Thursday, June 30, 2011

KARIPAP SARDIN LAGI...



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Jom makan karipap@epok-epok inti sardin kegemaran suami dan anak-anak saya. Tiada harapan saya hendak membuat epok-epok pusing sebab awal-awal suami dan anak-anak ingatkan yang mereka tidak gemar makan karipap pusing. Maafkanlah saya sebab masih tidak dapat mengotakan kata membuat entri langkah demi langkah membuat epok-epok pusing.
Resepi doh karipap dan intinya telah saya titipkan pada entri yang terdahulu tetapi terlanjur saya menanti pakaian sedang 'dispin' dalam mesin basuh, saya kongsikan lagi di sini.

Untuk kulit karipap.
Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar rata margein
secubit garam
air ais secukupnya

Cara-caranya:

1. Satukan tepung dan margerin. Gaul sebati.
2. Masukkan garam dalam air ais. Kacau sampai garam hancur.
3. Masukkan air ais bercampur garam tadi sedikit demi sedikit ke dalam tepung dan uli hingga menjadi doh.
4. Bulat-bulatkan doh mengikut saiz yang disukai dan canai. Buat sampai habis.
5. Masukkan inti dalam kulit karipap yang telah dicanai tadi, kelim. Buat sampai habis.
6. Panaskan minyak dengan api sederhana dan gorenglah karipap tadi mengikut citarasa masing-masing kegaringannnya.

Bahan- bahan untuk inti:

1 tin besar sardin - diambil isinya, cucur dengan air, ditoskan dan dihancur-hancurkan isinya dengan garfu
1 biji bawang besar ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
11/2 sudu besar serbuk kari ikan
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan yang ditumbuk bersama serbuk kari dan jadikan pes.
2. Panaskan minyak dan tumis pes kari tadi hingga pecah minyak.
3. Tambahkan isi sardin yang telah dihancurkan tadi.
4. Rasakan masinnya, kacau hingga benar-benar sebati dan masak.

Wednesday, June 29, 2011

BUNGA POKOK INAI



Assalamualaikum. Pernah lihat pokok dan daun inai? Memang sudah biasa bukan. Bunga inai? Saya pun baru pertama kali melihatnya. Macam jakun sahaja. Sebab itulah saya ambil gambar bunga inai ini untuk kita lihat bersama-sama. Kecil-kecil sahaja bentuknya. Kebetulan rumah yang baru saya huni ini di kawasan lot penjuru yang mempunyai tanah yang luas. Penghuni yang sebelumnya memang rajin bercucuk tanam dan saya hanya menumpang hasilnya.

Ada pokok jambu air, pokok pisang, pokok kari dan lainnya di samping pokok-pokok bunga. Bunga melati yang tidak berapa banyak kuntumnya, menghadiahkan saya haruman yang sungguh wangi semasa melaluinya ketika menghantar anak ke sekolah. Subhanallah, nikmat Allah datang dengan pelbagai cara. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...

APAM BERAS LAGI...



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Apam beras ini saya buat hanya menggunakan setengah adunan daripada biasanya. Bagaimana pun kuantiti airnya saya lebihkan. Hasilnya walaupun apam beras ini tidak berapa naik bila siap dikukus tetapi teksturnya adalah lebih lembut.



Bahan-bahannya:

1 cawan nasi
11/2 cawan air - saya lebihkan sedikit
1 cawan gula pasir
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
11/2 sudu kecil yis kering
beberapa titik pewarna merah, kuning, hijau dan biru

Cara-caranya:

1. Kisar nasi, air dan gula pasir hingga hancur. Air bolehlah dimasukkan sedikit demi sedikit hingga nasi dan gula benar-benar hancur.
2. Dalam mangkuk besar, masukkan tepung gandum, tepung beras dan yis kering. Gaul sebati.
3. Curahkan bahan-bahan kisar ke dalam bahan-bahan kering dan kacau sebati sehingga tidak bergentel. Rehatkan selama 3 jam.
Bahagikan kepada 4 bahagian dan warnakan. Kacau perlahan.
4. Panaskan kukusan, minyakkan sedikit acuan. Masukkan adunan tadi 3/4 acuan dan kukus selama 15 minit.
5. Sedap dihidangkan bersama kelapa parut.



Tuesday, June 28, 2011

HATI AYAM MASAK KICAP



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Entri pagi ini tentang lauk yang cukup mudah dan cepat dimasak. Jom kita kongsikan resepinya...

Bahan-bahannya:

500 gram hati ayam
sedikit serbuk kunyit
secubit garam halus
1o biji cili api merah - biarkan sebiji-sebiji
5 biji lada hijau dihiris
1 biji bawang besar dihiris
sedikit air asam jawa
kicap masin secukupnya
gula secukup rasa
minyak masak untuk menumis

Cara-caranya:

1. Lumurkan hati ayam dengan perahan limau kasturi. Biarkan seketika dan dicuci bersih.
2. Toskan hati ayam tadi dan gaulkan dengan garam halus dan serbuk kunyit secara merata.
3. Panaskan sedikit minyak masak dan masukkan hati ayam tadi. Kacau sebati, tutup kuali.
4. Bila air dari hati ayam tadi hampir kering, tambahkan sedikit air asam jawa. Diikuti dengan kicap masin dan gula secukup rasa.
5. Masukkan pula hirisan bawang besar, hirisan lada hijau dan cili api merah sebiji-sebiji. Kacau sebati. Tutup kuali semula.
6. Kecilkan sedikit api, biarkan hingga mendidih sambil dikacau sekali sekala. bolehlah dihidangkan.

Monday, June 27, 2011

SAMBAL UDANG, TEMPE DAN KENTANG BERKICAP



Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz sederhana - dikupas kulit, tinggalkan bahagian ekor sahaja, goreng sekejap, toskan minyaknya
3 biji kentang - potong ikut suka, digoreng
1 keping tempe - potong ikut suka, di goreng
sedikit cili kering kisar
bawang besar kisar
bawang putih kisar
sedikit ikan bilis@udang kering dikisar
kicap masin secukupnya
gula secukupnya
minyak untuk menumis

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak dan naik bau.
2. Tambahkan dengan kicap masin secukupnya bersama gula sesedap rasa. Kacau sebati.
3. Masukkan udang, tempe dan kentang yang digoreng tadi. Kacau sebati.
4. Biarkan sebentar di atas api dan bolehlah dihidangkan.

SEKADAR SELINGAN...


Assalamualaikum, apa khabar semua. Lamanya saya tidak membuat entri terbaru. Diam tak diam , sudah melewati 2 bulan rupanya. Rindu juga dengan teman-teman blogger yang lain. Namun kekangan masa membuatkan saya jarang-jarang mengadap pc mahu pun laptop. Di tambah saya baru berpindah rumah yang berdekatan dengan sekolah tadika anak lelaki.
Rutin harian saya juga bertambah dengan mengambil anak pulang dari sekolah. Alhamdulillah, dalam melewati usia yang menghampiri 42 tahun September nanti, akhirnya saya dapat juga lesen P.
Cuti persekolahan yang lepas saya dan keluarga terbang pulang ke kampung halaman. Sama-sama meraikan majlis pernikahan adik bongsu suami. Walaupun penat namun rasa seronok tetap ada. InsyaAllah penghujung Ramadhan nanti akan pulang lagi.
InsyaAllah juga kalau punya masa senggang blog masakan suka-suka saya ini akan terus bernafas...