Sunday, September 15, 2013

DAGING MASAK MERAH JOHOR...

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pertama kali merasa masakan ini semasa sepupu suami membuka cawangan Merry Brownnya (sekarang sudah diambil alih pengusaha lain sebab sepupu suami sibuk dengan perniagaan makanan yang lain) di Plaza Angsana tetapi waktu itu tak terlintas hendak menanya resepinya. Kali ke dua pula semasa beraya di rumah sepupu suami yang lain bulan Ogos lepas. Saya suka rasanya yang sedap dan berbeza dengan masak merah arwah emak. Masak merah arwah mak lebih simple tetapi tetap memenuhi citarasa saya.

Untuk masakan merah ini saya kongsikan resepinya di bawah. Bukan hanya untuk pengunjung yang sudi datang ke sini tetapi juga untuk kenangan dan rujukan saya jika hendak memasak semula. Biasanya jika saya jarang-jarang masak sesuatu menu itu, saya akan lupa resepinya juga.

Bahan-bahannya:

500 gm daging lembu
15 tangkai cili kering }
3 biji bawang sedehana besar }
2 ulas bawang putih }
1 inci halia }
1 sk jintan halus }
1 sk jintan kasar } dikisar
2 pokok daun sup }
2 pokok daun bawang } dikerat tiga
1 batang lobak dipotong
3 biji tomato dipotong
1 tin kecil tomato puri
5 sb sos tomato 
1/2 tin susu cair - saya tak letak
garam dan gula secukup rasa
Cara-caranya:

1. Potong daging bentuk kiub kecil, cuci, dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan daging, tutup kuali. Kecilkan api. Biar air daging keluar dan sedikit kering.
4. Jika daging masih belum empuk tambahkan air biasa dan biarkan hingga 3/4 empuk.
5. Masukkan tomato puri, sos tomato, buah tomato, lobak, daun sup dan daun bawang.
6. Masak hingga kuah pekat dan daging empuk. Kalau suka boleh tambah susu cair.
7. Rasakan masin dan manisnya.

Masakan ini sesuai dimakan dengan roti, nasi, ketupat dan juga lemang. Selamat mencuba.

Saturday, September 14, 2013

BISKUT LAPIS KEJU





Assalamualaikum, apa khabar semua. Rasanya hampir setahun saya tidak membuat post terbaru. Malah saya juga sudah lama tidak menjenguk dapur alam maya saya ini. Alhamdulillah, walaupun tiada post terbaru masih ada pengunjung yang sudi singgah di sini. Berbanyak terima kasih saya ucapkan.

Untuk post terbaru ini resepinya saya ambil dari blog Hana. Hampir kesemua bahan-bahan yang saya gunakan adalah sama, kecuali biskut marie saya gantikan dengan biskut keju nipis dan nestum saya gantikan dengan serbuk koko.

Untuk resepinya adalah seperti di bawah.

Bahan-bahannya:

2 bungkus biskut keju
500 gm krim keju
1 cawan susu segar
3/4 cawan susu pekat manis
1 sb jus lemon
serbuk koko secukupnya

Cara-caranya:

1. Putar krim keju (dalam suhu bilik) bersama susu pekat dan jus lemon hingga sebati. Ketepikan.
2. Celup biskut keju nipis dalam susu segar sebentar dan susu dalam bekas/loyang.
3. Ratakan krim keju yang diputar tadi dan ayakkan serbuk koko di atasnya.
4. Buat langkan 2 dan 3 hingga habis dan ayakkan bahagian atas dengan serbuk koko.
5. Simpan di dalam peti sejuk, sebaikknya semalaman barulah dipotong-potong dan dihidangkan.

Selamat mencuba.