Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri hari ini lahir dari perbualan bersama emak mertua beberapa hari yang lalu. Semuanya berkisar tentang rancangan pertandingan masakan di Astro Prima iaitu Jaguh Kampung dan mengambil tempat di perkampungan di Kota Bharu, Kelantan. Mertua terpandang peserta memasak bubur biji nangka lantas menelefon saya, maklumlah saya pernah tinggal di KB lebih kurang 4 tahun lamanya jadi beliau bertanyalah.
Perbualan kami berdua akhirkan menyentuh tentang bubur candil yang lebih kurang sama sahaja dengan bubur butir@biji nangka cuma dalam kuah bubur butir nangka ada dicampurkan dengan halba. Bubur candil gandum ini ilham arwah emak saya yang alah memakan pulut dan yang sewaktu dengannya. Melihatkan labu manis yang terbiar saya pun teruslah membuat pengatnya bersama candil gandum ini.
Resepinya seperti di bawah...
Bahan-bahan:
1/2 biji labu saiz sederhana besar - kupas kulit dan potong dadu
2 cawan santan pekat
2 keping manisan + gula secukup manis - masak dengan 1 cawan air hingga larut
5 helai daun pandan - siat dan simpulkan
Air biasa secukupnya
Untuk candil gandum:
1 cawan tepung gandum
Air secukupnya untuk menguli
Cara-caranya:
1. Uli tepung bersama air hingga menjadi doh dan tidak melekat dengan jari-jari tangan.
2. Ambil sebesar duit 10 sen dan gentel bulat.
3. Buat hingga doh habis. Jangan letak bertingkat-tingkat, biarlah tepung yang digentel bulat ini tidak bertindih antara satu sama lain supaya tidak melekat.
4. Ketepikan.
5. Dalam periuk masukkan potongan labu manis, air hingga labu manis tenggelam dan simpulan daun pandan.
6. Bila kuah mendidih masukkan candil gandum tadi dengan hati-hati jika tidak terpaksa digentel lagi.
7. Kacau rata dan masukkan santan pekat bila labu manis hampir empuk.
8. Masukkan manisan + gula yang telah dicairkan dan ditapis terlebih dulu.
9. Bila kuah mendidih, labu manis empuk dan candil gandum masak bolehlah ditutup api.
10. Boleh dihidang panas-panas atau pun ketika sejuk.