Friday, December 31, 2010

KARI IKAN MAYONG DAN IKAN KERISI MASAK SAMBAL KERUTUP


Assalamualaikum dan selamat malam. Selamat menyambut tahun baru juga semoga segala azam dan impian akan terlaksana hendaknya (pinjam ayat en daun) hehe.... Malam ini hanya saya hanya letak gambar dan entri menu yang lepas-lepas. Masakan yang biasa-biasa, sekadar penyedap rasa dan penambah selera. Jom jamu mata....


kari ikan mayong tanpa santan, sudah acap kali dimasak asam pedas kegemaran suami. kali ini kari pula...


ikan kerisi bersaiz besar ini kepalanya sangat keras dan saya memang tak suka menyiangnya sebab seksa. hehe... memang kena sangat dilumur sambal terutup selepas digoreng garing. hehe...


Thursday, December 30, 2010

KEK BATIK


Assalamualaikum. Satu lagi resepi untuk entri hari ini yang saya ambil dari MyR oleh mrsdayat. Terima kasih ya puan. Kek batik ini dari umur 16 tahun saya dah buat sebab mudah dan sedap. Teman sekelas yang ajarkan, malangnya saya sudah lupa namanya. Bayangkan sekarang umur pun sudah melewati 41 tahun. Hehe... Resepi yang berbeza daripada apa yang saya pernah buat. Apa pun sesuai sangat sebab tidak terlalu manis.
Biskut marie ini dibeli masa kami bercuti di Kuala Lumpur dan terbiar sepi di dalam peti sejuk. Suami yang teruja membeli pun seperti tertutup selera hendak mengunyahnya. Syuhadah bertanya dengan saya, "Biskut apa ni mak? Tak sedapnya. Rasa apa entah." Jadi daripada terbazir begitu sahaja baik saya buatkan kek batik. Hehe... Dan bila sudah bertukar wajah serta rasa, berselera sahaja.



Bahan-bahannya:

1 paket biskut marie - dipatah 4
2 biji telur
1/2 buku butter - saya lebihkan sedikit
1 cawan koko
1/2 cawan milo - saya guna vico
2 biji telur
3/4 cawan gula
1 cawan air

Cara-caranya:

1. Masukkan koko, vico/milo, air dan gula dan panaskan hingga campuran ini mencair dan sebati.
2. Dengan api perlahan masukkan butter hingga larut.
3. Masukkan pula telur yang telah dipukul sedikit dan kacau sebati.
4. Masukkan biskut marie, gaul lagi.
5. Masukkan campuran tadi dalam loyang dan dimampatkan. Biar selama 1 jam atau lebih dalam peti sejuk barulah dipotong-potong.

*saya tambahkan 1 sudu kecil serbuk gelatin di dalamnya.

IKAN MASAM MANIS BERKICAP


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari yang amat memenatkan. Aktiviti harian bermula dari awal pagi. Jom kita kongsi resepi...



Bahan-bahannya:

500 gm - 2 keping ikan ( saya gunakan ikan panjang, isinya amat lembut dan perlu berhati-hati semasa digoreng )
19 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
2 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
11/2 sudu besar kicap pekat
sedikit garam
sedikit gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan sedikit garam halus. Goreng garing ikut suka. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Tambahkan sos cili, sos tomato, kicap pekat dan air asam jawa. Kacau sebati.
4. Rasakan masin dan manisnya.
5. Masukkan ikan yang digoreng tadi, gaul merata dan padamkan api.

Wednesday, December 29, 2010

KAMBING MANIS MASAKAN JAWA


Assalamualaikum dan apa khabar semua. Lama sungguh saya tidak menulis di blog ini. Sejak pindah ke Kuching hampir 3 bulan ini saya bagaikan hilang minat hendak berblog. Apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih kepada yang masih sudi menjenguk dan bertanya khabar. Yang meninggalkan pesanan ataupun tidak. Saya amat menghargainya.

Kambing manis masakan jawa ini resepinya saya ambil dari buku resepi 'dari dapur zarina'. Buku resepi yang 17 tahun lebih lamanya dalam simpanan saya. Merupakan hadiah dari suami semasa majlis 'sarung cincin' pertunangan dulu. Maklumlah saya memang tidak begitu pandai memasak apatah lagi dengan pergerakan saya yang serba lambat tentulah beliau takut kelaparan bila beristerikan saya nanti. Hahaha...

Mari kita kongsi resepi Puan Zarina ini, rasanya memang sedap dan seakan-akan sate. Apa pun selera suami lebih kepada dimasak kari. Maaflah ya bang....



Bahan-bahannya:

500 gm daging kambing - dihiris ikut suka
8-10 tangkai cili kering
2 batang serai
sedikit lengkuas
sedikit halia
sedikit air untuk mengisar
2 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu kecil jintan kasar kisar
1 sudu kecil jintan halus kisar
2 keping asam keping dihiris
garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Kisar lada kering, serai, lengkuas dan halia tetapi jangan terlalu halus.
2. Perapkan daging kambing tadi dengan bahan-bahan kisar, ketumbar, jintan kasar dan jintan halus sekurang-kurangnya 1 jam atau kalau hendak lagi sedap semalaman.
3. Panaskan minyak dan tumis perapan daging kambing tadi bersama hirisan asam keping.
4. Masukkan 1 cawan air dan masak dengan cara merenih hingga daging empuk.
5. Rasakan masin dan manisnya secukup rasa.
6. Masak hingga kuah menjadi pekat.