Sunday, October 11, 2009

ADHAM DAN PENGAT PISANG

Pengat pisang dengan sagu biji


Adham yang hampir pulih dari demam dengan baju singlet baru Ben 10


Dari petang Khamis lepas anak lelaki bongsu saya mengalami demam. Kepanasannya mencecah 39 darjah celcius. Hati emak manalah yang tidak bimbang dan gusar. Malamnya hampir jam 1 pagi suhu badannya naik lagi jadi terketar-ketarlah beliau. Sedih benar hati saya hingga airmata mengalir laju. Setelah saya masukkan ubat ke dalam duburnya dan jelum kepala dan badannya, saya dan suami serta anak-anak gadis menemani Adham ke klinik berdekatan. Doktor yang bertugas memberi ubat demam sirap dan antibiotik. Sepanjang Adham demam kali ini sebanyak 3 kali beliau demam tinggi. Saya pun tidur tidak lena malamnya. Badan Adham akan panas selang 4 jam selepas saya memberi ubat. Malam tadi saya ke klinik lagi, bukan hanya membawa Adham tetapi diri sendiri dan 2 anak gadis saya tidak sihat. Menurut doktor tonsil Adham sudah membengkak dan merah di samping ada putih-putih di tekaknya. Patutlah air liur Adham dibiarkannya mengalir dan beliau selalu mengadu sakit-sakit serta kadang-kadang batuk. Suaranya pun sudah mula serak. Bunyi batuk yang dikeluarkannya amat kesat sekali. Setiap kali mendengar Adham batuk seperti tersiat hati saya. Doktor memberikan ubat titis mulut, antibiotik dan ubat demam. Malam tadi badan Adham panas lagi namun alhamdulillah sudah tidak terketar-ketar lagi. Sukar benar hendak memberi Adham makan ubat. Bukan hanya ubat , makanan dan air juga beliau tidak mahu telan. Bila menelan beliau menangis kesakitan. Menjelang pukul 3 pagi beliau sedar dari tidur dan minta air. Bila saya suakan gelas ke mulut kelam kabut beliau meminumnya, mungkin terlalu dahaga tetapi saat ditelan beliau menutup mulut kesakitan. Sedih betul hati saya. Pagi tadi suami berkemas-kemas kerana perlu menghadiri kursus 'Brain Storming' di JWMarriot di Bangi. Berat betul hati saya hendak melepaskan suami pergi di saat Adham tengah sakit ini namun kerana tuntutan kerja suami terpaksa pergi juga. Pagi tadi pasrah betul saya bila menyuakan gelas air ke mulut Adham dalam hati merintih "Ya Allah, dengan berkat doa Ustaz Lah, Kau sembuhkanlah anak aku". Alhamdulillah Adham beransur pulih, sudah mula hendak minum air, menjamah sedikit nestum dan makan biskut. Ustaz Abdullah merupakan pengasas pengajian pondok di Tal Tujuh. Walaupun badannya kadang-kadang panas tetapi beliau sudah mula boleh bergurau dengan Hamimah. Cuma kadang-kadang sahaja beliau bersuara kerana masih serak dan tekaknya masih sakit. Badannya susut mendadak. Tidak apalah yang penting Adham sihat dan sudah boleh tersenyum. Hari ini kerana badan kurang sihat, tidak cukup rehat dan tidur saya tidak memasak. Anak gadis saya dua-dua dapat cuti sakit 2 hari (mata mereka kena tembel dan si adik dah mula demam). Petangnya saya hanya menyediakan pengat pisang dan menggoreng tempura untuk mengalas perut saya dan anak-anak. Malam nanti saya belum tahu hendak masak apa.

No comments:

Post a Comment