Friday, October 2, 2009

KENANGAN SYAWAL 1

Hampir sebulan saya tidak mengupdate blog. Kedatangan Syawal benar-benar membuat saya sibuk. Seminggu sebelum pulang ke kampung saya sudah mula mengemas mana yang patut. Rumah kalau ditinggal lama pasti berhabuk. Pakaian-pakaian ada yang sudah dimasukkan ke dalam beg roda. Kerja mengemas rumah dan pakaian, semua saya lakukan sendiri. Malam sebelum pulang ke kampung saya tidur jam 1.30 pagi. Pukul 4.15 pagi saya sudah bangun menyediakan sahur. Selesai bersahur saya terus membersihkan dapur dan menyusun pinggan mangkuk. Lega rasanya melihat dapur kembali tersusun. Oleh kerana pagi Ramadhan ke 27 hujan lebat kami terpaksa bertolak hampir jam 9 pagi. Tiba di Kuantan selepas waktu zohor. Seperti biasa kami menginap semalam di sini sebelum bertolak ke Johor Bahru keesokkan harinya. Sepanjang perjalanan ke JB, alhamdulillah semuanya lancar berkat doa ibubapa dan adik beradik. Anak-anak gadis saya tidak sabar-sabar lagi hendak sampai ke kampung. Namun sebelum sampai ke Kota Tinggi hujan turun dengan lebat hingga tidak nampak jalan, dalam rasa bimbang saya terus berselawat (inilah pesan bapak saya, banyak-banyak selawat ya). Saya mengingatkan anak-anak agar berselawat sama. Kami bertemu dengan dua kemalangan. Satu kereta dah terbalik masuk dalam parit, kecut perut saya. Yang kedua kereta bertembung depan dengan belakang tapi alhamdulillah tidak apa-apa. Tahun lepas saya bertembung dengan kemalangan yang menggerikan. Betul-betul berlaku di depan mata, bagaimana kereta berpusing-pusing kemudian bertembung dan akhirnya pintu kereta terkopak dan kelihatan kaki pemandu terkulai layu. Saya cukup terperanjat dan sebak. Waktu itu hujan lebat dan semua kereta dipandu perlahan, jalan licin barangkali dan memang takdir Allah untuk hambaNya. Setelah lebih kurang 6 jam perjalanan kami pun sampai ke kampung suami. Beginilah rutin harian saya sepanjang 6 tahun tinggal di tempat orang. Masa memang banyak dihabiskan di kampung suami. Kalau 7 malam di JB, hanya 1 malam di Kulai. Paling lama pun 2 malam. Setelah 15 tahun berumahtangga barulah pertama kali saya dapat merasai malam raya di tempat kelahiran saya. Gembira dalam sayu. Gembira sebab dapat jumpa bapak, kakak-kakak dan adik lelaki. Kalau suami adik perempuan saya tidak ke Mekah mengerjakan umrah pasti beliau join sama. Seronok benar dapat berbual dan bergelak ketawa dengan kak ipah, kak mas dan ita hingga tak sedar jam sudah 2 pagi. Sayu pula bila menggenangkan emak yang telah tiada... Pagi raya setelah selesai solat sunat Aidilfitri suami bergegas mengajak kami balik ke JB. Setelah mohon maaf dengan bapak dan mak da, kami pun bertolak semula ke JB. Kami bermalam di JB hinggalah pulang semula Ke Kota Bharu. Syawal ke 2 saya ke rumah paman (adik lelaki arwah emak di Sg Telur) dan rumah Inna di KT. Syawal ke 3 saya ke rumah pakcik sebelah suami dan kak mas di Kulai dan Kluang. Syawal ke 4, saya ke rumah bapak semula dengan biras dan adik ipar. Mak da bekalkan saya rempeyek dan kuih goyang. He he... Pulangnya kami berpecah sebab saya hendak menziarahi kak ara dan keluarganya. Syawal ke 5, saya dan keluarga mertua beraya ke rumah keluarga belah suami pula, malangnya rumah yang dituju banyak yang tiada penghuninya. Mak mertua saya sudah mula mengeluh tak puas beraya... Syawal ke 6, kami pulang semula ke sarang. Syuhadah, anak sulung saya sudah berjurai-jurai airmata sebab sedih, Hamimah cool sahaja. Saya, entahlah mungkin kalau arwah mak masih ada saya akan berperasaan serupa. Suami pula kelihatan sebak ketika bersalaman, berpelukkan dan berciuman dengan mak dan ayahnya. Mak mertua menangis, menangisi suami saya agaknya... Syawal bagi saya... biarlah rahsia...

1 comment:

  1. Amboi.. Biarlah rahsia tu macam Dato Siti je.. Tentu cik puan bahagia tu sebab Dato Siti dan Dato K pun nampak bahagia aje. Betul tak?

    ReplyDelete