Sunday, August 30, 2009

RAMADHAN... terkenang-kenang


Hari ini sudah masuk hari ke 9, kita berpuasa. Ramadhan ini banyak mengamit kenangan saya bersama arwah emak. Hampir 6 tahun emak meninggalkan kami. Bila melayari blog kak yon yang berkumpul anak beranak semasa berbuka puasa dengan hidangan yang pelbagai makin saya merindui masa-masa itu.. Arwah emak adalah orang yang paling sibuk ketika Ramadhan. Seawal 3 ke 4 pagi arwah telah bangun untuk menyediakan sahur. Tidurnya sering bertemankan lampu suluh (masa tu macam mana le tak tergerak nak gunakan jam loceng ye) sepanjang bulan puasa. Tujuannya senang hendak melihat jam kalau tersedar. Mungkin sepanjang Ramadhan arwah tidak nenyak tidur. Selalunya bila hidangan sahur sudah tersedia barulah emak mengejutkan kami untuk makan. Sewaktu kakak saya yang ke 3 belum berkahwin, beliaulah yang banyak membantu emak. Selepas kak Mas berkawin, kakak saya Ita pula yang mengambilalih tugas. Arwah pula tidak pernah menyuruh saya membantu, rasanya begitu juga dengan kakak saya Ina dan adik saya Noni. Seingat saya kalau saya terbangun awal, mesti emak suruh tidur balik. Arwah pula mesti memasak makanan baru untuk bersahur. Biasanya ada sayur, ikan goreng dan lauk lain. Saya paling suka kalau ada ikan masin goreng. Begitu juga sewaktu berbuka selain lauk pauk mesti ada hidangan pemanis mulut dan kuih muih. Emak suka membuat manisan dari sagu biji yang dicampur dengan santan dan cairan gula merah pekat. Selain itu berbagai jenis kuih bingka, kuih talam, kuih koci, serimuka, apam, epok2, lengkong (agar2), lopes ubi dan macam-macam lagi lah akan disediakan arwah secara bergilir hari. Kuih-kuih moden emak tidak berapa mahir. Emak memang suka buat sendiri apatah lagi anak-anak beliau ramai. Hasilnya walaupun beliau telah tiada, kami yang 9 beradik ini hidup akrab berkat air tangan beliau. Walau jarak memisahkan kami tetapi di hati dekat selalu. Selalunya untuk hidangan berbuka beliau masuk ke dapur seawal jam 3 ke 4 petang. Waktu ini kami pun diajak bersama. Tolong lah mana-mana yang patut. Macam-macam makanan yang tersedia, tidak termasuk dari jiran-jiran. Meriah betul. Penuh satu meja makan. Satu pekara bapak saya pula memang tidak suka masakan orang lain kecuali emak. Kalau kita anak-anak yang masak ada saje kurangnya. Kurang lemaklah, kurang garamlah bla bla bla. He he.. Sampaikan air teh yang kita buat pun tidak sama rasanya dengan emak buat. Macam emak beliau tidak makan apa juga jenis ikan air tawar tetapi sebab bapak hendak makan, beliau bertungkus lumus menyiang, mencuci dan memasak ikan tersebut. Emak memang rajin dan pandai memasak. Arwah tidak pernah cuti memasak hinggalah beliau jatuh sakit berat hingga membawa pemergiannya. Semasa beliau sakit beliau pernah mengadu pada saya dalam tangisan yang beliau cuba menjerang air tetapi terjatuh. Beliau rasa tidak selesa hanya duduk dan baring tanpa berbuat apa-apa. Emak, emak... Saya rasa bapak pun tidak dapat melupakan emak walaupun setelah beristeri baru. Emak cantik, berhidung mancung, kulitnya putih kemerah-merahan, badan berisi. Walaupun berwajah serius namun sesekali tersenyum manis sekali. Suami saya pun berkata begitu. Walaupun usia sudah 60an beliau masih berjaya mengekalkan barisan gigi yang putih dan tersusun cantik. Emak memang pembersih orangnya. Emak juga cermat dan tidak pernah menyusahkan bapak kalau teringinkan apa-apa barang. Beliau akan merialisasikan impian beliau dengan menabung. Percaya atau tidak sehari selepas beliau pergi sewaktu saya mengemas rumah dan barang-barang tinggalan beliau saya terjumpa duit beliau di celah-celah lipatan baju dan 2 tabung besar. Sayunya hati saya waktu itu tidak dapat digambarkan. Duit-duit yang anak-anak bagi semua di simpan di Tabung Haji. Saya la yang selalu tolong simpankan. Kadang-kadang duit tabung pun saya tolong simpankan dalam ASN beliau. Sedihnya duit-duit itu tidak dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri dan setelah ketiadaan beliau, bapak bahagikan secara faraid. Arwah atuk perempuan pun dapat, menurut kata bapak menangis atuk sewaktu menerima duit itu. Itulah emak, memang Ramadhan banyak menyorot kenangan saya bersama beliau. Lebih lagi bapak sebab berpuluh tahun susah senang hidup bersama emak, mungkin yang paling bapak tidak lupa ialah emak pandai dan rajin memasak sebab pengantinya kurang kemahiran ini. He he.. Wallahualam.

1 comment:

  1. Sedih saya membaca cerita cik puan. Tak sabar pulak rasanya saya nak balik kampung jumpa emak saya.

    ReplyDelete