Salam semua, sewaktu saya menaip di blog ini hujan sedang turun agak lebat. Pada ketika ini saya berada di Teluk Dalam Resort di Pulau Pangkor kerana menemani suami berkursus di sini. Semalam sewaktu saya sampai di Teluk Dalam ini cuaca amat mendamaikan sebab redup sahaja. Tetapi disebabkan keletihan berada di dalam kereta selama hampir 6 jam (sepanjang perjalanan di Kelantan menuju ke Grik hujan) dan lebih kurang setengah jam di dalam feri, saya dan anak-anak berehat sahaja di dalam chalet. Pagi tadi sempat juga menemani Hamimah dan Adham mandi di kolam renang. Walaupun mendung, bahang dari laut tetap terasa. Hamimah yang mandi tidak sampai satu jam sudah bertukar kulit menjadi gelap. Alhamdulillah, kali ini Adham tidak mahu berlama-lama mandi. Selalunya bergelut dengan beliau semasa menarik naik dari dalam kolam. Mak, nak makan katanya. Hehehe.... Syukur juga kali ini makan tidak menjadi masalah kerana ada kakitangan resort yang sanggup menolong membelikan makanan di Teluk Batik yang mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai. Bukan apa pengalaman lalu semasa mengikut suami meeting di Pangkor Beach Resort, saya pernah membayar hampir RM75 hanya untuk sepinggan nasi goreng dan sepinggan mee goreng. Mahalnya bagi seorang pegawai dapur seperti saya. Tetapi PBR memang lebih canggih penginapannya dari TDR. Kini, 2 pinggan nasi goreng kampung, sepinggan kuetiaw goreng dan sepinggan mee goreng hanya RM18 sahaja. Untuk makanan ringan pihak resort ada menyediakan kedai cenderamata yang turut menjualnya. Sabtu ini selepas jam 1 petang, kami akan pulang kembali ke sarang.
No comments:
Post a Comment