Semalam selepas menunaikan solat zohor suami bertanya nak beli baju dan kasut anak-anak kat mana. Saya kata senang beli dekat Billion aje. Billion ini letaknya dekat sahaja dengan rumah saya. Sesampai di Billion, kami terus menuju ke tingkat 2 yang menempatkan pakaian kanak-kanak. Ramainya keluarga yang datang dengan tujuan yang sama, lebih-lebih lagi semalam cuti Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 52. Di dalam kesesakkan itu, alhamdulillah dapat juga membeli pakaian dan kasut anak-anak. Adham siap nak beli cap snails and sons sekali. Belikan lah juga sebab masih ada budget. Dulu memang ada belikan Adham cap semasa hendak bercuti ke Pulau Perhentian tetapi entah macam mana boleh tertanggal talinya. Sementara anak-anak gadis saya memilih kasut idaman hati saya teringat masa kecil-kecil dahulu. Dulu kalau nak raya bapak saya pun sibuk hendak belikan kasut tetapi kami tidak pernah mengikut bapak ke bandar untuk membelinya. Untuk mengukur saiz cukuplah hanya dengan menggunakan lidi atau tali dan diletakkan di atas telapak kaki mengikut kepanjangannya. Pakaian pula selalunya emak membeli kain kapas berbunga beberapa ela untuk dibuat sama ada baju maxi, gaun atau kurung. Kerja jahit menjahit diserahkan pada kakak saya yang ke dua iaitu kak Ipah ( sampai sekarang beliau masih menjahit dan menerima tempahan terutama menjelang Syawal). Hasilnya cukup memuaskan hati saya waktu itu. Bila saya sudah bersekolah menengah berhari raya dengan baju kurung sahaja lah. Emak pula tidak lagi membelikan kain ela dari jenis kapas. Namun beraya zaman budak-budak masih terasa kemanisannya. Berbalik pasal kisah shopping tadi, suami juga sempat membeli sehelai kemeja kain linen dan 2 helai t.shirt. Saya suruh beliau membeli seluar panjang sekali tetapi beliau menolak pula. Saya pun dapat membeli sehelai t.shirt Brittannia untuk adik lelaki saya. Untuk kakak-kakak dan adik perempuan, bapak, mak da dan mak mertua sudah awal-awal saya sediakan cenderahatinya. Begitu juga buat biras yang tidak pernah lupa menghadiahkan saya ole-ole setiap kali menjelang Syawal. Walaubagaimana pun urusan shopping ni tak selesai lagi, insyaAllah hujung minggu ini akan dibereskan. Kalau sudah selesai lapang sikit kepala. Sepanjang tinggal di Kota Bharu ini saya tidak pernah membuat kuih raya kerana selalunya setelah seminggu beraya di kampung dan pulang ke sini suasana Aidil Fitri sudah tidak terasa. Tetamu pun satu ke dua keluarga sahaja yang berziarah ke rumah. Selalunya kami dapat kuih raya percuma dengan tidak diduga dan ada yang dibeli sendiri. Kakak saya Inna pun selalu memberi kuih raya, sampai malu pulak nak menerima. Anak-anak gadis saya le suka sebab mereka kata kuih-kuih raya dekat rumah mak Inna sedap-sedap. Jiran-jiran pun ada yang memberitahu di sini raya seminggu sahaja. Jadi bila balik dari kampung terasa malu untuk berkunjung ke rumah mereka. Apa pun pada saya, Syawal tetap meriah di mana-mana dan hati berbunga bila melihat anak-anak bahagia..
No comments:
Post a Comment