Sunday, September 15, 2013

DAGING MASAK MERAH JOHOR...

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pertama kali merasa masakan ini semasa sepupu suami membuka cawangan Merry Brownnya (sekarang sudah diambil alih pengusaha lain sebab sepupu suami sibuk dengan perniagaan makanan yang lain) di Plaza Angsana tetapi waktu itu tak terlintas hendak menanya resepinya. Kali ke dua pula semasa beraya di rumah sepupu suami yang lain bulan Ogos lepas. Saya suka rasanya yang sedap dan berbeza dengan masak merah arwah emak. Masak merah arwah mak lebih simple tetapi tetap memenuhi citarasa saya.

Untuk masakan merah ini saya kongsikan resepinya di bawah. Bukan hanya untuk pengunjung yang sudi datang ke sini tetapi juga untuk kenangan dan rujukan saya jika hendak memasak semula. Biasanya jika saya jarang-jarang masak sesuatu menu itu, saya akan lupa resepinya juga.

Bahan-bahannya:

500 gm daging lembu
15 tangkai cili kering }
3 biji bawang sedehana besar }
2 ulas bawang putih }
1 inci halia }
1 sk jintan halus }
1 sk jintan kasar } dikisar
2 pokok daun sup }
2 pokok daun bawang } dikerat tiga
1 batang lobak dipotong
3 biji tomato dipotong
1 tin kecil tomato puri
5 sb sos tomato 
1/2 tin susu cair - saya tak letak
garam dan gula secukup rasa
Cara-caranya:

1. Potong daging bentuk kiub kecil, cuci, dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan daging, tutup kuali. Kecilkan api. Biar air daging keluar dan sedikit kering.
4. Jika daging masih belum empuk tambahkan air biasa dan biarkan hingga 3/4 empuk.
5. Masukkan tomato puri, sos tomato, buah tomato, lobak, daun sup dan daun bawang.
6. Masak hingga kuah pekat dan daging empuk. Kalau suka boleh tambah susu cair.
7. Rasakan masin dan manisnya.

Masakan ini sesuai dimakan dengan roti, nasi, ketupat dan juga lemang. Selamat mencuba.

Saturday, September 14, 2013

BISKUT LAPIS KEJU





Assalamualaikum, apa khabar semua. Rasanya hampir setahun saya tidak membuat post terbaru. Malah saya juga sudah lama tidak menjenguk dapur alam maya saya ini. Alhamdulillah, walaupun tiada post terbaru masih ada pengunjung yang sudi singgah di sini. Berbanyak terima kasih saya ucapkan.

Untuk post terbaru ini resepinya saya ambil dari blog Hana. Hampir kesemua bahan-bahan yang saya gunakan adalah sama, kecuali biskut marie saya gantikan dengan biskut keju nipis dan nestum saya gantikan dengan serbuk koko.

Untuk resepinya adalah seperti di bawah.

Bahan-bahannya:

2 bungkus biskut keju
500 gm krim keju
1 cawan susu segar
3/4 cawan susu pekat manis
1 sb jus lemon
serbuk koko secukupnya

Cara-caranya:

1. Putar krim keju (dalam suhu bilik) bersama susu pekat dan jus lemon hingga sebati. Ketepikan.
2. Celup biskut keju nipis dalam susu segar sebentar dan susu dalam bekas/loyang.
3. Ratakan krim keju yang diputar tadi dan ayakkan serbuk koko di atasnya.
4. Buat langkan 2 dan 3 hingga habis dan ayakkan bahagian atas dengan serbuk koko.
5. Simpan di dalam peti sejuk, sebaikknya semalaman barulah dipotong-potong dan dihidangkan.

Selamat mencuba.


Monday, December 17, 2012

TIRAMISU



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Tiramisu ini merupakan kali ke dua saya membuatnya. Kali pertama salah pilih krim putar tetapi tetap menjadi sebab saya tambah dengan krim putar yang lain dan sedikit gula. Rasanya masih sedap dengan teksturnya seakan-akan aiskrim cuma kurang mantap apabila dipotong.
Untuk tiramisu ini pula saya secara tidak langsung diajar oleh seorang suri seorang polis semasa sama-sama membeli bahan mentah di kedai bakery. Pesannya jangan gunakan bancuhan nescafe sebab anak-anak kemungkinan besar tidak suka rasanya. Gantikan dengan susu segar sahaja. Dan inilah hasilnya. Saya pun suka, rasanya lebih enak dari kek keju.




Bahan-bahan:

1/2 bungkus biskut tiramisu
1/2 kotak susu rendah lemak
serbuk koko secukupnya
250 gm krim keju
200 ml krim putar
1/2 cawan gula

Cara-caranya:

1. Putar gula dan krim keju hingga kembang. Masukkan krim putar dan pukul lagi. Ketepikan.
2. Celup biskut tiramisu seketika di dalam susu segar dan susun selapis dalam bekas yang disediakan.
3. Ratakan atas lapisan biskut itu dengan campuran krim keju dan ayakan serbuk koko di atasnya.
4. Buat seperti langkah 2 lagi dan diikuti langkah 3.
5. Masukkan di dalam peti sejuk semalaman ataupun sehingga cukup sejuk dan nikmatilah keenakkannya.



