Friday, March 2, 2012

MENU SEMALAM


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ingatkan dapatlah saya buat entri menu-menu ini semalam, tetapi disebabkan kepenatan saya biarkan saja gambar-gambar ini menganggur di dalam kamera. Kemudian malas pula mendatang tetapi bila difikir-fikirkan alang-alang sudah mengambil gambar saya kongsikan juga di sini. Semalam saya masak goreng kunyit udang galah yang saiznya agak comel dan daging lada hitam permintaan anak dara yang sulung.

Untuk udang galah goreng kunyit seperti di atas cara-cara menggorengnya saya tunjukkan di bawah, ringkas tapi sedap. Berbanding udang biasa saya lebih menggemari udang galah tetapi mestilah saiz yang sebegini. Pada pengamatan saya udang galah saiz besar memang memancing mata dan selera tetapi rasanya tidaklah sesedap udang galah saiz agak comel begini. Udang galah saiz besar rasanya agak tawar dan teksturnya agak liat walaupun harganya lebih mahal.

Bahan-bahannya:

500++gram udang galah - dibersihkan
3 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci kunyit hidup - ditumbuk
11/2 inci halia muda - ditumbuk
1 biji bawang besar - hiris bulat
2 sudu kecil serbuk cukup rasa
garam masin secukupnya
minyak masak

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang galah dengan bahan-bahan tumbuk dan serbuk cukup rasa secara merata. Perap seketika.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tadi. Tutup kuali seketika. Kacau dan bila udang sudah bertukar warna dan nampak garing masukkan pula hirisan bawang besar. Kacau lagi.
3. Angkat udang galah tadi bila bawang separuh layu. Sedia untuk dihidangkan.


Untuk daging masak lada hitam ini resepinya ada di bawah. Saya fikir suami tidak sudi hendak menjamah lauk ini tetapi sebaliknya dan alhamdulillah katanya sedap. Hehe... Suami saya memang tidak suka lauk pauk ala barat ini. Seleranya lebih terarah pada masakan kampung, begitu juga dengan kuih muih. Pizza, burger, roti naik, foccacia, scone semua dia tolak tepi dan kadang-kadang hendak merasa secubit pun perlu ditanya "abang dah makan, rasalah sikit". Agaknya kasihan dengan saya itulah diambil secubit dan dimakan. Hehehe...

No comments:

Post a Comment