacau perlahan agar santan tidak pecah minyak. Bila sudah mendidih dan masak rasakan masin dan manisnya. Kalau suka boleh tambah serbuk perasa. Karipap sardin pula saya sediakan hendak minum petang. Memang makanan kegemaran keluarga.

No comments:

Post a Comment