 

Friday, December 14, 2012

SIAKAP TIGA RASA



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Entri kali ini tentang masakan siakap 3 rasa pula. Sudah lama saya menyimpan hasrat hendak menyediakannya tetapi suami tidak gemar makan ikan siakap lebih-lebih lagi dimasak tiga rasa, masam manis dan yang sewaktu dengannya. Bila suami 'outstation' saya pun mencubanya.
Kadang-kadang dalam hal masak-memasak ini bukanlah makan menjadi pekara utama saya. Bagi saya bila sudah mencuba dan merasai hasil masakan bersama anak-anak walaupun sekali adalah memadai. Saya lebih suka memasak makanan yang disukai suami dan anak-anak pula alhamdulillah tidak banyak soal. Apa yang dimasak emaknya semua dimakan dan memanjang kata sedap. Hehe... Selera suami lebih pada masakan kampung dan anak-anak pula suka makanan barat tetapi kerana ayahnya, makan juga apa yang ayah makan.:D




 Untuk resepi ini saya ambil dari  blog Sajian Dapur Bonda. Terima kasih banyak diucapkan. Izinkan saya kongsikan resepi puan di sini pula ya.:)

Bahan-bahannya.
Untuk Ikan:
2 ekor ikan siakap - saya guna 1 ekor saiz sederhana besar
Tepung jagung untuk dilumur pada ikan
Serbuk Pasti Sedap Knoor
Minyak untuk menggoreng ikan

Untuk Kuah:
2 biji bawang besar - dipotong dadu
6 biji bawang putih - dititik
10 biji cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu - takde dlm stok
Kiub nanas - Kak Noor beli yang siap ditinkan; kiub nanas dalam jus nanas jenama Ayam Brand (Snacky Nanas) - 280 gm
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili thai - guna sos cili biasa
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan - guna garam je
2 batang serai - dititik
Beberapa helai daun limau purut - saya tak guna sebab anak-anak tak suka baunya
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa - tak guna
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Ikan dibersihkan dan ditoskan
2.  Lumurkan ikan dengan serbuk pasti sedap knoor. Pastikan semua bahagian dilumur rata. Kemudian, lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur kedua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam.
3.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan cili padi, halia, serai,  dan bawang putih.
5.  Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan, dan 3 sudu jus nanas di dalam tin. Kacau sebentar.
6.  Masukkan bawang besar, tomato, nenas, dan cili benggala.
7.  Masukkan air sedikit. Tambahkan garam, gula dan ajinomoto.
8.  Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang. 

PUDING HORLICKS KOKTAIL



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Puding horlicks berkoktail ini terhasil untuk menghabiskan stok horlicks di rumah. Beli kerana teringin hendak minum tetapi bila sudah dibeli adalah sekali dua saya membancuhnya, macam kurang enak bila mengalir di anak tekak. Hendak menghabiskan segelas pun bercinta. Jadi dari terbiar menjadi luput tarikh lebih baik saya campurkan bersama puding koktail ini. Alhamdulillah, enak rasanya. Apatah lagi dimakan dalam cuaca panas seusai dikeluarkan dari peti sejuk.




Untuk resepinya saya berikan di bawah. Bolehlah dikongsikan bersama yang berminat hendak mencuba. Mudah sahaja resepinya. Memang menjadi kebiasaan saya. Saya lebih suka resepi yang mudah-mudah untuk dicuba. Yang penting menjadi dan sedap. 

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
5 cawan air
1 cawan horlicks
1 tin susu cair
1/4 cawan tepung kastard
1/4 cawan gula - kalau suka manis boleh tambah
1 tin koktail - asingkan sirap dan buah2annya

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar tali. Rendam bersama 5 cawan air seketika.
2. Masak agar-agar tadi hingga larut dan mendidih. Tambahkan sirap dari buah-buahan koktail tadi.
3. Masukkan susu cair dan gula. Kacau hingga gula larut dan sebati. Perlahankan api.
4. Bancuh horlicks dengan sedikit air dan curah dalam larutan agar-agar tadi. Kacau rata.
5. Bancuh tepung kastard dengan sedikit air dan masukkan dalam adunan agar-agar tadi. Kacau sebati.
6. Basahkan acuan dengan air, taburkan buah-buahan koktail yang telah ditoskan dari sirapnya tadi dan curahkan larutan agar-agar di atasnya.
7. Masukkan dalam peti sejuk dan bila sudah membeku sejuk bolehlah dipotong-potong untuk dinikmati.